August 8, 2017

AHMAD BIN HANBAL CEKAL MENGHADAPI UJIAN KESUFIAN


BBB,  14 Dzul-Kaedah 1438H. =  07 Ogos 2017M. (Isnin):
Tokoh fiqh dari madzhab empat yang lebih cekal di dalam menghadapi ujian siksan kerana yakin dengan pegangannya  ialah Ahmad bin Hanbal r.a.. Dia sebenarnya seorang faqih yang lebih dari sufi.
Beliau ialah Abu `Abdullah Ahmad bin Muhammad (164-241H./780-855M.) bin Hanbal bin Hilal al-Shaibani hingga membawa kepada puncaknya bin Nizar bin Ma`ad bin  `Adnan yang sama dengan turunan Rasulullah s.a.w. Ahmad bin Muhammad bin Hanbal ialah Imam Madzhab Hanbali, salah satu Imam madzhab empat. Asalnya daripada Marwi dan bapanya wali Sarkhas.
Imam Ahmad amat cintakan ilmu dan berusaha mencari dan mempelajari ilmu hingga ke Kufah, Basrah, Makkah, Madinah, Yaman, Sham, Thuqgur, Maghrib, Jaza`ir, `Iraq, Parsi, Khurasan dan ke hujung-hujung negeri. Dia menemui tokoh-tokoh ilmu dan Hadith seperti Sufyan bin `Uyainah, Ibrahim bin Sa`ad, Bishr bin al-Mufadhdhal,, Yahya bin al-Qat*t*an,, Hashim, Waqi`dan puluhan lagi guru dan mereka yang didengar darinya Hadith.
Ahmad bin Hanbal adalah seorang yang salih, zuhud, tenang, tawadhu` dan amat memuliakan  siapa yang ditemuinya. Dan orang ramai pula memulia,  membesarkannya dan mengasihinya.
Berkata Al-Imam al-Shafie tentang Al-Imam Ahmad,
``Aku keluar daripada `Iraq, maka aku dapati tidak ada orang yang lebih mulia,  lebih alim, lebih wara` dan lebih taqwa lain dari Ahmad bin Hanbal.``
Pada zaman Imam Ahmad dia berada pada masa polimik dan fitnah akibat dari pertembungan fikiran dan pendapat Mu`tazilah yang menguasai pemerintah di Iraq dan pertentangan dengan Ahlu al-Sunnah. Persoalan utama yang mendepani mereka  pada zaman Khalifah Ma`mun, bahawa Ahmad bin Hanbal dipaksa mengikut pendapat Mu`tazilah, bahawa Al-Qur`an itu makhluk dan baharu, sedang Ahmad dengan keras menolak pendapat ini dan berkata Al-Qur`an adalah qadim. Selepas kematian Al-Ma`mun sebelum dia sempat munazarah dengan  Al-Imam Ahmad, maka Khalifah Al-Mu`tasim yang mengganti Al-Ma`mun mengambil tindakan keras terhadap keengganan Ahmad menmgatakan Al-Qur`an makhluk, maka diperintah Ahmad dipenjarakan selama 28 bulan. Selama di dalam penjara dia dipukul, direntang dan dan diseksa.
Bila ditanya tentang orang yang menganiyanya, dia berkata, dia tidak mau menuntut bela. Tuhan Amat Berkuasa.
Tasawuf Ahmad bukan stakat kata, tetapi dialami dengan jiwa dan jasadnya yang menderita.```
Ahmad  begitu rapat dengan Bish al-Hafi, tatkala ditanya tentang ketasawufan dia selalu menyebut agar dirujuk persoalan tasawuf kepada Bishr al-Hafi.
Ahmad ditanya tentang ikhlas, menurutnya ialah bebas dalam tindakan dan tidak mementingkan diri. Dan tentang tawakkal, ialah yakin dengan Tuhan yang menyediakan segala keperluan.
Ahmad berterusan dalam penderitaan hinggalah  dia dilepaskan dari penjara tahun (220H.). Dia tidak diapa-apakan oleh Khalifah Al-Wathiq selepas Khalifah Al-Mu`tasim. Pada zaman Al-Mutawakkil (anak Al-Mu`tasim) berlaku perubahan pandangan. Golongan Sunni mendapat pembelaan dan Ahmad tidak mendapat gangguan.
Ahmad bukan berkeserangan menghadapi seksaan pada zaman Al-Mu`tasim. Antara yang lain ialah Muhammad bin Nuh al-Naisaburi,, Nu`im bin Ahmad,, Ayyub bin Ya`kub dan Ahmad bin Nasr al-Khuza`i. Kebanyakan mereka mati dalam tahanan, kerana mempertahnkan pegangan.
Al-Imam Ahmad menghasilkan kitab-kitab, iaitu
1)       Al-Musnad – 6 jilid, mengandungi 30,000 Hadith yang dihimpunnya.
2)      Kitab al-Zuhd
3)      Kitab al-Wara`
4)      Al-Radd `ala al-Zanadiqah fi ma bihi min Mutashabih al-Qur`an
5)      Kitab Nasakh, Nasikh dan Mansukh.
Dan beberapa lagi dalam bentuk manuskrip.
Kitab Musnad adalah kitab terbesar disusun Ahmad dan menjadi panduan utama bagi pengikut madzhab Hanbali dan rujukan Hadith bagi umum.
 Manakala Kitab Al-Zuhd membuktikan bahawa Al-Imam Ahmad antara yang terawal membicarakan tentang tasawuf , tetapi dengan istilah zuhd, kerana pada masanya istilah tasawuf belum popular digunakan.
Kitab Al-Zuhd ialah membicarakan tentang zuhd, tetapi gaya karangannya mengambil gaya Hadith. Sebagai contoH:
Bercakap kepada kami `Abdah bin Sulaiman, bercakap kepada kami Hisham bin Marwah daripada seorang lelaki berkata, disoal `A`ishah r. `anha, apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di rumahnya, maka kata `A`ishah:
``Adalah Baginda menjahit baju, menampal kasut dan selain daripada itu.``
Adapun Kitab Al-Wara`, ialah tentang kewarakan, gaya penulisannya juga adalah menurut gaya Hadith. Manakala kitab Al-Radd `ala  al-Zanadiq, iaitu tentangan Al-Imam Ahmad terhadap mereka yang mengatakan Al-Qur`an makhluk. Beliau menyifatkan mereka itu sebagai zindiq. Dan yang terakhir kitab tentang nasakh, nasikh dan mansukh berhubung dengan ayat-ayat Al-Qur`an.
Al-Imam Ahmad bukan saja tokoh bagi madzhab Hanbali, beliau juga adalah sufi yang benar-benar mengalami kehidupan sufi yang penuh penderitaan kerana dipenjara,  demi  mempertahankan keyakinan, lebih dari itu beliau menghasilkan karangan-karangan yang berhubung dengan tasawuf sebagaimana dibicarakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment