July 3, 2017

AL-SIMA` - SENI SUARA DAN PENDENGARAN


BBB, 08 Syawal 1438H. =  02 Julai 2017M. (Ahad):
Al-Sima` sebagaimana disebut oleh Al-Sarraj al-T*usi di dalam Al-Luma`, Al-Sima` ialah seni suara dan pendengaran dan tanggapan para pendengar.
Membicarakan tentang Al-Sima` ini memperkukuhkan pendapat penulis bahawa, tasawuf mempunyai hubungan yang rapat dengan seni, bahkan seni dapat mempertingkatkan tasawuf sebagaimana tasawuf juga dapat mempertingkatkan seni. Hubungan ini dapat dilihat bahawa mekanisme tasawuf bagi mempertingkatkan kualiti tasawuf itu adalah antaranya melalui  hati-rohani. Melalui peningkatan maqam-maqam  dan hal-hal meningkatkan kepada mahabbah dan shauq yang ianya tidak lain melalui seni-rohani. Selain dari itu peningkatan melalui rasional-akal yang meningkat kepada ma`rifat  meningkatkan rasa ta`abbudiyyah. Sudah tentulah melalui rasional akli dan ketinggian seni-rohani yang menggabungkan antara keduanya dapat memupuk diri dengan ta`abbudiyyah dan cinta mesra yang lebih meningkatkan diri dalam mendekati Ilahi dan mematuhinya secara ta`abbudiyyah.
Al-Sima` dapat dilihat, ianya satu aspek seni suara yang ditingkatkan dari segi penyebutan, lantaran keindahan dan kemerduan suara, sebagaimana  dapat dilagukan di dalam pembacaan Al-Qur`an. Jangan lupa pendekatan  al-sima` juga berlaku dan dapat dilakukan melalui gubahan melalui kata-kata dan ayat-ayat yang indah, seperti digubah secara kata-kata hikmat dan susunan kata dalam puisi. Lantaran itu kita dapati di dalam huraian mengenai tasawuf, contoh mengenai mahabbah dan shauq dan aspek-aspek yang lain disertai puisi-puisi yang indah yang mengindahkan persoalan dan meningkatkan seni estetika  ketasawufan. Penulis melihat bahawa aspek seni, khususnya seni hati-rohani memainkan peranan yang penting di dalam meningkatkan citra dan cita rasa tasawuf.
Membicarakan topik berhubung dengan al-Sima` ini Al-Qushairy bertolak dari firman Allah yang bermaksud:
``Maka hendaklah diberi khabar gembira kepada hamba-hambaku yang mendengar ungkapan-ungkapan (baik), maka diikuti dengan yang lebih baik.`` (Al-Zumar:  17-18).
Contoh keindahan ayat yang bernaksud:
``Dan mereka di dalam taman syurga itu bergerak merentasi` (Al-Rum: 15).
Di dalam ayat  di atasi digambarkan pergerakan di dalam syurga itu secara tamsil dan tashbih  yang berkait dengan aspek balaghah yang ianya juga merupakan pembicaraan dari segi seni berbahasa.`
Seni adalah sesuatu yang indah dan memikat dan ianya selalu digunakan di dalam ungkapan yang mengindahkan.
Mengkhabarkan kami Abu al-Hasan `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Abd al-S*affar berkata, bercakap kepada kami Al-Harth bin Abi Umamah berkata, bercakap kepada kami Abu al-Nadhr berkata, bercakap kepada kami  Shu`bah daripada Hamid berkata, aku mendengar kemesraan yang diungkap ketika orang-orang Ansar menggali parit bagi menghadapi perang Khandak. Sambil mereka bekerja keras mereka mengungkapkan keindahan gubahan:
Kamilah pengikut Nabi Muhammad
Sanggup berterusan untuk berjihad.
Ungkapan yang berseni ini menarik perhatian Rasulullah s.a.w. yang turut sama menggali parit, Baginda menjawaB:
Tiada kehidupan lebih baik dari akhirat
Tuhan muliakan  terhadap Ansar dan Muhajirin.
Mengkhabarkan kami Al-Shaykh Abu `Abdul Rahman al-Sulami ,berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin Ja`far bin Muhammad bin Mat*ar berkata, bercakap kepada kami al-Habbab bin Muhammad al-Tustari, berkata mengkhabarkan kami Abu al-`Ash`ath, berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Bakar al-Bursani berkata, bercakap kepada kami Shu`bah  daripada Hisham bin `Urwah daripada bapanya daripada `A`ishah r.`anha, bahawa Abu Bakar al-Siddiq r.a. masuk ke rumahnya dan disampingnya ada dua pemudi yang memainkan alat bunyian yang biasa dimainkan oleh kalangan Ansar, pada hari-hari perayaan. Maka berkata Abu Bakar, Adakah di sini  dua seruling syaitan ? Maka bersabda Nabi s.a.w. ``Tidak mengapa wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi tiap-tiap kaum ada hari raya dan hariraya kita hari ini.``
Mengkhabarkan kami Al-Ustadz al-Imam Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Purik r.a. berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin Mahmud bin Kharzadz berkata, bercakap kepada kami Al-Husain bin al-Harth al-Ahwazi berkata bercakap kepada kami Salmah bin Sa`id daripada S*adaqah binti Abi `Imran, dia berkata, bercakap kepada kami `Alqamah bin Murthid daripada Zadzan daripada Al-Bara` bin `Adzib berkata, aku mendengar Rasulallah s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Perelokkanlah bacaan Al-Qur`an dengan suara kamu, kerana suara yang elok menambahkan keelokan Al-Qur`an.`` Menunjukkan khabar ini akan fadhilat suara yang elok.``
Berbagai pendapat tentang al-sima`, pada dasarnya kaum sufi lebih  mesra  dan lonak pendiriannya lantaran al-sima` dapat melembutkan jiwa an meningkatkan persepsi alami dan rohani, al-sima` janganlah diguna sebagai peralatan atau jalan bagi ma`siat.
Al-Shaykh Abu `Abdil Rahman al-Sulami berkata aku mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata,
`Siapa  mendakwa sebagai ahli al-sima`, sedangkan dia tidak dapat menghayati kicau burung, goncangan pintu dan deru angin, maka dia bukan ahli al-sima` dan seniawan.`` Adalah dikatakan bahawa  al-sima` adalah bagi mereka yang mempunyai sentuhan hati-rohani dan getaran seni yang terarah kepada Yang Maha Tinggi.
Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Muhammad bin `Uthman al-Maghribi berkata, ``Hati ahli-ahli al-haqq adalah hati-hati yang mu`asharah dengan sima` yang terbuka dan seharusnya membawa kebaikan.
Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Aba `Ali al-Rudzbari berkata, bila disoal tentang al-sima`, katanya, ``Pembuka rahsia (mukashafah al-asrar) kepada penyaksian yang dikasihi.``
Demikianlah banyak pendapat yang bersimpati dan berpihak ada kebaikan al-sima` dalam meningkatkan pengalaman hati-rohani terhadap yang Tertinggi. Ini berlainan dengan kalangan ahli al-fiqh yang agak keras dan tidak ada sentuhan  kehalusan seni rohani, kalangan mereka anti seni dan antara mereka mengharamkan sama sekali termasuk terhadap peralatan seni muzik.

Sekian.

No comments:

Post a Comment