August 10, 2017

ANTARA DIPERSOAL DAN SESUAI DINISBAHKAN KEPADA AHMAD BIN KHADHRAWAYH


BBB, 16 Dzul-Kaedah 1438H. =  09 Ogos 2017M. (Rabu):
Antara watak yang ditampilkan oleh Al-Hujwiri dalam Kashfu al-Mahjub ialah Ahmad bin Khadhrawayh al-Balkhi, kunyahnya ialah Abu Hamid. Dia adalah dari kalangan shaykh Utama di Khurasan. Dia bersahabat dengan Abu Turab al-Nakhshabi dan Hatim al-As*amm. Dia pergi menemui Abu Yazid al-Bist*ami seorang Shaykh Khurasan terkenal dan dia pergi ke Naisaburi kerana menziarah Abu Hafs* al-Naisaburi.
Abu Hafs* pernah ditanya, ``Siapa pada pendapatnya shaykh terpenting  dari generasi zamannya. Dia menjawab,
``Aku tidak melihat seseorang yang lebih tinggi himmah dan tidak ada yang lebih benar dari segi hal lain  dari Ahmad bin Khadhrawayh. Dia meninggal pada tahun 240H.
Al-Hujwiri membicarakan Ahmad Bin Khadhrawayh secara bercerita, kononnya puteri bagi seorang Amir di Balkh bernama Fatimah, insaf dan ingin taubat dari kehidupan berpoya-poyanya  selama ini dia ingin bertaubat dan memerlukan seorang suami untuk membimbingnya. Melalui perutusan yang dihantar oleh Fatimah kepada Ahmad bin Khadhrawayh yang diketahuinya seorang yang wara`, meminta Ahmad bin Khdhrawayh meminangnya. Tetapi permintaan Fatimah ditolak oleh Ahmad bin Khadhrawayh. Fatimah tidak berputus asa, Fatimah menghantar lagi perutusan dan mengingatkan Ahmad bin Khadhrawayh, betapa balasan di akhirat orang yang enggan menunjuk jalan dan membiarkan orang dalam kesesatan.
Dengan ingatan itu Ahmad bin Khadhrawayh insaf dan menghantarkan rombongan meminang dan diterima oleh bapa Fatimah dan mereka berkahwin. Selepas berkahwin mereka berdua mengasingkan diri dari masyarakat.
Pada satu masa Ahmad bin Khadhrawayh melawat Bayazid dengan ditemani sama  isterinya Fatimah. Yang mengejutkan Ahmad ialah apabila berdepan dengan Bayazid Fatimah menanggalkan tudungnya dan bercakap secara bebas dengan Bayazid. Ini menjadikan Ahmad cemburu terhadap isterinya. Isterinya menjawab bahawa dari segi fizikal bahawa diri Fatimah adalah milik Ahmad bin Khadhrawayh, tetapi dari segi rohani Bayazid sama dengan keinginannya  dalam menuju Tuhan. Walau bagaimana pada satu pertemuan lain Bayazid menanya Fatimah tentang tangannya yang diwarnai dengan inai.  Ini menunjukkan Bayazid mulai beri perhatian terhadap Fatimah, maka mulai dari masa itu Fatimah memutuskan hubungan dengan Bayazid dan mereka tidak menziarahinya lagi.
Cerita di atas walaupun mungkin dikreatifkan terasa tidak cocok dengan suasana ketasawufan. Pertama Fatimah dan juga Anmad dipersoalkan dari segi Islam yang membiarkan isteri melebihi dari ciri akhlak keislaman. Cerita berkenaan juga merendahkan Bayazid sendiri yang tidak sepatutnya diceritakan sedemikian.
Satu lagi cerita atau anekdot boleh dipersoalkan bahawa selepas itu Ahmad dan isterinya Fatimah berpindah dan tinggal di Naisabur. Mereka disenangi oleh shaykh-shaykh di Naisabur.
Adalah diberitakan bahawa tokoh sufi Yahya bin Mu`adh al-Razi  mau melawat Naisabur dalam perjalanannya dari Rayy ke Balakh. Ahmad dan isterinya berbincang, bagaimanakah untuk menghormati kehadiran shaykh berkenaan. Mereka bercadang sembelih lembu dan biri-biri  sebagai jamuan shaykh dan tetamu—tetamu dari kalangan shaykh. Fatimah juga mencadangkan agar disembelih keldai ? Ahmad bertanya apa tujuan menyembelih keldai, Fatimah menjawab
Dalam jalanan  ada anjing-anjing yang juga perlu diberi makan. Maksudnya mereka yang bukan dari kalangan shaykh-shaykh. Sekali lagi cerita ini, walaupun mungkin bersifat kreatif –  sebenar tidak manis dari segi akhlak apa lagi dari tasawuf, iaitu merendahkan satu pihak yang tidak sesuai dari segi kesufian. Apalagi dalam majlis kesufian biasanya tidak  dipentingkan dari segi makan. Pokoknya cerita atau anekdot sedemikian kurang cocok sebagai anekdot kesufian.
Ini berlainan dengan  satu cerita lagi dibawa oleh Al-Hujwiri, bahawa seorang faqir darwish telah menjemput seorang kaya berbuka puasa Ramadhan di rumahnya. Orang kaya itu menghormati jemputan darwish berkenaan. Makanan yang disediakan oleh darwish berkenaan untuk berbuka hanyalah sebuku roti kering. Mereka berbuka tanpa aduan dan bersolat bersama. Selepas pulang ke rumah, orang kaya berkenaan telah menghantarkan seuncang  dinar ke rumah darwish, namun pemberian oang kaya tersebut ditolak dengan baik oleh darwish tersebut.
Berbanding dua anekdot di atas, maka cerita darwish dengan orang kaya adalah sesuai dengan jiwa dan suasana ketasawufan.
Selain daripada anekdot yang dikaitkan dengan Ahmad banyak riwayat  yang berhubung dengannya. Ahmad diriwayatkan berkata antaranya,
``Dalam kemerdekaan (al-hurriyyah) sempurnanya`ubudiyyah dan dalam mentahqiqkan  `ubudiyyah sempurnanya kemerdekaan.``
Kata Ahmad, ``Sabar ialah bekalan orang yang dalam keadaan tertekan, dan redha ialah bekalan bagi `arifin.``
Dan katanya, ``Siapa yang sabar dengan kesabaran, maka dialah orang sabar, tetapi bukan sabar dan bersamanya  aduan.``
Kata Ahmad, ``Siapa yang berkhidmat kepada para fuqara`, dia dimulia dengan tiga perkara, iaitu tawadhu`, elok adab dan murah hati.``
Kata Ahmad, hakikat ma`rifat ialah, cinta dengan hati, menyebut dengan lisan dan memutus himmah daripada  sesuatu  yang lain dariNya.``
Dan Ahmad disoak, ``Apakah perkara yang lebih afdhal ?``. Katanya, Menjaga rahsia (al-sirr) daripada berpaling kepada sesuatu  lain daripada Allah.``
Demikian antara yang dipersoal dan yang sesuai dinisbahkan kepada Ahmad bin Khadhrawayh.

Sekian.

No comments:

Post a Comment