July 2, 2017

GURU PEMEGANG AMANAH ILMU PERLU DIHORMATI


BBB, 07 Syawal 1438H. = 01 Julai 201`7M. (Sabtu):
Tajuk lengkap yang diberi oleh Al-Qushairy ialah ``Adab  Memelihara Hati Guru-Guru  Dan Meninggalkan Perselisihan Pendapat Dengan Mereka`
Guru berkedudukan penting di dalam kehidupan dan masyarakat. Dia dikira orang kedua penting selepas ibu-bapa. Bahkan dari segi pendidikan dia berkedudukan sebagai  orang pertama. Sebab itu guru sebagai orang yang memberi pengajaran dan mendidik akhlak dan adab seharusnya dihormati dan jangan ada tanda penentangan terhadap mereka.
Berhubung dengan  guru atau shaykh ini Al-Qushairy mengambil contoh antara Nabi Musa dengan Nabi Khaidhir. Allah merakamkan ke dalam Al-Qur`an berhubung dengan perguruan antara mereka berdua – ayat bermaksud:
``Berkata Musa,  Adakah boleh aku mengikut engkau di atas apa yang telah diajarkan daku daripada ajaran-ajaran yang benar.`` (Al-Kahfi: 66).
Tetapi selepas bersahabatan, Nabi Musa yang dikenakan syarat, tidak dapat mematuhi syarat, maka Al-Qur`an menggambarkan  tentang perpisahan mereka. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ini adalah perpisahan di antara aku dengan engkau.``  (Al-Kahfi:  78).
Dari ayat-ayat dapat ditarik kesimpulan bahawa murid hendaklah patuh pada ajaran dan syarat-syarat di dalam berguru. Seharusnya tidak ada perselisihan antara murid dan guru.
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Husain al-Ahwazi berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin `Ubaid al-Bas*ri berkata, bercakap kepada kami Abu Salim al-Qazzaz berkata, aku mendengar Yazid bin Bannan berkata, bercakap kepada kami Abu al-Rijal daripada Anas bin Malik berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.
``Tidak ada yang lebih mulia daripada seorang pemuda dengan duduk bersama mengingati Allah Subhanahu wa Ta`ala.``
Aku mendengar Al-Ustadz  Aba `Ali al-Daqqaq r.h.a  berkata, bermula bagi firqah berbalah, ya`ni ada yang bercanggah dengan gurunya, maka dia tidak kekal tariqatnya dan terputus. Kalau ada yang berbalah, maka sayugia ianya bertaubat.
Tersebut bahawa Al-Junayd pernah masuk menemui Sari pada suatu hari, maka kata Al-Junayd dimaklumkan kepadaku bahawa Sari meminta  aku  tunaikan satu hajatnya secara segera, maka apabila aku kembali dari menunaikan hajatnya, maka dia memberi kepadaku satu cebisan  warkah dan dikatakan sebagai penghargaam kepadaku kerana dapat menunaikan hajatnya dengan segera. Apabila aku membuka cebisan berkenaan aku dapati tertulis ungkapan berikut:
Aku menangis, tahukah engkau mengapa aku menangis?
Aku menangis  mengingatkan  perpisahan amat tragis
Kau sewenang tika mesra  putuskan  tali perhubungan
Bahkan drastik bertindak buat keputusan penghijrahan.
Aku mendengar  Al-Ustadz Aba `Ali berkata, telah mensifatkan Sahl bin `Abdullah, seorang lelaki yang membawa kepada seorang keluar untuk menemuinya di Basrah, tetapi didapati dia tidak seperti yang digambarkan dan menganggapnya tidak berkelayakan, pada hakikatnya tidak seperti ditanggapi. Pengajaran yang dapat diambil, jangan membuat keputusan dalam masa yang pendek, dan jangan merendah seorang.  Dengan persepsi sedemikian, kita meletakkan seorang tidak kena tempatnya. Kita juga memandang rendah terhadapnya. Pengajaran juga kita perlu hati-hai di dalam meletak dan menilai seseorang agar kita tidak berlaku tidak adil di dalam meletakkan kedudukan seseorang.
Shaykh atau guru mempunyai kedudukan yang penting yang seharusnya dihormati, biarpun pada taraf  mana kedudukan. Bermaksud dia guru bagi peringkat permulaan pengajian, peringkat yang lebih tinggi dan peringkat tinggi. Mereka adalah mnerupakan pemegang amanah dari segi keilmuan dan pendidikan keakhlakan. Kejayaan seseorang adalah melalui rangkaian pendidikan ini. Bagi seorang diri pula ada kepakaran masing-masing yang menanam asas keilmuan  berkenaan bagi murid-murid masing-masing. Guru pula bersama-sama guru-guru yang lain bekerjasama di dalam melengkapkan keilmuan seorang murid.
Andainya seorang murid yang dididik berjaya dan maju di dalam bidang-bidang keilmuan tertentu, maka dia tidak harus memandang rendah terhadap guru-guru yang kini lebih rendah ilmunya dibandingkan dengan keilmuan yang dicapai kini.  Guru yang telah ditimba keilmuan darinya hendaklah dihormati dan tidak dipandang rendah terhadapnya.
Sebab itu pengajian ilmu, juga adalah pengajaran adab terhadap murid, tidak bererti seorang berilmu yang tidak menjaga adab, bahkan adab adalah mendahului ilmu. Di dalam penerimaan ilmu guru dapat dibandingkan sebagai perawi-perawi di dalam sanad-sanad seperti Hadith. Tiap-tiap perawi ini beradab, amanah dan bertanggungjawab di dalam menurunkan Hadith-Hadith kepada penerima-penerima  melalui sanad-sanad yang Hadith dterima dan  diamalkan
Keilmuan juga adalah  satu maklumat atau dapatan yang telah diteriama  dan bagi menyampaikan ilmu-ilmu berkenaan diterima oleh guru dan diperturunkan kepada murid-murid dengan jujur. Dengan penurunan ilmu berkenaan juga berkembang dan diamalkan. Sebab itu guru  dapat dikatakan sebagai pemegang amanah keilmuan yang diterima  dan diperturunkan kepada generasi berikut. Amanah dan dedikasi guru adalah dihormati. Jika tradisi ilmu tidak dihormati, maka dia berlaku kerosakan, oleh hilang kepercayaan, tetapi guru tidak sedemikian. Dia adalah pemegang amanah ilmu dan bertanggung jawab di alam mendidik masyarakat baik pada mana peringkat.
Shaykh dan guru hendaklah dihormati, dia pemegang amanah keilmuan dan mentransformkan kepada generasi-generasi seterusnya  dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Guru hendaklah dihormati.

Sekian.

No comments:

Post a Comment