August 6, 2017

PESAN HATIM AL-AS*AMM SEBAGAI PANDUAN


BBB, 12 Dzul Kaedah 1438H. =  05 Ogos 2017M. (Sabtu):
Antara  tokoh yang diketengahkan oleh Al-Hujwiri di dalam Kashf al-Mahjub ialah Hatim al-As*amm. Nama lengkapnya ialah Abu `Abd al-Rahman Hatim bin `Ulwan bin al-As*amm (m. 237H.). Beliau adalah tokoh di Balkh dan shaykh terkenal di Khurasan. Dia bersahabat  dengan Shaqiq bin Ibrahim dan gurunya ialah Ahmad bin Khadhrawayh.
Dia berada di dalam sanad Hadith:
Mengkhabarkan kami Abu al-Husain Muhammad bin Muhammad bin (Ahmad) al-Mu`azzin, bercakap kepada kami Muhammad bin al-Husain bin `Ali, [bercakap kepada kami Muhammad bin al-Husain] bin `Alwayah, bercakap kepada kami Yahya bin al-Harith, bercakap kepada kami Hatim bin `Unwan al-As*amm, bercakap kepada kami Sa`id bin `Abdullah al-Mahiyani, bercakap kepada kami Ibrahim bin T*ahman di Naisabur, bercakap kepada kami Malik daripada al-Zuhri daripada Anas, bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda, bermasud:
``Bersolatlah akan solat Dhuha, kerana sesungguhnya dia adalah solat yang banyak kebajikan, dan berilah salam apabila engkau masuk ke rumah engkau, nescaya banyak kebaikan untuk rumah engkau.``
Berkata Al-Junayd, bahawa Hatim al-As*amm tidak pernah bercakap yang tidak benar.  Katanya, ``Dia adalah seorang jujur dan benar pada zaman kita.``
Ungkapannya bermutu. Antaranya Hatim al-As*amm berkata,
Nafsu ada tiga macam. Nafsu makan, bercakap dan melihat.
Jangan makan ikut nafsu dan makanlah makanan yang baik lagi halal.
Kawallah percakapan. Lebihlah bercakap dengan memuji Tuhan.
Kawallah pandangan, sebaikny melihat pertanda dan ayat-ayat mengenai kebesaran Tuham.``
Menurut Mahmud  Abu al-Faydh di dalam Jamharat al-Awliya`, dikatakan Shaqiq al-Balkh bertanya Hatim  bagaimana mencari ilmu, maka kata Hatim ialah dengan menjaga empat perkara:
Pertama: Dengan menjaga perkara fardhu dengan tidak melalaikannya
Kedua: Mendapat rezeki hingga tidak melampai kepada hak orang lain
Ketiga: Sentiasa  mengingati Allah setiap kejip mata dan tidak lalai, dan
Keempat:  Menjaga masa sehingga tidak tertangguh mengikut masa yang tertentu.
`Asim bin Yusof berada di dalam majlis ilmu Hatim al-As*amm. `Asim bertanya Hatim,
Bagaimana seseorang mengelokkan solat dan bagaimana engkau melakukannya.
Kata Hatim:
``Aku berdiri sebagaimana disuruh, aku berjalan dengan rasa takut, aku masuk dengan niyyah, aku bertakbir dengan membesarkan Allah, aku membaca dengan tartil dan tafakkur, aku rukuk dengan khusyuk, aku sujud dengan tawadhuk, aku duduk  bagi tashahhud dengan tenang anggota, dan aku salam dengan apa yang diwajibkan oleh al-Sunnah secara ikhlas kepada Allah `Azza wa Jalla. Aku kembali dengan harapan diterima Allah amalan dan aku memelihara yang sedemikian dengan penuh kesungguhan hingga matiku [Insya Allah].
Kata `Asim, Bagaimana dengan  amalan-amalan lain wahai hiasan `ulama`. Kata Hatim.
``Apabila engkau melakukan amalan, maka ingatkan Allah dengan amalan engkau, apabila engkau bercakap lihatlah yang terdekatnya Allah kepada engkau dan apabila engkau diam, lihatlah Allah mengetahui akan dikau.``
Dan Hatim berkata, ``Siapa mendakwa tentang tiga perkara, tanpa tiga perkara, maka dia adalah pendusta, iaitu:
Pertama: Siapa mendakwa cintakan Allah tanpa wara` terhadap apa yang diharamkan, maka dia dusta.
Kedua: Siapa mendakwa inginkan syurga tanpa amalan dia dusta.
Ketiga: Siapa mendakwa kasihkan Nabi s.a,w. tanpa kasihkan para fuqara` juga dusta.
Kata Hatim, ``Pokok zuhd ialah percaya (tfiqah) dengan Allah, pertengahannya sabar dengan Allah, dan akhirnya ikhlas dengan Allah.``
Dan serulah manusia kepada tiga perkara, kepada ma`rifat, kepada thiqah dan kepada tawakkal.
Zuhud memerlukan tiga syarat:
Sabar dengan ma`rifat, istiqamah dengan ilmu dan redha dengan pemberian yang ditawakkal dengannya.
Dan kata Hatim, Tidak dapat menyekat orang mu`min daripada lima perkara: Kehendak Allah, daripada qadha`, daripada rezeki, daripada mati dan dari gangguan syaitan, melainkan yang dirahmati Allah.
Dan katanya, carilah untuk dirimu empat perkara:
Amal salih tanpa riya`, mengambil tanpa berlebihan, memberi tanpa ungkitan dan beriktisad tanpa kebakhilan.
Demikianlah percakapan antara `Asim dan Hatim. Semoga menjadi bahan renungan untuk dijadikan paduan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment