July 1, 2017

SHAUQ = RINDU, BERKAIT RAPAT DENGAN CINTA


BBB, 06 Syawal 1438H. = 30 Jun 2017M. (Juma`at):
Adalah mempunyai hubungan rapat dengan ` Cinta` sebagaimana telah dibicarakan. Ianya ditanggapi, bahkan dialami melalui hati-rohani dan tidak terpisah dari intuisi seni yang diistilahkan sebagai wajdan dan seni rohani.
Al-Qushairy bertolak membicarakan aspek shauq-rindu ini berdasarkan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Siapa yang mengharap dapat bertemu dengan Allah, maka masanya akan datang. Dan Dia Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.`` (Al-`Ankabut: 5).
Tentang shauq ini kata Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq, ``Shauq ialah goncangan hati untuk menemui yang dikasihi. Ukuran shauq ialah menurut kadar mahabbah.``
Kata Al-Ustadz  lagi, perbezaan antara  shauq dan ishtiyaq, rasa rindu, bahawa, shauq memungkinkan pertemuan dan penglihatan, manakala ishtiyaq ialah berterusan keinginan kepada pertemuan – selepas pertemuan. Sebagai contoh dibawa bayt puisi klasik yang begitu popular:
Tidak berkejip mata ketika menatap
Jika berlalu rindu kembali mengharap
Sebuah bayt lagi mengenai rindu yang didengar dari Abi `Ali:
Wahai yang mengadu shauqnya oleh lama perpisahan
Sabarlah tanggungan necaya esok kau menemui yang dirindukan !
Tidak dapat dinafikan baik membicarakan tentang cinta dan rindu ada elemen seolah-olah mempersonifikasikan antara hamba dengan yang Tertinggi, sedangkan dari segi hakikatnya tidak mungkin  diletakkan yang Tertinggi  pada tahap alamiah, apa lagi mempersonafikasinya. Mungkin jika  difahami adanya penggunaan, maka ianya mekanisme yang bukan bertujuan meletakkan Yang Tertinggi pada tahap alamiah yang Dia adalah Mahasuci dari yang sedemikian.
Di dalam hal ini berkata Al-Shaykh `Abdul Rahman al-Sulami dia mendengar Al-Nas*r Abadzi berkata;
``Bagi makhluk sekalian ada maqam shauq dan tidak ada baginya maqam ishtiyaq.
Bermaksud, Shauq manusia terhadap yang Tertinggi berlaku, tetapi berterusan bersama yang dirindu tidak berlaku. Bermaksud, tidal mungkin berlaku pertemuan di dalam konteks makhluk terhadap yang Tertinggi sehingga memberi kesan rindu berterusan kerana pertemuan.
Berkata Ibn Khafif, ``Al-Shauq ialah getaran hati dengan wajdan lantaran ingin pertemuan dan berdekatan.
Membamdingkan,  Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq berkata, bahawa yang dipohon oleh Rasulullah s.a.w. shauq kepada Allah adalah seratus peratus, maka apa yang dipohon shauq oleh hamba-hamba yang lain hanyalah satu dari seratus yang bererti sembilan puluh sembilan lagi tidak dapat ditanggapi dan dihayati.
Adalah dikatakan shauq ahli al-qurb lebih sempurna dari ahli al-mahibbin, lanataran sedemikian dipuisikan:
Berterusan bergerak  dan dia dalam pencarian
Mengintainya  dari khemah ke khemah kerinduan.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar `Abdullah bin `Ali berkata, aku mendengar Ja`far berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata, aku mendengar  Al-Sari berkata, ``Al-Shauq adalah setinggi-tinggi maqam bagi al-`arif, apabila ia tahqiq padanya, jika sedemikian tiada tumpuan melainkan kepada yang dirindui padanya.
Aku mendengar Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq berkata, setengah shaykh berkata, `` Apabila masuk shauq dan dia dirindui, maka dia terlepas dari ikatan yang lain.``
Aku mendengar Al-Shaykh Aba  `Abd al-Rahman al-Sulami  berkata, aku mendengar `Abdullah bin Ja`far berkata, aku mendengar Muhammad bin `Umar al-Ramli berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Ja`far al-Imam berkata, bercakap kepada kami Ishaq bin Ibrahim berkata, bercakap kepada kami Mahrum berkata, aku mendengar Malik bin Dinar berkata,
``Aku membaca di dalam Taurat, ``Kami bangkitkan rindu dalam dirimu, tetapi kamu tidak rindu kepada kami. Kami tiupkan seruling rindu, tapi tidak seorang  tersentuh dengan irama rindu itu.``
Aku mendengar Muhammad bin `Abdullah al-Sufi berkata, aku mendengar Muhammad bin Farhan berkata, aku mendengar Al-Junayd, bahawa dia disoal,
``Kerana apakah tangis yang mencintai, apabila bertemu yang dikasihi ?
Maka katanya, ``Adapun yang demikian lantaran sukacita dengannya. Dan bersangatan shauq kepadanya. Dan sampai kepadaku bahawa kedua beradik itu berpeluk. Seorang daripadanya berkata
``Alangkah shauqnya.`` dan berkata seorang yang lain, ``Alangkah wajdannya.``
Demikianlah dengan ma`rifat meningkat kefahaman dan pengertian terhadap Yang Tertinggi dan diakuri secara ta`abbudi.
Dan dengan  mahabbah dan shauq meningkat dari intuisi rohani – wajdan yang digambarkan dengan mahabbah dan shauq dengan keasyikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment