July 29, 2017

WASPADA SEGI KREATIVITI DAN IMAGINASI : BISHR AL-HAFI


BBB, 04 Dzul-Kaedah `1438H. = 28 Julai 2017M. (Jumaat):
Sebagaimana kita bicarakan tentang watak Ibrahim bin Adham, bahawa ianya dilegendakan. Dengan dilegendakan, maka sebagai sifat cerita atau anekdot yang merupakan bidang sastera, maka  di dalam bidang sastera umum, soal membesar-besarkan watak yang memang ada dan ditokok-tambah dengan berbagai elemen yang meningkatkan ketokohan, bertujuan antaranya bagi mengindahkan cerita. Namun dalam sastera biasa ada kebenaran dari segi kreativiti dan imaginasi:
Penyair boleh saja mengkreativiti dan mengimaginasi misalnya:
Hasratnya menjangkau bulan dan bintang
Untuk mencapai cita-cita kuharungi tujuh lautan dan dan ku daki tujuh gunung banjaran
Di dalam pantun orang tidak kisah dari logik atau tidak dari segi pembayang. Misalnya:
Bila memandang ke muka laut,
   Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
    Budi yang baik ingat selalu.
Yang dipentingkan ialah mesej yang hendak disampaikan. Keadaan yang sama berlaku pada syair dan puisi-puisi yang lain.
Tasawuf sebagaimana sering diperkatakan amat rapat dengan seni sastera. Sebagai contohnya anekdot berkenaan Ibrahim bin Adham. Dia dilegendakan dan ceritanya dikreatif. Misalnya tentang binatang perburuan. Dia menjadi petani, proses dia memurnikan diri dan peningkatannya dari segi kerohanian. Oleh karana anekdot di dalam batas kewajaran dilegenda dikretiviti dan diimaginasi, cerita dilihat adalah normal. Mesejnya jelas ialah `Keinsafan`. Anekdot dianggap indah dan mengesankan.
Namun di luar dari batas normal, penggunaan imaginasi dan kreativiti luar dari batas biasa berhubung dengan akidah dan hukum Islam akan dipersoal.
Misalnya  anekdot berkenaan Bishr bin al-Harith al-Hafi dikatakan asalnya seorang pemabuk, pada satu  hari ia menemui secebis kertas yang tertulis  `Bismillah`i-Rahmani`r-Rahim` di atas tanah, lantas dia mengambil dan membersihnya, mewanginya dan meletakkannya pada tempat yang wajar.
Perbuatan Bishr menghormati basmalah ini yang sebahagian daripada ayat Al-Qur`an adalah baik, tetapi dengan perbuatan baiknya ini, dikreatifkan dengan sesuatu yang boleh dipersoalkan dari segi akidah. Iaitu, pada malamnya Bishr di atas perbuatan baiknya telah bermimpi Tuhan berfirman kepadanya !
``Wahai Bishr, kerana engkau telah mengharumkan Nama Ku, aku bersumpah demi Keagungan Ku bahawa Aku akan mengharumkan namamu di dunia dan akhirat.``
Persoalannya mengatakan Tuhan berfirman kepada Bishr adalah keterlaluan.
Firman Tuhan adalah kepada Rasul, itu pun biasanya melalui perantaraan malaikat, atau wahyu. Jadi mengatakan Tuhan berfirman kepada manusia biasa adalah keterlaluan. Firman Tuhan adalah hukum. Adakah manusia biasa disalurkan hukum.
Perhubungan Tuhan dengan manusia biasa secara firman   dilihat sebagai kurang wajar. Nabi Musa sebagai Rasul tidak mampu berdepan dengan Tuhan di Bukit Tursina dan jatuh pengsan.
Dalam erti kata yang lain, andainya persoalan di atas dikaitkan dengan elemen kreatif dan imaginatif sebagai kebenaran di dalam sastera adalah juga tidak wajar.
Jika seorang sufi, kerana kebersihan dan kesufiannya dibenarkan, mengungkapkan firman Tuhan terhadapnya, maka akan menjadi kacau dari segi konsep firman dan hukum hakam.
Di dalam maksud, bahawa adalah tidak wajar bagi sufi dan siapa juga manusia biasa menggunakan konsep firman Tuhan yang biasanya antara Allah dan para Rasul sahaja digunakan kepada manusia biasa. Ini untuk mengelak kekeliruan dan kekacauan.
Selain dari firman, para sufi juga banyak menggunakan unsur mimpi yang dikaitakan dengan Rasulullah s.a.w. Di samping menerima kemungkinan berlaku dan diakui mimpi dengan Nabi boleh berlaku, tetapi bagaimana mau mempastikan kesahihan yang jika hadith mempunyai perawi dan sanad yang membuktikan kebenaran.
Misalnya suatu yang luar biasa dikatakan, pada malam Dzu al-Nun al-Misri meninggal dikatakan seramai 70 orang sufi bermimpi melihat (mendengar) Rasulullah s.a.w. bersabda,
``Aku datang menemui Dzu al-Nun al-Misri wali Allah !``
Persoalan mimpi mungkin berlaku, tetapi bagaimana untuk mempastikan kebenaran berlakunya mimpi serentak serama 70 orang itu ?
Apakah ini akibat dari penggunaan elemen `Kebebasan kreativiti dan  berimaginasi ? Bertujuan untuk mengangkat watak ?
Kedudukan Hadith Rasulullah adalah murni dan adalah mnenjadi sumber hukum. Kita tidak mau kebersihan ini dikotori dengan campur-aduk dengan perkara yang tidak murni.
Dengan membicarakan perkara ini kita memahami, mengapa ada timbul golongan muhaddithin  yang tidak cococok dengan golomgan sufiyyin.

Kita memperkatakan hal ini kerana tidak mau kemurnian pendekatan golongan sufi dirosakkan oleh pendekatan-pendekatan atau perkara-perkara yang merosakkan pendekatan tasawuf yang  murni itu. Sekian.

No comments:

Post a Comment