July 8, 2017

PENDAHULUAN, PENTINGNYA ILMU : PENDEKATAN AL-HUJWIRI BAIK


BBB, 13 1438H. =  07 Julai 2017M. (Juma`at):
Pada kebiasaan, bila membicarakan tentang sesuatu bidang ilmu, maka sebagai permulaan dibicarakan  tentang apa itu – Ilmu tasawuf, seterusnya asal usul, ta`rif, ciri, pertumbuhan dan perkembangan ilmu tasawuf itu. Apa yang dianggap baik sebagai permulaan bagi kitab Kashfu al-Mahjub oleh Al-Hujwiri bahawa beliau memulakan pembicaraan, memahami apa itu ilmu dan pentingnya ilmu. Pendekatan sedemikian dilakukan kelak oleh Al-Ghazali dengan kitab Ihya` `Ulum al-Din yang membicarakan  sebagai Kitab al-Ilmi dengan tujuh bab, lebih detail.
Al-Hujwiri memulakan pembicaraan tentang  pentingnya ilmu ialah dengan bertolak dari ayat Al-Qur`an, antaranya bermaksud;
``Sesungguhnya yang takutkan Allah dari hamba-hambaNya ialah `ulama`.`` (Fatir: 28):
Dia juga mengambil bukti daripada Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksaud:
``Menuntut  ilmu wajib ke atas setiap orang muslim – dan juga muslimah.`` Dan  Hadith yang bermaksud:
`Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina.``.
Mengenal pasti apa yang dipelajari itu ilmu atau bukan ilmu adalah penting, agar, apa yang dipelajari adalah benar-benar ilmu, bukan sesuatu yang khurafat atau karut dan sebagainya.
Ilmu adalah kebenaran. Dan setiap ilmu itu adalah benar. Dia dapat memandu kepada jalan yang betul. Di dalam hidup kita perlu kepada ilmu – yang betul agar apa yang kita lakukan betul dan tidak salah. Jika kita gunakan ilmu berkenaan berfaedah.
Al-Hujwiri membicarakan ilmu kepada pegangan  dan amalan. Dia membahagikan  ilmu  kepada dua. Iaitu tentang Ketuhanan dan Kealaman. Mengetahui kedua-kedua keilmuan ini adalah mustahak. Kedua-duanya adalah berkait. Misalnya untuk mengetahui ketuhanan ialah dengan ada alam ini, kerana ia tidak boleh terjadi dengan sendiri dan memerlukan kepada yang menjadikannya, iaitu Tuhan.
Tetapi untuk mengetahui alam dan mengetahui Tuhan adalah dengan ilmu.
Untuk mendapat ilmu perlu kepada berfikir dan menggunakan akal. Misalnya memahami alam dan muka bumi dari satu segi, ianya teratur dan indah, dan dari muka buminya kita mendapat rezeki yang menunjukkan ada yang bersifat rahmat dan kasih sayang.  Dia adalah dikenali dengan Tuhan. Dari satu segi lagi, pada langit dan bumi ada kerosakan-korosakan dan bala bencana yang menyebabkan kebinasaan dan kematian, memperlihatkan bahawa ada yang berkuasa menyebabkan kerosakaan, kebinasaan dan kematian. Dia adalah Tuhan. Kedua-dua analogi di atas adalah menggunakan akal, sebab  itu akal penting bagi mempelajari ilmu. Tanpa akal tidak ditaklifkan seseorang. Melalui akal difahami secara logik, dengan dalil dan burhan tentang kewujudan Tuhan, melalui akal dapat dipertimbangkan bahawa alam ini  dicipta dan menerima kemungkinan rosak dan binasa.
Memahami Tuhan dan alam  perlukan ilmu.
Memahami tentang Tuhan adalah melalui ilmu akidah seperti mengetahui tentang Dzat, sifat dan af`al dan memahami tentang alam yang berdepan mata kepala kita. Ianya dapat disaksi dengan inderawi kita dan akli kita, bahkan melalui kefahaman terhadap yang alamiah dapat membawa dan mengukuhkan kefahaman tentang ketuhanan.
Al-Hujwiri juga menyentuh tentang keilmuan yang diterima melalui naqal (Al-Qur`an dan al-Hadith) dan akal. Daripada naqal dapat diketahui  pengetahuan tentang shari`at yang menurutnya berdasarkan tiga sumber, iaitu:
1)       Al-Qur`an
2)      Sunnah
3)      Ijma`
Al-Hujwiri mengambil pendapat Muhammad bin Fadhl al-Balakhi, bahawa sumber pegetahuan adalah dua;
1)      Tuhan (secara ma`rifat)
2)      Shari`at (Dari Tuhan).
Al-Hujwiri memberi pendapat yang hampir sama dengan pendapat Al-Imam Malik tentang perlunya ilmu tasawuf dan tidak terpisah antara  syariat dan kerohanian (tasawuf) sebagaimana katanya:
``Siapa yang bertasawuf dan tidak berfiqah boleh membawa kepada zindiq dan
Siapa yang berfiqah dan tida bertasawuf boleh membawa kepada fasiq dan,
Siapa yang menghimpun antara keduanya mendapat tahqiq.``.
Di dalam hal ini Al-Hujwiri melihat bagi memahami keilmuan kalam yang banyak bergantung pada rasional akal perlu kepada zuhud, katanya,
``Siapa yang berbahas secara ilmu kalam tanpa zuhud boleh membawa kepada zindiq, sebaliknya
Siapa yang puas dengan fiqh tanpa kerohanian hilang mesra dan boleh berdosa.``
Di dalam hal ini ma`rifat dalam maksud rasional seperti ilmu kalam perlu kepada kerohanian. Lantaran menuju kepada kebenaran perlu kepada kebersihan rohani. Diri yang bersih dan mesra ilahi lebih intim dari hanya memahami secara `kering`. Sebab itu keilmuan yang bersifat kalam, dan shara` yang semata menekankan kepatuhan perlu disertai kebersihan, kemurnian, keakhlakan  dan kelembutan yang mesra diri dengan Ilahi. Mesra diri dengan ilahi memberi kesan kepada diri mesra juga dengan manusia dan alam. Konsep bahagia lebih bermakna secara hati rohani dari hanya secara kefahaman yang `kering` dari unsur hati rohani.
Al-Hujwiri berprinsip  bhawa  ilmu ialah ilmu yang benar. Beliau mengingatkan di dalam menegakkan kebenaran berdasarkan keilmuan hendaklah menjauhi tiga jenis mereka yang disebut:
1)      `Ulama` yang lalai
2)      Pembaca Al-Qur`an yang munafik
3)      Mereka yang mengutuk apa saja yang tidak disukai.
Al-Junayd menyebut, bahawa keilmuan dan pengetahuan adalah jalan kepada kesempurnaan  dan jangan jadi bebal dan bodoh sombong !

Sekian.

No comments:

Post a Comment