BBB, 08 Dzul-Hijjah 1438H. = 30 Ogos 2017M.
(Rabu):
Di dalam mencari sumber tokoh sufi yang
dibicarakan,ini kerana pada dasarnya Al-Hujwiri membicarakan tokoh yang dipilih amat terhad, pendek dan
memerlukan rujukan kepada sumber-sumber yang lain, namun di dalam membuat
rujukan seperti kepada Al-Risalat al-Qushairiyyat oleh Al-Qushairi maklumat di dalamnya mengenai tokoh yang dibicarakan ini adalah ringkas,
bahkan di dalam kitab Jamharat
al-Awliya` oleh Mahmud Abu al-Faydh maka tidak kedapatan tokoh berkenaan, nama-nama
yang dikemukan oleh Al-Hujwiri hamp[r semuanya kedapatan di dalam Tabaqat
al-Sufiyyah oleh Al-Sullami, sesungguhnya kitab Tabaqat al-Sufiyyah adalah
kitab toloh-tokoh sufi yang paling lengkap, termasuk membicarakan tentang Abu
Sa`id al-Kharraz di atas.
Nama lengkap bagi Abu Sa`id al-Kharraz
ialah, Ahmad bin `Isa. Dia adalah dari ahli Baghdad. Dia bersahabat dengan Dzu
al-Nun al-Misri, Abu `Abdullah al-Nabaji, Abu `Ubaid al-Bisri, juga bersahabat
dengan Sari al-Saqti dan Bishr al-Harith
dan lain-lain lagi.
Dia dari kalangan imam kaum dan shaykh
tertinggi kalangan mereka itu. Dia adalah pemula yang bercakap mengenai doktrin
fana` dan baqa`. Dia meninggal pada tahun 279H.
Beliau
berada di dalam sanad meriwayatkan Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu al-Fath Yusuf bin
`Umar bin Masrur al-Zahid di Baghdad
berkata, bercakap kepada kami `Ali bin Muhammad al-Mis*ri, bercakap kepada kami
Abu Sa`id Ahmad bin `Isa al-Kharraz al-Baghdadi al-Sufi, bercakap
kepada kami `Abdullah bin Ibrahim al-Ghifari, bercakap kepada kami Jabir ibn
Sulaim daripada Yahya bin Sa`id, daripada Muhammad bin Ibrahim, daripada
A`ishah r.`anha berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Buruk akhlak adalah keji, dan kejahatan
kamu seburuk-buruk akhlak.``
`Umar bin `Abdullah al-Farghani berkata,
aku mendengar Ibn al-Katib berkata, aku mendengar Aba Sa`id bin al-Kharraz
berkata, `Sesungguhnya Allah Ta`ala menyegerakan roh-roh awliya`nya merasa lazat
dengan dzikirnya, dan sampai mendekatiNya dan bersegera ne`mat bagi tubuh badan
mereka itu dengan apa yang mereka capai dari segi maslahah mereka dan membalas kepada
mereka dengan apa keadaan, maka hidup badan mereka di dalam keadaan kebaikan
dan hidup roh mereka di dalam rahmat rabbani. Mereka mempunyai dua lisan –
lisan pada batin, mengetahui ciptaan Pencipta dan lisan pada zahir, mengetahui
ilmu kemakhlukan, maka lisan zahir bercakap tentang jisim-jisim yang lahit dan
lisan batin bermunajat dengan roh mereka.``
Di soal Abu Sa`id al-Kharraz daripada
`al-Uns` apa ia ? Katanya,
``Ceria hati dengan kedekatan kepada Allah
Ta`ala. Dan kegembiraan dan ketenangan denganNya. Dia dengan keindahan, kontras
dengan luaran. Dia mesra dan ceria.``
Abu Bakar al-Zaqqaq berkata, Abu Sa`id, minta ditulis apa yang dikata,
``Bahawa sesungguhnya Allah Ta`ala
menjadikan ilmu dalil kepadanya untuk mengetahuiNya. Dia menjadikan hikmat
rahmat dan bagi mesra denganNya. Maka ilmu dalil kepada Allah, ma`rifat
penunjuk kepada Allah. Dengan ilmu dapat dicapai maklumat, dengan ma`rifat
dicapai ma`rufat. Ilmu dipelajari, ma`rifat
dita`arruf. Dengan ma`rifat dicapai ta`rif al-haqq, dengan ilmu dicapai
ta`rif makhluk dan faedah berterusan.``
Berkata Abu Salih berkata Abu Sa`i d
al-Kharraz,
``Umpama diri (al-nafs) seperti air yang
tenang, bersih dan jernih. Kalau engkau gerakkan akan zahirlah dari bawahnya
daripada keladak. Begitulah nafsu akan zahir
ketika diuji yang tepat dan yang bersalahan. Siapa yang tidak mengetahui
apa yang ada di dalam dirinya, maka bagaimana ia hendak mengetahui tentang
Tuhannya.``
Berkata Muhammad al-Hariri, dia mendengar
Aba Sa`id al-Kharraz berkata,
Tentang makna sabda Nabi s.a.w. bermaksud,
``Terpaut hati mengasihi siapa yang membuat
baik kepadanya.``
Wahai ajaib siapa yang tidak melihat kebaikan Allah. Bagaimana
dia tidak cenderung dengan keseluruhan dirinya kepadaNya.``
Berkata Muhammad bin `Ali al-Kattani, aku
mendengar Aba Sa`id al-Kharraz berkata,
``Bagi para `arifin ada khazanah-khazanah yang
menyimpan ilmu-ilmu yang gharib, berita-berita `ajaib, bercakap mengenainya
lisan yang abadi dan mengkhabarkannya dengan lisan yang azali.``
Berkata Abu Sa`id, Kalaulah tidak Allah Ta`ala memasukkan Musa a.s salam pada
lindungannya nescaya menimpa Musa sebagaimana
dialami bukit (tursina).
Berkata Abu al-`Abbas al-T*a`an berkata Abu
Sa`id al-Kharraz,
``Yang mencintai melakukan segala yang menyenangkan yang
dicinta, dan tidak membiarkan sebarang gangguan menjejaskan dan tidak suatu
yang merugikan. Dia berpuisi:
Tertanya-tanya tentangnya adakah pengutus
berita ?
Tiada ceria bagiku selama tiada apa yang diterima
Kalau aku tahu di mana khemah keluarganya didiri
Di mana negeri mereka
berlabuh penuh menanti ?
Bayu berhembus membawa berita berlalu
Cukup bagi pertanda bagiku menghala tuju.
Demikianlah ungkapan Abu Sa`id al-Kharraz
yang halus dan mendalam untuk direnumgi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment