August 9, 2017

KEANEHAN PENDAPAT ABU AL-HASAN AHMAD BIN ABI AL-HAWARI


BBB,   15 Dzul-Kaeah 1438H. = 08 Ogos 2017M. (Selasa):
Dari kalangan genius ahli seni terserlah kebijaksanaan, kelainan pendapat yang mengejutkan khalayak. Ia merupakan tambahan bagi sifat pembawaan umum ahli seni yang membawa perwatakan berlainan yang biasanya unik dan identik dengan dirinya.
Dalam bidang tasawuf yang kita lihat ada hubungan dengan seni, terdapat tokoh-tokoh yang membawa kelainan, kepelikan , bahkan tindakan yang mengejutkan sebagaimana kita lihat pada Ibrahim bin Adham, Hallaj, Sari al-Saqati  dan beberapa yang lain.
Elemen  di atas dapat dilihat kelainan, penyimpangan dan mengejutkan dari segi pendapat. Ianya bukan dibuat-buat, tetapi itulah peningkatan rohani dan pencapaian, sehingga terpamer bersamanya kelainan-kelainan. Antara tokoh yang ditampilkan oleh Al-Hujwiri ialah Ahmad bin Abi al-Hawari. Sufi ini adalah shaykh terkemuka di Syria. Dia dipuji kalangan sufi dan mengibaratkannya sebagai kuntum yang mewangi di taman sufi. Dia adalah murid bagi Sulaiman al-Darani. Dia ahli ibadah dan sifatnya suka mengembara.
Ahmad melihat bahawa dunia adalah dipenuhi dengan kotoran. Yang bertempat di dalam kotoran anjing-anjing. Beliau menyatakan yang mencintai dunia adalah berada di dalam kotoran, sepatutnya ditinggalkan. Beliau menyatakan anjing juga jika kedapatan  najis yang menjadi habuan selepas mendapatnya akan bergerak meninggalkan tempat itu, tapi bagi manusia yang mencintainya tidak meninggalkan dan berterusan bergelumang dengannya. Adalah menjadi kebiasaan bagi manusia yang normal akan mengelak dan lari dari kotoran berkenaan.
Ahmad pada waktu yang lain secara aneh bertindak melemparkan buku-buku ke laut. Tindakan yang dilakukan kerana berpendapat, buku yang tidak dapat membawa pembacanya  mencapai tujuan dan terhenti dipertengahan jalan, ibarat pemandu jalanan yang menyesatkan di pertengahan perjalanan. Jika buku sekadar ditulis dan tidak mempunyai matlamat yang dapat diberi kepada pembaca untuk dicapai, maka buku berkenaan adalah menyesatkan perjalanan. Sebab itu buku berkenaan, mungkin juga dapat dikiaskan kepada pengajaran tidak betul, atau kandungan yang memberi implikasi negatif perlu dibuang ke laut. Bermaksud jangan dijadikan panduan.
Ahmad juga menmgingatkan kepada yang suka mengembara, hendaknya, jangan tidak mempunyai maklumat langsung tentang perjalanan. Pemandu sebenarnya tidak mempunyai matlamat, sekadar menunjuk jalan, kalau sudah sampai dia segera meninggalkan. Ianya mengingatkan kepada pengembara supaya mempunyai paling kurang sedikit maklumat supaya  bila tanpa pemandu tidak berada di dalam kesesatan sepenuhnya.
Ahmad bin Abi al-Hawari juga  mencetuskan pandangannya yang bersifat falsafah, baik dalam pengembaraan, mencari ilmu atau kehidupan, bahawa nikmat kesemuanya adalah dalam perjalanan. Bermaksud misalnya bagi  seorang pengembara, nikmat susah senang, menarik, tidak menarik , gembira atau duka, maka  pengalaman yang dilalui itu adalah nikmat, bukan pada pengakhiran kesampaian. Demikian misalnya orang menuntut ilmu, kesusahan, penderitaan, gagal dan berjaya di dalam ujian adalah merupakan nikmat dalam mencari ilmu, nikmatrnya bukan bila sesudah berakhirnya pengajian.
Ahmad bin Abi al-Hawari juga menampilkan pendapatnya tentang falsafah cinta, bahawa kenikmatan dan kejayaan cinta dalam perjalanan pencarian, bukan pada penyampaian. Hal ini dihubungkan dengan cinta ketuhanan, bahawa mesra, nikmat dan lazat kecintaan ialah proses di dalam meningkatkan kualiti diri yang boleh membawa pendekatan diri pada Tuhan. Proses ke arah pendekatan  itu adalah merupakan kenikmatan. Dan tidak pada penyampaian, kerana tidak mungkin sampai dan tidak mungkin bersatu dengan Tuhan. Dalam kata lain, bahawa penghasilan, pertemuan dan nikmat adalah proses ke arah pertemuan yang tidak mungkin berlaku. Jadi sempurna adalah pada ketidak sempurnaan. Sebagaimana dikatakan nikmat pengembaraan ialah dalam pengembaraan dan bukannya pada penyampaian. Nikmat cinta ketuhanan adalah dalam proses ke arah pertemuan dan tidak pada pertemuan yang tidak  mungkin berlaku secara fizikal.
Konsep sempurna di dalam ketidak sempurnaan ini adalah menjadi pandangan falsafah Ahmad  bahawa tidak ada yang Sempurna, kecuali Yang Maha Tinggi (Tersempurna). Selain dari Allah tidak ada yang sempurna, segala benda  seharusnya bergerak kepada Yang Sempurnaanusia dan segala yang lain yang ingin sempurna tidak akan mencapai sempurna. Sempurna bagi mereka adalah sempurna dalam ketidak sempurna.
Di dalam bidang seni  adalah dilihat bahawa keindahan ialah pada ketidaksempurna indah. Misalnya sebuah mangkuk Cina purba yang dipamerkan di muzium adalah lebih indah yang rosak yang ditemui dari carigali dari mempamirkan sebuah mangkuk yang sempuna dan tiada cacat cela, ianya dianggap tidak indah dan tidak asli, berbanding yang rosak, pecah, sopek dan sebagainya . Ini dalam kerosakannya memberi ruang imaginasi kepada penonton, betapa jika ianya dalam kesempurnaan !
Lantaran itu dalam falsafah indah  atau cantik hendaklah  ada paling sedikit yang tidak indah, misalnya pada mangkuk yang sempuna  dirosakkan sedikit daripada bahagiannya untuk memberi ruang imaginasi, betapa sebenarnya jika ianya benar-benar sempurna dan indah. Dalam kata lain tidak ada yang sempurna indah, kecuali  Yang Paling Indah `Tuhan !.``
Menurut Ahmad bin  Abi al-Hawari, tiada jalan bagi menyampaikan kepada Tuhan, tetapi baginya, jika seorang telah sampai kepada pemahaman terbentang luas tentang hakikat, maka tidak perlu lagi kepada  penerangan melalui tulisan secara buku. Menurutnya rosaknya sebuah buku ialah kerana tidak mampu menerangkan tentang hakikat. Baginya kata lidah tidak lebih baik dari yang ditulis dan jika longgkan kertas yang ditulis tidak mampu membicarakan tentang hakikat, maka wajar ianya dihumbangkan ke laut dan diri hendaklah dikosongkan kecuali Allah.
Persoalannya  bagaimana Ahmad atau sesiapa saja boleh sampai kepada hakikat, tanpa melalui pembelajaran dan pembacaan pada helai kertas dan buku ? Sedangkan hakikat satu yang mistri, tiada mampu mengetahui kecuali Ilahi.
Demikianlah permainan idea dan pendapat Ahmad bin Abi al-Hawari yang boleh disifatkan antaranya pelik dan anih.
Ahmad didominasi  alam sufi dan seni yang antara shaykh menyifatkannya di dalam kemabukan rohani dan seni.

Sekian.

No comments:

Post a Comment