BBB, 22 Syawal 1438H. = 16 Julai 2017M. (Ahad):
Jika bilangan sahabat begitu ramai dan tidak
diketahui jumlah mereka secara tepat,
maka jumlah tabi`in tentulah lebih ramai lagi. Dari jumlah ini pun sukar untuk
dipastikan berapa ramai sufi dari kalangan tabi`in. Pada
peringkat awal tidak dipastikan tentang konsep kesufian , kerana ilmu
ini belum lahir pada peringkat permulaan. Ianya tumbuh danberkembang selepas
abad ke 2 H. Ini tidak bereerti tidak
ada sufi, sebenarnya lebih ramai lagi
pada peringkat tabi`in. Mereka tentulah tidak sukar untuk dikenalpasti, tapi
Al-Hujwiri ,
memilih empat saja sebagai mewakili
peringkat tabi`in. Mereka ialah `Uwais al-Qarni, Harim bin Hayyan, Hasan Basri
dan Sa`id al-Musayyib. Mereka ini dapat dikatakan mencapai peringkat wali.
1) `Uwais
al-Qarni
`Uwais al-Qarni dapat dikatakan watak
mistri. Beliau dikatakan hidup pada zaman Rasulullah s..a.w. tetapi tidak
bertemu dengan Rasulullah. Beliau dapat dikatakan sebagai `terasing dari dunia
luar` oleh kerana konsentrasi diri dengan ibadat dan kerohanian dan juga
tumpuan kepada menjaga ibunya yang telah tua.
Beliau dikenali lantaran Rasulullah s.a.w.
memberitahu sahabat Baginda dan menyebut namanya seorang yang tinggal di Qaran,
namanya `Uwais yang pada hari kiamat kelak dapat sama memberi shafaat. Rasulullah
s.a.w. bersabda kepaada Sayyiduna `Umar
dan `Ali bahawa mereka akan melihatnya,
bahawa dia seorang yang faqir, tapi kuat
beribadat. Sesudah wafatnya Rasulullah, Sayyiduna `Umar dan `Ali ke Makkah dan mencari orang yang
bernama `Uwais berkenaan di Qaran di kawasan Najd. Di tempatnya dia dikenali
sebagai seorang gila. `Umar dan `Ali menemuinya sedang dia bersolat. `Umar
dan `Ali diberitahu oleh `Uwais, bahawa kita perlu bersolat untuk bersiap diri bagi perpindahan ke akhirat. Bila
diketahui Rasulullah s,a,w. memuji `Uwais ramai yang datang untuk menziarahinya
di Qaran.
Tetapi
kemudian
didapati dia telah berpindah ke Kufah. Pernah sekali dia diketemui di
sana. Dia berjuang di sana bagi membela Sayyiduna `Ali dalam peperangan di
Siffin dan gugur syahid.
2) Harim
Bin Hayyan
Juga berwatak mistri dan rohani. Dia mempunyai
kaiatan peristiwa dengan `Uwais al-Qarni. Dia tertarik dengan watak dan cerita
yang berhubung dengan Uwais yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. Dia
berusaha pergi ke Qaran tempat asal `Uwais, tetapi setibanya di Qaran, dia
diberitahu bahawa `Uwais telah berpindah. Dia kembali ke Makkah dan dia
diberitahu, bahawa `Uwais telah berpindah ke Kufah, lalu dia ke Kufah dan tidak diketemui, kemudian ia ke
Basrah, ditakdirkan dia bertemu di jalanan dilihat dia berbaju bulu dan berkesempatan dilihat
dia sedang berwudhu` di Sungai Furat. Harim terkejut apabila dia ditegur `Uwais
dengan namanya dan dia bertanya bagaimana dia mengetahui namanya, katanya,
Rohku mengenali rohmu.``
Ada dua prinsip `Uwais mengenai hati,
Iaitu menjaga hati dengan taat kepada Allah
dan mengawasi dari nafsu. Dan kedua , peliharakan hatimu, kerana dia adalah
jalan bagimu mendekati Ilahi. Selepas itu dia tidak diketemui lagi.
3) Hasan
Basri
Nama sebenarnya Abu `Ali juga dikenali sebagai Abu Muhammad dan juga
Abu Said. Dianggap mewarisi kerohanian dari Rasulullah yang mana dia dari turunan
orang suruhan Rasulullah yang setia dan patuh. Hasan Basri dianggap tokoh yang
mempertahankan aliran Sunni yang sengit ditentang oleh pendukung Qadariyyah-Jabariyyah-Mu`tazilkah
yang dikaitkan dengan tokoh Wasil bin `Ata`.
Hasan Basri terkenal sebagai seorang yang
wara` dan dia disanjung oleh golongan sufi dengan ciri-ciri kerohaniannya yang
tinggi.
Hasan Basri juga memperkatakan tentang
sabar.
Menurutnya sabar ada dua aspek:
Sabar biasa seperti sabar dari kesempitan
hidup, sabar kerana mengalami kemalangan dan musibah yang mengajar manusia
supaya berwaspada dalam hidup dan menjadi panduan di dalam kehidupan.
Sabar kedua ialah sabar terhadap suruhan
Allah dan laranganNya, iaitu seperti sabar dari melakukan perkara-perkara yang
haram seperti memakan perkara yang haram yang merosakkan kebersihan diri
dan juga hati. Dengan menjaga diri dari
perkara-perkara haram, memudahkan diri mentaati perintah Allah. Mematuhi
perintah Allah, tidak lain dari melakukan perkara-perkara yang baik, maka
dengan demikian melatih dan melazimkan diri dengan perkara yang menjadikan diri baik. Kebaikan memberi kesan
kepada kehidupan keluarga dan memberi kebaikan dalam hubungan dengan
masyarakat.
Pendek kata Hasan Basri berprinsip, bahawa
bergaul dengan orang yang baik menatijahkan kebaikan dan sebaliknya bergaul
dengan orang yang jahat menatijahkan kejahatan.
4) Sa`id
al-Musayyib
Dia adalah seorang salih dan beramanah,
turut sama meriwayat dan menjadi rawi
bagi Hadith Rasulullah s.a.w. Sa`id
al-Musayyib mengingatkan diri kita agar berwaspada dari sifat tamak. Beliau
berkata,
Biarlah sedikit dari habuan dunia, asalkan
diri selamat, sebaliknya janganlah jadi tamak dengan dunia hingga menghilangkan
agama.
Sa`id al-Musayyab ketika di Makkah telah
ditanya seseorang untuk memeberitahu sesuatu yang halal yang tidak ada sama
sekali di dalamnya haram. Beliau menjawab, ialah tahmid atau memuji Tuhan yang
di dalamnya sama sekali tidak ada yang haram, sebaliknya memuji dan memuja yang
lain dari Tuhan boleh membawa kepada syirik kepada Tuhan. Katanya, ``Keselamatanmu
berada pada yang pertama (Tuhan) dan
tidak ada pada yang lain``.
Sekian.
No comments:
Post a Comment