August 3, 2017

SHAQIQ BIN IBRAHIM AL-AZDI : GEMERLAP JIWA TERLAHIR PERMATA KATA


BBB, 09 Dzul-Kaedah 1438H. = 02 Ogos 2017M. (Rabu):
Nama lengkap bagi Shaqiq ialah Abu `Ali Shaqiq bin Ibrahim al-Azdi yang juga dipanggil sebagai Shaqiq al-Balkhi (m. 139H./810M.). Bersahabat dengan Ibrahim bin Adham (m.237H./851M.). Mereka  berasal dari satu tempat, iaitu Al-Balakh, Khurasan.
Setengah daripada cerita atau anekdot sufi mempunyai format dan pola penceritaan  yang hampir sama. Pada masa muda watak adalah berada di dalam kesenangan, berikut peristiwa yang menginsafkan watak,  dia masuk di dalam kumpulan  sufi dan menjadi pemimpin (shaykh), ada pendekatan yang dibawa tentang kesufian dan kata-kata yang dipetik darinya. Keadaan ini berlaku misalnya  pada Ibrahim bin Adham, Sari Saqati dan Shaqiq bin Ibrahim al-Azdi atau al-Balkhi.
Shaqiq Ibrahim juga seorang berada dan berkerjaya sebagai bisnesman. Berniaga sampai ke Turki. Di sana dia pernah melawat rumah patung  dan dia ditempelak dengan lawatan. Dia juga ditempelak mengapa begitu jauh menjalankan perniagaan, sedang di negeri sendiri begitu banyak rezeki dapat dicari. Darinya dia kembali dengan keinsafan (kuang kuat motif berkenaan dalam cerita), lantas dia menggabungkan diri dalam kumpulan sufi sehingga diterima sebagai shaykh dan mempunyai ramai murid. Antara muridnya ialah Hatim al-As*am.
Menurut `Abdul Rahman al-Sulami, Shaqiq Ibrahim seorang  yang elok percakpan dan bertawakkal. Dia  adalah shaykh Khurasan yang masyhur. Menurut al-Sulami, dia adalah antara orang yang awal bercakap tentang ahwal. Dia bersahabat  dengan Ibrahim bin Adham dan mengambil tariqat darinya.
Menurut Al-Sulami Shaqiq turut meriwayatkan Hadith yang dia menjadi salah seorang rawi di dalam sanad:  Antaranya:
Mengkhabarkan kami Ibrahim bin Ahmad bin Ibrahim al-Mustamli sebagai ijazah bahawa Ahmad bin Uh*aid bin Nuh bin Ayyub al-Bazzaz al-Balkhi, bercakap kepada mereka berkata, bercakap kepada kami Abu Salih Muslim bin `Abd al-Rahman al-Balkhi berkata,, bercakap kepada kami Abu `Ali Shaqiq bin Ibrahim al-Azdi, bercakap kepada kami `Abbad – Ya`ni Ibn Kathir berkata, daripada Hisham Ibn `Urwah berkata, berkata kepada saya `Urwah berkata `Ai`ishah r. `anha, Adalah Rasulullah bersabda – bermaksud:
``Allahumma sesungguhnya kebaikan itu kebaikan akhirat.``
Riwayat Shaqiq yang lain ialah:
Mengkhabarkan kami Muhammad bin Ahmad bin Sa`id al-Razi berkata, bercakap kepada kami Husain bin Da`wud al-Balkhi berkata, bercakap kepada kami Shaqiq bin Ibrahim, bercakap kepada kami Abu Hashim al-A`ala  daripada Anas r.a. berkata bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Siapa yang mengambil daripada dunia daripada perkara halal dihisab Allah dengannya, dan siapa yang mengambil dari dunia daripada perkara yang haram diazabkannya oleh Allah dengannya, upp !! bagi dunia dan apa yang ada padanya berbagai perkara [yang halal dihisab dan yang haramnya diazab].
Antara ucapan Shaqiq:
``Bila anda ingin mengenal seseorang, maka kenalilah jalan pilihannya – Pilih jalan Allah atau pilih jalan manusia, jika ke mana lebih condong orang tersebut, maka ke situ kelihatan peribadinya.
Kata Shaqiq lagi:
Taqwa seseorang dilihat atas tiga perkara:
``Mengambil, menegah dan bicaranya.``
Kata Shaqiq lagi,
Tuhan bagi orang salih hidup dalam kematiannya dan Tuhan bagi orang durjana mati dalam hidupnya.``
Dan katanya,
``Malaikat mengucap salam kebahagiaan  kepada orang salih dengan pahala yang diterima hingga ke hari kebangkitan.``
Kata Shaqiq lagi, ``Orang berakal tidak keluar daripada tiga huruf (perkara):
Pertama:  Dia takut dengan apa yang lepas daripada dosa
Kedua:  Dia tidak tahu apa yang turun (berlaku) kepadanya sa`at demi sa`at.
Ketiga:  Dia takut daripada kesamaran akibat, apa yang dia berakhir dengannya.``
Berkata Shaqiq, ``Bertawakkal menenangkan hati engkau dengan apa yang dijanji Allah.``
Berkata Shaqiq: ``Orang zuhud berlaku kezuhudan dengan pembawaannya dan orang yang buat-buat zuhud hanya setakat lisan.
Berkata Shaqiq,  ``Siapa ingin mengetahui ma`rifatnya dengan Allah, tunggulah dengan apa yang dijanji Allah dan apa yang dijanji manusia, Manakah antara keduanya hatinya lebih percaya ?
Dan berkata Shaqiq:
``Sabar dan redha dua wajah: Apabila engkau bersungguh dalam bekerja, maka pada awalnya sabar dan akhirnya redha.``
Demikian Shaqiq bin Ibrahim al-Azdi yang gemerlap jiwanya hingga terlahir permata kata.

Sekian.

No comments:

Post a Comment