BBB, 07 Dzul-Kaedah 1438H. = 31 Julai
2017M. (Isnin):
Membicarakan tentang Da`wu al-T*a`i yang
nama penuhnya, iaitu Abu Sulaiman Da`wud bin Nus*air al-T*a`i agak berlainan dan keras dari segi
pendekatan berbanding degan Al-Harith
al-Muhasibi yang baru diperkatakan. Da`wud al-T*a`i ialah dari kalangan sufi
terawal (m. 165H./781M.). Dia dikatakan Murid Abu Hanifah dan sezaman dengan
Fudhayl bin `Iyadh dan Ibrahim bin Adham. Dari segi tasawuf dia adalah murid
bagi Abi al-Ra`i. Da`wud al-T*a`i
dikatakan alim di dalam banyak bidang
keilmuan, khususnya di dalam ilmu fiqh.
Di
dalam bidang tasawuf dia memilih jalan zuhud dan salih. Dia mengatakan kepada
murid-muridnya. Jika mau kebahagian tinggallah dunia dan jika mau rahmat pastikan diri di atas jalan akhirat.
Sebagaimana dikatakan pendekatan Da`wud
al-T*a`i agak keras dan rigid, berbanding dengan Al-Muhasibi yang menganjurkan
umat kepada keelokan akhlak yang sumbernya dari Al-Qur`an, al-Hadith dan
pembawaan Rasulullah s.a.w itu sendiri.
Anjuran untuk meninggalkan dunia seharusnya
sesudah diberi penerangan konsep dunia dan hubungan dengan nafsu, syaitan dan
elemen-elemen kekejian yang lain yang memperlihatkan kekejian dan kejelekan
dunia itu sendiri.
Sikap orang-orang sufi agak keras terhadap
kalangan yang berjawatan dan melaksanakan pentadbiran negara, sebagaimana maklum
ramai dari kalangan `ulama` seperti Abu
Hanifah dan Ahmad bin Hanbal menolak dari perlantikan dari menjadi kadhi atau
hakim, meskipun terpaksa menghadapi penjara.
Sikap sedemikian terlihat juga pada Da`wud
al-T*a`i, ini tidak bermakna beliau ditawarkan sebarang jawatan oleh
pemerintah, tetapi hubungan baik dengan tokoh boleh berubah dengan penerimaan
jawatan. Sebagai contoh Da`wud al-T*a`i
bersahabat dengan Muhammad bin al-Hasan dan Abu Yusuf yang kedua-duanya
alim terutama di dalam bidang fiqh, di samping keilmuan yang lain. Apabila Abu
Yusuf menerima dan dilantik menjadi kadhi di Baghdad, maka selepas itu Da`wud
al-T*a`i tidak lagi membuat hubungan dengan Abu Yusuf, sedangkan hubungannya
dengan Muhammad bin al-Hasan berterusan.
Kalangan sufi juga dikatakan memusuhi kalangan ahlu al-kalam, kerana perbahasan mereka
tentang ketuhanan memecah-belahkan umat seperti lahirnya Qadariyyah, Jabariyyah,
Mu`tazilah, Murjiyah dan sebagainya.
Da`wud al-T*a`i, adalah dari kalangan yang
tidak menyenangi golongan ahlu al-Kalam. Dikatakan faktor ketidaksenangan ini
berkait juga dengan hubungan antara Muhammad bin al-Hasan dan Abu Yusuf.
Hubungan baik Da`wud al-T*a`i dengan
Muhammad bin al-Hasan antaranya , oleh kerana Muhammad bin al-Hasan terlibat
dengan ilmu al-kalam selepas dia kaya
dan tidak mementingkan dunia. Manakala ketidak senangannya terhadap Kadhi Abu Yusuf kerana dia melibatkan diri dengan ilmu
al-kalam ialah selepas ia miskin. Sikapnya dianggap ingin mencari pendapatan
dari keterlibatan terhadap ilmu al-kalam dan juga penerimaan jawatan kadhi.
Antara sikap Da`wud yang dapat ditafsirkan
sebagai dunia baginya, ialah harta yang beliau terlalu waspada terhadapnya.
Adalah dikatakan `Da`wud al-T*a`i mewarisi
harta pesaka sebanyak 20 dinar. Dikatakan dia membelanjakan dinar warisan itu
secara berdikit-dikit selama dua puluh tahun lamanya. Sikap jimat cermatnya
terhadap harta warisan patutlah dipuji, tetapi wajar juga dipersoalkan, bahawa
beliau tidak berikhtiar mencari rezeki didalam berzuhud dan meninggalkan dunia,
sehingga tiada rezeki tambahan yang dicari ? Sehingga dikatakan Al-Junayd membantunya
dengan pemberian dinar. Apakah ini merupakan tuntutan dari segi agama (Islam).
Persoalan juga boleh ditimbulkan ialah
dalam usaha bertasawuf bagi membersih diri dengan bertaqwa, mendekati diri kepada Allah mestikah
diri mengasingkan diri dari masyarakat.
Misalnya Da`wud al-T*a`i diminta darinya nasihat beliau berkata,
``Puasalah dengan dunia dan berbukalah
dengan kematian, lantaran kematian menunggumu.``
Kenyataan di atas memang benar, tetapi
untuk meninggalkan dunia yang antara
maksudnya dapat ditafsirkan sebagai kehidupan mungkin dapat dipersoalkan.
Apakah elemen qissisin dan rahbaniyyah (Al-Ma`idah: 82) digalakkan di dalam Islam.
Sedangkan dikatakan, bahawa, ``tidak ada rahbaniyyah dalam Islam.``
Antara anjuran Da`wud al-T*a`i yang boleh
dipersoalkan, ialah,
``Larilah dari manusia seperti engkau lari dari
diburu harimau !``
Apakah anjuran Islam supaya mengasing dan
mewmisah diri dari masyarakat ?
Bagaimanakah bagi menunaikan tuntutan
berjama`ah, seperti bagi mendirikan solat, menguruskan kepentingan masyarakat
seperti apabila berlakunya kematian ? Tidakkah antara ciri kehidupan manusia
ialah bermasyarakat dan bergantung keperluan antara satu sama lain.
Bagaimanakah untuk melaksanakan tuntutan dakwah, jika tidak berlaku di dalam
masyarakat ? Pengasingan diri untuk keselamatan diri, tanpa mengambil tanggungjawab
terhadap keluarga dan masyarakat adalah tidak baik. Penilaian akhlak baik dan
buruk hendaklah melalui kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya sebagaimana pernah kita
sebutkan, diri dan jiwa yang hidup di tengah masyarakat adalah jauh lebih baik dari yang ferasing. Diri yang
hidup diibaratkan sebagai ikan yang hidup di tengah laut, yang kerana hidupnya,
biarpun berada di tengah air laut yang
masin, dirinya tetap hidup dan tidak masin, sebaliknya ikan yang mati mudah
digarami dan dagingnya segera menjadi masin.
Perutusannya: Sufi yang berada dan bergiat
di tengah masyarakat berperanan dan membaiki masyarakat lebih baik dari yang
mengasingkan diri yang lebih memetingkan keselamatan diri sendiri dari
kepentingan masyarakat bersama.
Sekian.
No comments:
Post a Comment