August 7, 2017

AL-IMAM AL-SHAFIE: ILMUAN MENCAKUPI BIDANG TASAWUF


BBB,  13 Dzul-Kaedah 1438H. = 06 Ogos 2017M. (Ahad).
Jarang kalangan mereka yang tidak  dimasukkan ke dalam `golongan  sufi` disenaraikan sebagai sufi. Contoh Ash`ari, Maturidi sebagai `ulama di dalam bidang usuluddin tidak dikategorikan sebagai sufi. Di dalam hal ini Al-Hujwiri memasukkan Al-Imam Al-Shafie sebagai tokoh di dalam bidang sufi. Sebenarnya pengkelompokan sedemikian – Sufi khusus, dapat dipersoalkan, kerana  seorang Imam Madzhab Shafie, walaupun dia terkenal di dalam bidang fiqh, tetapi sebagai seorang `ulama` tentulah dia juga sempurna di dalam bidang kerohanian yang melayakkan beliau sebagai seorang faqih, juga tasawuf, bahkan antara fiqh dan tasawuf perlu sempurna dan menyempurnakan sebagaimana ditegaskan oleh Imam Malik.
Jadi memasukkan Al-Imam Shafie sebagai tokoh sufi  adalah wajar. Namun Al-Hujwiri nampaknya sengaja mencari-cari hujah yang dapat dikaitkan Al-Imam al-Shafie dengan kesufian. Katanya Al-Imam Al-Shafie pada awalnya tidak tertarik kepada  bidang tasawuf, tetapi selepas menemui Sulaiman al-Rayy, dia tertarik dengan bidang tasawuf,  tetapi tidaklah dihuraikan aspek-aspek yang  mengaitkannya dengan tasawuf. Sebenarnya berbagai persoalan seperti solat, puasa, zakat, bahkan haji yang merupakan perkara-perkara yang dibicarakan di dalam bidang fiqh, juga adalah keperluan yang seharusnya ada, bahkan mesti bagi seorang  sufi, jika tidak bukanlah dia seorang sufi. Di dalam hal ini Al-Imam Al-Shafie lebih tepat dari segi kebersihan luaran dan dalaman sebagaimana dibincangkan di dalam bidang tasawuf. Antara kedua bidang tasawuf dan fiqh adalah berkaitan dan perlu-memerlukan, bahkan sempurna menyempurnakan.
Al-Imam al-Shafie yang turut disenaraikan oleh  Al-Sayyid Mahmud Abu al-Faydh al-Manufi al-Hasani di dalam kitabnya `Jamharat al-Awliya`  menyatakan Al-Imam al-Shafie adalah imam yang sempurna yang alim lagi beramal mengikut al-Sunnah dan al-Athar. Dia diikuti oleh kalangan-kalangan pengikut di dalam madzhab Shafie.
Nama lengkap Al-Imam al-Shafie  ialah Abu `Abdullah Muhammad bin Idris al-Shafie. Dia dilahirkan di Ghazzah (L. 150H.). Ibunya seorang yang mahir di dalam Al-Qur`an dan mendidik anaknya dengan pembacaan Al-Qur`an. Sebab itu ketika Shafie berumur tujuh tahun beliau  telah khatam menghafal Al-Qur`an. Pada ketika berumur 13 tahun beliau menguasai dari segi tartil dan seterusnya dalam perkembangan umurnya, beliau memahami dari segi bahasa dan sastera `Arab, memahami dari segi cerita dan hukum-hukum yang terkandung di dalam Al-Qur`an.
Adalah dikatakan bahawa bila Shafie meningkat kepada  umur 20an dia masih merujuk pertanyaan-pertanyaan berhubung dengan Al-Qur`an. Ibunya mahu Shafie menjadi orang yang alim berhubung dengan `ulum al-Qur`an. Ibunya menasihati anaknya – Shafie mempelajaran berkenaan Al-Qur`an dan hukum-hukum dengan orang yang pakar. Ibunya mencadangkan Shafie belajar dengan murid-murid Ibn `Abbas  dan Ja`far  al-S*adiq. Salah seorang daripada mereka yang menjadi guru al-Shafie ialah Muqatil bin Sulaiman. Dia adalah guru yang paling tinggi  ilmu pada zamannya. Muqatil  alim dalam bidang Al-Qur`an, tafsir, Hadith dan fiqh. Adalah diceritakan bahawa Shafie tidak mengetahui asal kata di dalam ayat. ``Wa qad khaba man dassaha `` (Al-Shams: 10).
Akhirnya di diketahui dari gurunya Muqatil, bahawa `Dassaha` ialah berasal dari bahasa Sudan, bermaksud `menyesatkan`. Ayat bermaksud:
``Sesungguhnya hampalah  orang yang menyesatkan`` dengan kekotoran, kekejian termasuk syirik.
Gambaran tentang Shafie bahawa dia adalah bersih kelihatan, menarik pandangan, tajam pemikiran.  Adalah Shafie bermukim di Madinah dan belajar dengan Imam Malik di Masjid Madinah. Kitab utama yang dipelajari dari Imam Malik Al-Mut*t*a`, kitab karangan Imam Malik. Beliau menghadhamkan kitab ini, bahkan menghafal seluruh kandaunga kitab Al-Muwat*t*a`.
Al-Shafie selain dari mendalam dalam bidang fiqh sehingga  berkelayakan sebagai Imam Mujtahid, beliau juga pakar di dalam bidang bahasa dn menggubah puisi-puisi. Bahasanya indah dan menarik.
Al-Shafie juga adalah pengasas dan orang yang mula meletakkan dasar ilmu Usul Fiqh dan mendalami ilmu falak. Al-Shafie juga adalah mendalami ilmu tafsir. Beliau mentafsir sebanyak 745 ayat Al-Qur`an yang kebanyakannya berhubung dengan ayat-ayat al-ahkam. Beliau adalah faqih dan Imam pada zamannya yang layak mengeluarkan fatwa.
Tentang Al-Imam Shafie, al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata,.
``Aku tidak melihat orang yang lebih faham tentang kitab Allah daripada pemuda Quraisy ini dan aku tidak melihat orang yang lebih daripada berpandukan athar .`` (Hadith) Rasulullah s.a.w.
Adalah Al-Shafie membahagikan malamnya kepada tiga bahagi, satu bahagi untuk menulis, sebahagi untuk solat dan sebahagi  yang lain untuk tidur.
Al-Imam al-Shafie berkata,
``Asal hukum ialah Al-Qur`an dan Al-Hadith, maka jika tidak di dapati, maka hendaklah dikiaskan antara keduanya pada yang berlaku dari segi hukum-hukum. Apabila bersambung Hadith daripada Rasulullahs.a.w. dan sah sanad daripadanya, maka ia adalah Sunnah.  Sebab itu khabar secara ijma` lebih sah daripada khabar secara mufrad (perseorangan).
Imam Shafie juga berkata, ``Apabila sah Hadith, maka dia adalah madzhabku.``
Kedudukan Al-Imam Shafie adalah dikiaskan dengan Hadith Rasulullah s.a.w, bermaksud:
``Allah mengukuhkan ke atas ahli agamannya, pada tiap-tiap awal seratus tahun dengan seorang lelaki dari ahli baiti, dia menerangkan kepada mereka itu tentang perkara-perkara yang berhubung dengan agamanya.``
Maka dilihat bagi awal seratus tahun pertama ialah `Umar bin `Abdul Aziz dan bagi awal seratus tahun kedua  daripada keluarga Rasulullah s.a.w. ialah Muhammad bin Idris al-Shafie.
Al-Shafie bergiat selepas Madinah, ialah di `Iraq, beliau telah mengeluarkan fatwa-fatwanya di sini yng fatwa-fatwa di Iraq ini dikenali dengan Qawl Qadim. Semasa di Iraq beliau telah ditawarkan jawatan Kadhi (Hakim) dan beliau menolaknya. Kemudian beliau berpindah ke Mesir dan meninggal di sini. Semasa di Mesir beliau juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa. Fatwa-fatwa semasa di Mesir ini dikenali dengan Qawl Jadid. Kekukluhannya  dari segi hukum menjadikan beliau salah satu madzhab yang diikuti umat Islam. Sebanarnya dari segi kesufian dengan keilmuan, amal ibadat dan pembawaannya dia lebih dari seorang sufi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment