July 14, 2017

KONSEP IMAM DARI KALANGAN SAHABAT BEREMPAT


BBB, 19 Syawal 1438H. =  13 Julai 2017M. (Khamis):
Selepas membicarakan konsep ilmu, kefaqiran, kesucian, maksud tasawuf dan pencelaan, Al-Hujwiri  membicarakan tentang tokoh-tokoh dan model-model kesufian. Ini pernah dibicarakan dengan  panjang lebar antaranya oleh Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Q!ushairiyyat.  Cuma Al-Hujwiri menkategorikan tentang tokoh-tokoh, misalnya tentang sahabat-sahabat utama yang empat (Khulafa` al-Rashidin) yang disebut imam, Imam dari Ahl al-Bayt, Ahlu al-Suffah, imam dari kalangan tabi`in dan seterusnya.
Mengingatkan Al-Qushairy mengarang dalam bahasa Parsi dan dari wilayah di bawah budaya Parsi (Ghaznawi), tanggapan kita, bila menyebut konsep imam menyangka terbawa kepada Imam Shi`ah, tetapi sebagaimana telah disebut bahawa Al-Hujwiri adalah pendukung Sunni bermazhab Hanafi, maka tiada  kaitan dengan faham Shi`ah. Imam di sini lebih bermaksud kepada pimpinan seperti khalifah.
 Al-Hujwiri sebagaimana pendekatan tasawuf yang lain menerima para sahabat yang empat dari segi politik pimpinan sebagai pegangan Ahlu al-Sunnah. Namun imam dimaksudkan di sini  lebih kepada kepimpinan rohani dan aspek yang ditonjokan dari kepimpinan sahabat yang empat ini pun sebahagian kecil dari aspek yang ada hubungan dengan kerohanian.
Sebagai contoh Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq dia dikatakan Imam Mushahadat yang pembuktian dengan penyaksian, tidak banyak dikaitkan Hadith dengan  Abu Bakar. Dia nerwatak  berani dan teguh dari segi ibadat. Dia membaca Al-Qur`an dengan lembut yang masuk ke hati pendengar-pendengar. Abu Nakar dikatakan berkata, ``Sibuk dengan yang sementara, buta terhadap yang kekal`` . Al-Hujwiri membawa perbezaan pendapat, mana yang lebih baik kefaqiran terpaksa dari kefaqiran ikhlas. Sementara ada yang berpendapat kefaqiran terpaksa lebih baik, tapi banyak berpendapat kefaqiran ikhlas terlebih baik, termasuklah Abu Bakar dikategorikan di bawah kefaqiran ikhlas.
Contoh yang ditonjolkan tentang Abu Bakar - tidak bertujuan untuk menerangkan kedudukannya dalam sejarah, tetapi dari aspek ketasawufan sendiri tidak lengkap dan tidak memadai. Misalnya boleh diolah konsep siddiq beliau – membenarkan apa yang disampaikan oleh Rasulullah, kesetiaan Abu Bakar semasa berhijrah ke Madinah dan ketulusan perjuangan beliau yang sanggup menginfaqkan seluruh hartanya untuk jihad keislaman dan memerangi orang murtad. Beliau menerima kekhalifahan, bukan keinginan tapi keikhlasan di atas kehendak Tuhan.
Keadaan sedemikian juga mengenai konsep imam Sayyiduna ~Umar ibn al-Khattab. Yang ditonjolkan ialah `Umar yang gagah, bijaksana dan tegas. Rasulullah bersabda  tentang `Umar, ``Kebenaran bicara melalui lidah `Umar``, juga , bahawa ujar Rasulullah,  pada zaman dahulu banyak yang menerima Ilham dan jika ada di zaman ini adalah `Umar. ``
Umar dikatakan mengungkapkan kata-kata,  ``Tempat tinggal yang dibina atas penderitaan adalah sentiasa dalam penderitaan. Beliau dikatakan teladan bagi sufi lantaran memakai jubah muraqqa` (bertampal). Beliau adalah teladan kesufian, khususnya dari segi kezuhudan.
Sebagaimana Abu Bakar demikian `Umar penampilan aspek kesufian juga bersifat pinggiran dari watak beliau yang lebih besar misalnya berhubung dengan keadilan. `Umar sanggup keluar malam menyiasat masalah rakyat dan menyampaikan bantun kepada ibu dan anak dalam kelaparan. Tidak menggunakan harta baitul mal lebih dari keperluan, Jihad beliau memperluaskan dan membuka negara-negara Islam, diplomasi beliau di dalam mendepani orang-orang Kristian  di Baitul Maqdis.
Berhubung dengan Sayyiduna `Uthman Ibn `Affan, fokos penampilan elemen tasawuf  ialah episod koflik yang dihadapi `Uthman pada akhir pemerintahan Baginda berdasarkan riwayat `Abdullah bin Rabah dan Abu Qutaibah, bahawa ketika rumahnya dikepung dan diserang oleh golongan pemberontak, ramai dari pihak `Uthman yang mengambil senjata bagi mempertahankan `Uthman, manakala sebahagian tidak bersenjata. `Uthman berkata, yang tidak mengambil senjata adalah merdeka.  Kata  `Abdullah dan Qutaibah kemudian mereka berundur dari rumah `Uthman  dan bila keluar di jalanan mereka bertemu dengan Hasan bin `Ali dan mereka kembali ke rumah `Uthman. Hasan minta `Uthman buat arahan mempertahankan kedudukan, tapi `Uthman meminta Hasan kembali ke rumah dan memintanya tunggu hingga Tuhan menentukan takdirnya. Pihak sufi membandingkan `Uthman sebagai Nabi Ibrahim yang dihukum oleh Namrud mencampakkannya di dalam api menyala, dan `Uthman juga menghadapi suasana yang gawat, tetapi Nabi Ibrahim selamat dan `Uthman terbunuh. `Uthman sebagai Nabi Ibrahim  Khalil Allah, maka dsemikian `Uthman dibandingklan sebagai khullah Allah.
Sebenarnya  ada elemen-elemen ketasawufan yang lain yang dapat dikaitkan dengan `Uthman, misalnya sifat pemurahnya yang sanggup mengeluarkan separuh daripada hartanya untuk jihad keislaman. Beliau membeli telaga di Madinah dari orang Yahudi untuk diambil faedah oleh orang ramai dan juga penting, usahanya menghimpun Al-Qur`an yang terkenal dengan Mushaf `Uthman dan dia terbunuh semasa memegang dan membaca mushaf tersebut.
Adapun Sayyiduna `Ali k.w. ia disifatkan sebagai mempunyai darajat ketasawufan yang tinggi, sebagaimana kata Al-Junayd,
```Ali adalah shaykh kita yang menegakkan prinsip-prinsip `Ketabahan Dam Penderitaan`.
`Ali mengatakan, `Siapa yang bersahabat dengan Tuhan dia dinaungi dan siapa yang memusuhiNya dia akan binasa.``
`Ali dilihat sebagai lambang tabah dalam menghadapi konflik, namun dia tetap sabar dalam derita, episod sejarah kekhalifahannya dilihat sebagai lambang bagi prinsip tasawuf, iaitu `Kefaqiran dan kesucian. Sesungguhnya episod sejarah yang dilaluinya menjadi `Kelukaan Zaman, yang terus diratapi`.
Walau apapun dengan pendekatan yang dibuat oleh Al-Hujwiri, bahawa kesemua khalifah empat terawal dalam, Islam itu diterima sebagai kedudukan dalam sejarah dan tidak sebagaimana aliran Shi`ah yang meolak sebahagian dari khalifah. Ini membuktikan sama, bahawa Al-Hujwiri adalah pendukung Sunni.

Sekian.

No comments:

Post a Comment