July 30, 2017

ABU YAZID AL-BIST*AMI SUFI KONTROVERSI ?


BBB,  05 Dzul-Kaedah 1438H. = 29 Julai 2017 (Sabtu):
Al-Hujwiri memilih Abu Yazid al-Bist*ami sebagai salah seorang daripada 64 sufi diperkatakan. Nama penuhnya ialah Abu Yazid T*aifur bin `Isa bin Sharushan. Adalah datuknya ini, iaitu Sharushan adalah seorang beragama Majusi dan masuk Islam. Abu Yazid mempunyai tiga saudara, iaitu, Adam T*aifur dan `Ali.  Kesemuanya adalah zuhhad dan kuat beribadat. Abu Yazid meninggal tahun 261H. Pendapat yang lain mengatakan dia meninggal 234H.
Abu Yazid dianggap tokoh besar sufi tapi tidak terkecuali dari kontroversi. Al-Hujwiri meletakkannya sebaga antara sufi penting, bahkan beliau memetik pendapat Al-Junayd yang mengatakan,
``Abu Yazid antara kita seperti Jibril antara malaikat.``
AL-Hujwiri memetik pendapat bahawa, Al-Bistami antara 10 sufi terkenal.
Abu Yazid dikatakan banyak meriwayatkan Hadith. Dia antara pencinta ilmu kalam dan menjunjung shari`at dan amalan.
Menurut Al-Sulami, Abu Yazid berkata:
``Aku bermujahadah selama 30 tahun, aku tidak dapati perkara yang lebih baik daripada ilmu, dan mengikutinya. Kalau  tidak ada perselisihan pendapat aku kekal, tetapi jika berlaku perselisihan dia adalah rahmat, melainkan perkara tauhid (seharusnya tidak ada perselisihan).
Al-Sulami juga mencatat pendapat Abu Yazid bahawa, ``Allah melihat hati para awliya`nya, setengah mereka tidak layak mendalami tentang ma`rifat, maka mereka  menumpukan diri beribadat.``
Abu Yazid ditanya tentang ma`rifat dengan Allah, dia mengatakan:
``Aku mengenal Allah dengan Allah dan aku mengenal akan segala yang lain daripada Allah dengan Nur Allah `Azza wa Jalla.``
Dan dia ditanya tentang alamat orang `Arif, katanya,
``Dia tidak dusta dari mendzikiriNya, dia tidak jemu daripada haqqNya dan dia tidak mesra dengan yang lain daripadaNya.``
Abu Yazid tidak menganjurkan doktrin sufi tertentu misalnya seperti Ibn `Arabi dengan doktrin wahdatul-wujud, kalau dapat dikatakan ada baginya madzhab, ialah madzhab cinta. Oleh kerana ungkapan katanya berunsur kreatif dan mendalam yang membawa makna yang mendalam, maka beliau sering diseret dengan aliran-aliran tertentu.
Sebagai sufi dalam waktu-waktu dia ditepui dengan pengalaman intutif dan wajdan, maka ungkapan dalam suasana seemikian  mungkin berbeza daripada dalam keadaan biasa. Misalnya  Al-Bistami berkata,
``Syurga tak ada ertinya dalam pandangan pencinta dan para pencinta terlindung oleh cinta mereka.`` Bagi pencinta apa yang dicinta ialah Allah. Kecintaan kepadaNya seharusnya tidak dikerana oleh kerana sesuatu. Dia seharusnya tidak dikerana oleh balasan atau sebarang habuan.``
Al-Hujwiri mencatat, bahawa  dikisahkan bahawa Abu Yazid al-Bistami pernah naik haji sebanyak tiga kali, hingga ketiga kalinya  dikatakan Abu Yazid tidak dapat menemui kelazatan rohani yang dicari, kecuali melihat binaan batu, akhirnya dikatakan dia kembali kepada dirinya di dalam menanggapi cinta Ilahi.
Keadaan yang sedemikian dia sama meluahkan apa yang diluahkan oleh Hamzah Fansuri di dalam rubai`nya bahawa:
Hamzah Fansuri  di  negeri Makkah
Mencari Tuhan di Baytu al-Ka`bah
Dari Barus ke Kudus terlalu payah
Akhirnya mendapat di dalam rumah !
Apa yang diungkapkan oleh Abu Yazid al-Bastami sebagaimana diungkapkan oleh Hamzah Fansuri di atas adalah sesuatu yang kontroversi. Konsentrasi sufi ialah hubungan cinta Ilahi yang menjadi keutamaan dan tiada tempat yang lain daripadaNya.
Oleh kerana ungkapan sedemikian, sebagaimana Hamzah Fansuri berfaham wahdatul wujud, maka dikatakan bahawa Abu Yazid adalah juga berfaham wahdatul wujud. Sebenarnya tidak semestinya sedemikian kerana kebetulan ada persamaan ucapan.
Contoh penyatuan cinta  digambarkan oleh Al-Sarraj di dalam Al-Luma`
Aku adalah yang dicintai dan siapa yang mencintai aku
Apabila engkau  diperlihatkan  daku engkau diperlihatkan Kami
Kami dua roh bersama pada satu jasad
Allah memakai kepada kami badan.
Adalah dikatakan pengucapan sedemikian adalah merupakan pengucapan sat*hiyyat yang keluar dari mulut  yang jiwa nya tepi dengan  intuisi dan wajdan. Dan maknaya tidak boleh dilihat secara luaran. Di sebalik tuduhan yang dilemparkan terhadap Abu Yazid al-Bistami, maka ada yang mempertahankan kemurniannya sebagaimana dilakukan oleh Al-Junayd.
Tidak ada double standard bagi Abu Yazid al-Bistami, itulah cerminan bagidirinya  dari segi realiti dan rohani.

Sekian.

No comments:

Post a Comment