July 11, 2017

IMEJ DAN LAMBANG KESUFIAN JANGAN HANYA BERSIFAT LUARAN


BBB, 16 Syawal 1438H. = 10 Julai 2017M. (Isnin):
Selepas membicarakan tentang istilah dan asal usul tasawuf, Al-Hujwiri memberi tumpun khusus pada membicarakan tentang kaitan tasawuf dengan `suf` yang bermaksud `bulu biri-biri` dan lebih khusus dinamakan sufi kerana ada kaitan pemakaian sufi dengan baju suf, iaitu baju atau jubah yang diperbuat daripada bulu biri-biri yang ianya adalah `lambang kefakiran` yang menjadi tajuk pembicaraa - `Lambang Kefaqiran`.
Bagi mengukuhkan pendapat dan pendekatannya,  Al-Hujwiri  menampilkan bukti-bukti bahawa baju atau jubah dari biri-biri menjadi pakaian tokoh-tokoh dalam sejarah Islam yang diikuti oleh kaum sufi.
Menurutnya jubah dari bulu biri-biri adalah pakaian sunnah yang Rasulullah sendiri memakainya, di samping Baginda juga menunggang keldai. Pakaian sedemikian dianggap mesra dan manis. Baginda sendiri menampalkan baju Baginda, dan kiranya  jubah robek, digalakkan menampalnya.
Dikatakan bahawa jubah `Umar al-Khattab  r.a. penuh dengan tampalan sehingga berjumlah 30 tampalan. Sayyiduna `Ali k.w. dikatakan mempunyai jubah yang lengannya panjang hingga menutupi jari-jarinya.
Kata Hasan Basri, ``Aku melihat 70 sahabat yang berperang Badar, semuanya memakai jubah daripada bulu biri-biri. Termasuklah Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq. Demikian juga menurut Hasan Basri, beliau melihat Salman al-Farisi memakai `al-muraqqa`ah` - jubah yang bertampa-tampal..
Sebagaimana juga`Ali Hazim bin Hayyan meriwayatkan bahawa, dia melihat `Uwais al-Qarni memakai jubah yang bertampal.
 Demikianlah jubah yang menjadi budaya pakaian orang-orang `Arab,dengan jubah bertampal  dilihat sebagai imej dan simbol kezuhudan oleh kalangan sufi.
Sebenarnya selain daripada melambangkan kefaqiran dan kesempitan hidup, jubah adalah pakaian yang serasi dengan jiwa sufi yang berjiwa lembut dan menghendar diri dari bermegah-megah, sebaliknya  jubah dilihat sebagai imej kesufian dan menjadi lambang kezuhudan yang bukan dibuat-buat.
Lantaran itu Muhammad bin `Ali al-Hakim  al-Tirmidzi berkata, Shaykh-shaykh kalangan sufi adalah memakai jubah-jubah dari bulu biri-biri. Demikian Da`ud al-T*a`i guru dan sufi juga memakai jubah dari bulu biri-biri sebagaimana Ibrahim bin Adham ketika memngunjungi Abu Hanifah juga memakai jubah dari bulu biri-biri.
Cuma diperingatkan bahawa jubah adalah merupakan palaian luaran, maka diperingatkan  jangan jadi luaran tidak  menepati dalaman dari segi ketasawufan. Sebab itu orang banyak jangan tertipu dengan watak dan imej luaran, kerana sebahagian cuma bersifat ikut-ikutan.
Dikatakan ada empat golongan yang berjubah sufi.
Pertama mereka yang benar-benar dari kalangan sufi
Kedua mereka yang dalam keadaan berjinak-jinak mendekati kesufian
Ketiga mereka yang terpaut oleh luaran dan cuba untuk bersama tanpa kemantapan dari segi penghayatan dan amalan
Keempat mereka yang berwatak palsu yang mendekati ketasawufan lantaran mempunyai tujuan dan kepentingan tertentu, tanpa keikhlasan.
Dikatakan walaupun putih melambangkan kebersihan, tetapi bagi kalangan sufi, mereka lebih memilih jubah yang berwarna biru kelabu. Dikatakan warna  ini kelihatan buruk sesuai dengan jiwa sufi yang tidak mau menunjuk-nunjuk. Biru juga dikatakan lambang orang tertindas dan berimej dukacita dan dalam kesulitan. Selain dari kelihatan buruk ia juga melambangkan kematian.
Seorang darwish ditanya mengapa dia memilih jubah bulu berwarna biru kelabu . Beliau menjawab secara menyindir. Beliau memakai oleh tiga sebab, kerana lambang-lambang kesufian dirampas.
Pertama  imej kefaqiran telah diguna dan diambil kesempatan oleh mereka yang berkepentingan
Kedua imej pengetahuan diambil oleh golongan yang semata-mata mengajar tanpa kerohanian
Ketiga imej kekuasaan (pedang) telah diambil golongan yang mementingkan kuasa untuk memerintah danberkuasa.
Walau bagaimana pakaian berjubah bulu biri-biri adalah besifat budaya. Pakaian kasar jubah dari bulu-bulu biri-biri memang menjadi imej kalangan rohaniawan yang memisah diri dari khalayak bagi beribadat. Tanpa mempersoalkan realiti dari segi hakikat, bahawa konsep berjubah menjadi budaya yang dihormati dan dipandang suci.
Berjubah dikaitkan dengan ulama`. Pakaian jubah dkaitkan dengan ilmu, contohnya penerima-penerima ijazah  memakai jubah atau dipakaikan jubah keilmuan sebagai penghormatan, bahkan dikaitkan dengan gelaran-gelaran. Bahkan pelajar-pelajar berjubah berwarna putih sebagai pakaian rasmi dipandang suci dan dihormati
 Namun bagi kalangan sufi imej berjubah dan berserban adalah pakaian yang memberi imej dan watak kerohanian, tetapi tidak semestinya bertampal dan koyak. Dengan berpakaian lebih bersih, kemas dan menarik lebih meningkatkan imej, tapi semua ini bersiaft luaran. Ianya tidak mempunyai erti apa-apa jika dalaman adalah kekosongan dan kepura-puraan. Jiwa kesufian sebenarnya  tidak semestinya berada dibawah selubung yang berjubah, tetapi pada hati yang suci dan murni dan tidak semestinya berjubah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment