July 7, 2017

KASHFU AL-MAHJUB - MENYINGKAP PERSOALAN TERTUTUP


BBB, 12 Syawal 1438H. =  06 Julai  2017M. (Khamis):
Sebuah lagi `Turath Tasawuf` yang penting ialah Kashfu al-Mahjub, bermaksud `Menyingkap Persoalan Tertutup` dihasilkan oleh Abul Hasan `Ali bin `Uthman bin `Ali al-Ghaznawi al-Jullabi al-Hujwiri yang berkelahiran Ghaznawi (m. 456H.). Panggilan ringkasnya ialah Al-Hujwiri.  Beliau adalah sezaman dengan  Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy( (m. 465H.), iaitu zaman berkembang pesatnya  keilmuanm tasawuf.
Satu perbezaan dari karya-karya yang telah kita bicarakan adalah semuanya dihasilkan di dalam bahasa `Arab, tetapi karya Kashfu al-Mahjud adalah satu-satunya karya tasawuf tertua tertulis di dalam bahasa Parsi. Bahasa Parsi adalah bahasa kedua pentingnya  di negara Islam dan tersebar luas bukan saja di Parsi, tetapi di kawasan-kawasan wilayah budaya Parsi seperti di India (Ghaznawi) hinggalah  ke Afghanistan dan negara-negara Islam yamg berdekatan. Al-Hujwiri, walaupun menulis dalam bahasa Parsi adalah pendukung aliran Sunni dan berpegang pada Madzhab Hanafi.
Naskhah yang asalnya ditulis di dalam bahasa Parsi telah diterjemahkan ke dalam bahasa `Arab. Kajian terhadap naskhah Kashfal-Mahjub telah pernah dilakukan  oleh Raynold A.Nicholson pengkaji orientalis terkenal dan pernah menerbitkannya  di dalam versi bahasa Inggeris, terbitan oleh Islamic Book Foundation, Lahore, Pakistan (1982). Berdasarkan terjemahan ini ianya juga diterjemahkan di dalam, versi Indonesia oleh Suwandjo Muthary dan Abdul Hadi W.M. dan diterbitkan oleh Penerbit Mizan, Indonesia (1416H./1995M.).
Tidak banyak latarbelakang mengenai al-Hujwiri ditulis, kecuali apa yang dicatat oleh Al-Hujwiri di dalam karangan-karangannya, khususnya Kashfu al-Mahjub. Maklumat melalui karangannya.
Al-Hujwiri mengembara diberbagai  negara Islam bagi mendapat ilmu pengetahuan, bergerak  dari tanah kelahirannya di Ghaznawi hingga ke Syria ke Turkistan, dari India ke  kawasan Laut Kaspian. Dia pernah ke Iraq dan ke Azerbaijan dan akhirnya meninggal di Lahore, India.
Dia meminati tasawuf dan mendapat bimbingan bidang kerohanian tersebut dari beberapa guru yang disebutnya iaitu Abu al-Fadhli Muhammad bin al-Hasan al-Khattali, Abu al-`Abbas Ahmad bin Muhammad al-`Ashquni, Abu al-Qasim al-Jurjani dan Khawaja Muzaffar .
Kashfu al-Mahjub sebagaimana dibayangkan dari maksud tajuk buku ini – ` Menyingkap Persoalan Tertutup` ialah cerminan dari pengalaman Al-Hujwiri di dalam penghidupan keilmuannya, khususnya dari segi kerohanian, bahawa dia bertembung dengan berbagai-bagai persoalan kerohanian, antaranya yang ditimbulkan oleh kawan-kawannya. Jadi Kashfu al-Mahjub, bertujuan bagi memjelas berbagai persoalan kerohanian yang ditimbulkan.  Penerangan seumpamanya juga dilakukan oleh Al-Qushairy di dalam Al-Risalat Al-Qushairiyyah tokoh sufi sezaman dengan Hujwiri.
Walau bagaimana Al-Hujwiri sebagai tokoh sufi yang datang lebih kemudian tidak terpisah dari apa yang trelah dibina pendekatan-pendekatan sufi terdahulu, beliau menambah sempurna kepada yang telah terbina selama ini.
Ada dua bahagian utama dari pendekatan yang dibuat Al-Hujwiri.
(Sebelumnya sebagai pembukaan yang baik sebagai tempat bertolak membicarakan tasawuf Al-Hujwiri memulakan pembicaraan ialah dengan membicarakan tentang pentingnya ilmu. Ianya sebagai pengenalan bagi  mengenali ilmu dan  mengenali bagi ilmu tasawuf itu).
Bahagia utama ialah bertolak dari asas dan tradisi tasawuf yang telah terbina ia merupakan lebih separuh dari pembicaraan( 14 bahagian), manakala selebihnya bahagian kedua  (11 bahagian) ialah menyingkap persoalan-persoalan yang mencerminkan judul bagi Kashfu  al-Mahjub.
Bahagian pertama sebagai latar bagi pendekatan tradisi ketasawufan yang terbina, Al-Hujwiri membicarakan tentang apa itu tasawuf. Kefakiran yang merupakan imej utama bagi tasawuf diberi penekanan dari segi huraian oleh Al-Hujwiri (tiga dari 25 bahagian).
Perkara yang diberi keutamaan oleh al-Hujwiri di dalam bahagian awal, ialah membicarakan tentang tokoh-tokoh sebagai model-model atau tokoh-tokoh bagi sufi. Tokoh-tokoh ialah para sahabat-Nabi dan ahlu al-suffah. Selain dari sahabat Al-Hujwiri menekan konsep imam dari ahlu al-bayt, Imam-imam kalangan tabi`in, sesudah tabi`in dan sufi-sufi mutakhir. Menyebut tentang imam-imam  ini mengingatkan kita konsep berkenaan yang menjadi keutamaan di dalam pendekatan ahlu al-bayt dan juga shi`ah.
Selepas membicarakan persoalan-persoalan di atas (14 pecahan), maka pada bahagian kedua(11 pecahan) adalah memfokuskan kepada persoalan-persoalan yang menjadi tandatanya  di dalam bidang tasawuf. Ini merupakan kelainan pendekatan yang dibawa oleh al-Hujwiri di dalam Kashfu al-Mahjub.
Menurut Raymond A. Nicholson, keistimewaan yang dibawa  oleh al-Hujwiri, bahawa  dia dianggap orang yang awal membicarakan soal madzhab dan aliran yang terdapat di dalam tasawuf. Senelum ini persoalam ini belum dibicarakan oleh pengarang-pengarang tasawuf sebelumnya. Di dalam membicarakan aliran-aliran atau madzhab ini dbicarakan doktrin-doktrin yang mengistimewa dan membezakan antara aliran-aliran yang terdapat di dalam tasawuf.
Satu yang ketara jika sebelum ini persoalan maqamat dan ahwal adalah menjadi fokus utama di dalam tasawuf seperti oleh al-Sarraj di dalam Al-Luma` dan Muhammad al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf, maka pendekatan sedemikian tidak diberi penekanan oleh Al-Hujwiri di dalam Kashfu  al-Mahjub.
Kehadiran Kashfu al-Mahjud mevariasikan lagi pendekatan-pendekatan di dalam tasawuf dengan membawa persoalan-persoalan yang baru seperti aliran, madzhab dan doktrin di dalam tasawuf, disamping memperkukuhkan tentang pendekatan sebelumnya seperti membicarakan konsep tasawuf,  istilah-istilah,  dan pembicaraan tentang tokoh-tokoh sufi sebagai model kesufian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment