July 15, 2017

IMAM DARI KALANGAN AHLU AL-BAYT


BBB:  20 Syawal 1438H. =  14 Julai 2017M. (Juma`at):
Maksud Ahli al-Bayt ialah yang berketurunan dari nasab Nabi Muhammad  s.a.w. Dan keturunan Nabi adalah melalui anak Baginda Fatimah dengan menantu Baginda, iaitu `Ali bin Abi Talib yang juga sepupu Baginda. Dari mereka berdua lahir cucu baginda, iaitu Hasan dan Husain.  Dan dari Husain berkelanjutan turunan Baginda sebagaimana wujudnya keturunan syed-syed pada hari ini.
Al-Hujwiri mengambil 5 orang dari keturunan awal dari Fatimah dan `Ali yang pada mereka mempunyai elemen-elemen tasawuf. Terawal daripada mereka ialah:
Hasan bin `Ali
Anak pertama bagi Fatimah dan `Ali dan juga cucu pertama bagi Rasulullah s.a.w. Baginda amat mengasihi cucu Baginda Hasan (juga Husein).  Hasan mahir berkenaan aspek kerohanian. Beliau pernah menasihiti:
``Jagalah kalbu kamu, kerana Allah mengetahui apa yang tersirat di dalam fikiran kamu.`` Bahawa konsep hati dan fikiran telah dibincangkan pada masa itu.
Pada zaman Hasan ini, selepas kematian bapanya `Ali, telah timbul polimik, di antara pihak yang keluar dari menyokong `Ali dan Mu`awiyah yang dikenali dengan puak Khawarij, Hasan Basri telah meminta fatwa dari Hasan bin `Ali tentang golongan Khawarij ini. Menurut Hasan golongan penderhaka dan penyeleweng ini yang darinya melahirkan Mu`tazilah, Murjiah dan Jabariyaah adalah kufur.
Sebagai bukti, bahawa orang sufi rela menerima celaan, Hasan bin `Ali didatangi seoranng Badwi yang mencaci dan merendah-rendahkannya, Hasan tidak memarahinya, sebaliknya memberi hadiah kepadanya yang menyebabkan Badwi itu menyedari tentang kemuliaan jiwa Hasan. Seterusnya beliau menyanjunginya.
Berhubung dengan Husain, cucu Rasulullah yang dikasihi ini menjadi mangsa pihak yang lapar kuasa. Dari angkara Yazid bin Mu`wiyah dia terbunuh di Padang Kerbala. Dia ditangisi oleh umat, bukan saja oleh kalangan Shi`ah. Zaman menuntut keadilan, terutama dari golongan pendukung Mu`awiyah dan anaknya Yazid. Mereka dkutuk oleh sejarah. Husain menjadi lambang pengoranan suci dan lambang kerohanian.
Manakala Zainal `Abidin bin  Husain bin `Ali  adalah anak yatim yang sempat diselamatkan dari kezaliman Yazid. Darinya diwarisi buah-buah kata yang bernas dan berhikmah,  bahawa orang yang dikurniai kekayaan dan kesenangan tidak dihanyut oleh kesenangannya dan jika dia marah dia tidak hanyut dengan kemarahannya. Pendeknya yang bijaksana dapat mengawal dirinya.. Belian tidak mengambil kembali apa yang telah diberikan. Sebagai turunan Rasulullah belia juga tidak berhak menerima sadaqah.
Adapun Abu Ja`afar Muhammad bin `Ali bin al-Husain al-Baqir  yang panggilan ringkasnya ialah Muhammad al-Baqir atau Al-Baqir sahaja dipelihara dengan baik oleh keluarga dan menghendar dari intipan seterus politik, kerana dicemburui kiranya dia berhasrat untuk menuntut bela kezaliman terhadap dirinya.  Al-Baqir mendapat pendidikan yang baik dan mendalami di dalam bidang Al-Qur`an dan menjawab  terhadap kemusykilan-kemusykilan yang diajukan kepadanya.
Beliau mempunyai aura dan kehebatan diri. Dikatakan dia pernah dijemput oleh seorang raja ke istana dengan niat yang tidak baik terhadapnya. Tapi bila dia masuk mengunjungi raja  berkenaan, raja melihat  dikanan dan kirinya dua ekor singa yang sedia menerkam. Ini membuat raja berkenaan kecut dan tidak mampu untuk  mengambil tidakan terhadapnya..
Muhammad al-Baqir adalah seorang yang kuat beribadat dan sentiasa berzikir an berwirid. Muhammad al-Baqir juga adalah menjadi silsilah tariqat.
Manakala tokoh terakhir dari kalangan Ahli al-Bayt yang dibicarakan oleh Al-Hujwiri ialah Abu Muhammad Ja`far bin Muhammad al-Sadiq.
Beliau adalah seorang yang berilmu dan terkenal di kalangan shaykh-shaykh sufi lantaran beliau mempunyai wawasan yang tajam tentang kebenaran dan kehalusan tanggapan tentang kesufian. Ketokohan Muhammad al-Sadiq  ini ditandai dengan  penghasilan  kitab-kitab tasawuf karangannya. Dengan kitab-kitab yang dihaslkan  menjelaskan tentang kemampuan beliau di dalam keilmuan yang berhubung dengan kerohanian.
Beliau mengungkapkan antaranya, ``Barangsiapa mengenal Allah dia akan meninggalkan sesuatu yang selain daripadaNya.
Ja`far al-Sadiq terkenal sebagai seorang yang merendah diri. Misalnya Da`ud al-T*a`i pernah mengemukakan pertanyaan kesufian kepadanya dan meminta beliau mewasiatkannya, tetapi beliau tidak mau menunjukkan kelebihannya, sebaliknya  memuji Da`wud, bahawa dia adalah orang yang lebihberwibawa darinya.
Dengan adanya pertalian keturuan Rasulullah yang berwibawa telah mewujudkan identiti yang dikenali sebagai Ahlu al-Bayt. Mereka ini dan turunan mereka lebih terlibat dan berminat di dalam biadng-bidang kerohanian dan kurang melibatkan di dalam bidang politik. Namun dari satu segi konsep  Ahlu al-Bayt kadang-kadang dicampur aduk oleh pendukung-pendukung dan seteru-seteru, sehingga menimbulkan tanggapan bahawa Ahlu al-Bayt adalah Shi`ah dan sebaliknya. Ahlu al-Bayt adalah turunan yang bertalian dengan Rasulullah, pada hakikatnya mereka berkecuali, tapi ada yang mewarnainya sebagai Shi`ah.  Ahlu al-Bayt adalah turunan yang bertalian dengan Rasulullah, sedangkan Shi`ah adalah faham politik yang asalnya adalah pihak yang membela keturunan Rasulullah yang dianggap teraniaya dan kena zalim yang kemudian menjadi faham  dan aliran atau mazhab yang dikenali dengan Shi`ah. Faham ini kemudiannya meluas kepada bidang-bidang yang bukan politik dan antaranya sebagai mazhab Shi`ah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment