August 18, 2017

AL-JUNAYD IMAM SEGALA ALIRAN, KALAMNYA MENDALAM


BBB, 24 Dzul-Kaedah 1438H. = 17 Ogos 2017M. (Khamis):
Nama sepenuhnya ialah Abu al-Qasim al-Junayd bin Muhammad al-Baghdadi (m.297H.). Dia dipanggil sebagai `Sayyid bagi Sadat` ahli al-tasawwuf, dia guru bagi jalan kepada Allah yang mengambil manfaat dengannya oleh ramai para siddiqin dan jalannya diterima oleh semua aliran tasawuf. Al-Junayd bukan saja mendalami bidang tasawuf, tetapi juga di dalam bidang akidah, fiqh dan akhlak. Dari segi fiqh dia  adalah pengikut Thauri  yang diikuti Shafie sebelumnya. Dia berasal dari Nahawand, tapi dilahir dan terdidik di Iraq. Ayahnya penjual kaca, sebab itu dinisbahkannya al-qawarir.
Gurunya antaranya bapa saudaranya Sari al-Saqti yang dikatakan oleh Al-Hujwiri  Al-Junayd mengatasi  gurunya ini, Namun Al-Junayd yang merendah dirinya menolaknya. Dia juga bersahabat (berguru) dengan Al-Harith al-Muhasibi dan Muhammad bin `Ali al-Qassab yang mana mereka semua adalah dari kalangan pemuka sufi. Dari jiwa yang suci, maka ungkapan-ungkapannya bermutu tinggi dan diterima oleh semua pihak. Dia meninggal di Baghdad.
Pendekatan Al-Junayd adalah mengukuhkan  aliran Sunnah. Dia pernah berkata:
`` Jalan-jalan bagi tarikat-tarikat adalah tertutup bagi makhluk, melainakan bagi mereka yang menurut athar Rasulullah s.a.w. pada shari`atnya, mengikuti Sunnahnya dan melazimi tarikatnya. Maka dengannya terbuka jalan kebajikan.``
Al-Junayd juga berkata, ``Ilmu kami berasaskan kitab dan al-Sunnah. Siapa yang tidak hafaz* Al-Qur`an, kurang kesempurnaan dan barang siapa tidak menulis Hadith dan tidak memahaminya, tidak boleh diikuti.``
Menurut Mahmud abu al-Faydh, di dalam Jamharat al-Awliya`:
`Al-Junayd ditanya, bagaimana jalan (tariqat) kepada Allah ?`` Katanya, ``Taubat bagi menghilangkan kesalahan dan takut yang menghilangkan kesombongan dan mengharap (raja`) untuk menuju ke jalan kebaikan, kemudian muraqabah pada setiap lintasan hati.``
Disoal kepada Al-Junayd apa maksud ayat Al-Qur`an (Sanuqri`uka fala tansa`)
Bermaksud: Akan kami bacakan kepada engkau maka engkau tidak lupa.` (Al-A`la: 6).
Menurut Al-Junayd: ``Kami akan bacakan kepada engkau Al-Qur`an secara tilawah, maka jangan lupa akan amalan (khitab adalah secara umum, walaupun dituju khusus bagi Rasulullah s.a.w.)..
Antara kalamnya berhubung dengan tasawuf:
``Tasawuf adalah bersih mu`amalah bersama Allah Ta`ala. Asalnya ialah bersurai daripada kasihkan dunia. Sebagaimana kata Harithah:
``Aku mengenal diriku daripada dunia, maka aku berjaga malamku dan aku menahan diriku pada siangnya (berpuasa).
Dia berkata, ``Terbina tasawuf dari lapan akhlak para anbiya`, alayhim al-s*alat  wa al-salam, iaitu:
``Murah hati iaitu bagi Nabi Ibrahim, Redha bagi Nabi Isma`il
Sabar bagi Nabi Ayyub, al-basharah (manis muka) bagi Nabi Zakariyya,
Al-Ghurbah (dagang) bagi Nabi Yahya, Memakai pakaian bulu bagi Nabi Musa,
Al-Sibahah (mandi) bagi Nabi `Isa dan al-Faqr (berhajat kepada Allah) ialah bagi Nabi Muhammad s.a.w.).
Dan dia berkata, ``Ibadat bagi kalangan `arifin lebih baik daripada mahkota-mahkota di atas kepala raja-raja.``
Katanya, ``Siapa mau selamat baginya agamanya dan rihat dengan badannya dan hatinya, maka jangan terlibat dengan karinah manusia.`` Ini sebagaimana kata Al-Junayd lagi:
``Orang yang berakal ialah orang memilih pengasingan (al-`uzlah), jika perkara  bercanggah dengan agama.
Katanya lagi.  ``Bersungguh-sungguh `uzlah lebih mudah dari bercampran berterusan.``
Al-Junayd ditanya tentang dunia, maka katanya,
``Ialah apa yang dekat dengan hati dan melalaikan daripada Allah.``
Katanya, ``Jangan mudah putus asa daripada diri engkau, sedang engkau keciwa daripada dosa engkau dan kesal di atas yang dilakukan, sedang engkau benar-benar menghadapkan wajah engkau kepada rahmat Allah.``
Ditanya Al-Junayd, ``Mana satu lebih  sempurna, menenggelami ilmu pada wujud, atau menenggelami wujud dalam ilmu ?``. Maka katanya, ``Menenggelami ilmu pada wujud, kerana mengetahui tentang Allah tidak sama dengan berwajdan denganNya.``
Dikatakan kepada Al-Junayd, ``Engkau mu`ayanah atau mushahadah ?``, maka katanya, ``Kalau  mu`ayanah boleh membawa kepada zindiq, dan jikalau mushahadah membawa kepada keheranan, maka ini semua adalah lemas dalam kelemasan. Demi Allah, lebih atas dan lebih tinggi daripada semuanya dan tidak menyaksi oleh hati, melainkan dari belakang hijab.``
Berkata seorang lelaki semasa kehadhiran Al-Junayd, ``
``Tidakkah kalam anbiya` isyarat daripada mushahadat ?``. Dia tersenyum dan berkata, ``
``Kalam anbiya` dibina di atas kehadian wahyu, dan kalam siddiqin isyarat daripada mushahadat yang membangkitkan ilham.``
Disoal Al-Junayd, ``Siapa `arif ?`` Maka dijawab, ``Warna air adalah dari warna bekasnya.``
Dia disoal lagi tentang `arif, maka katanya, ``Siapa yang bercakap tentang rahsia engkau dan engkau terdiam ! Iaitu dari kashaf halnya akan hal engkau. Ini tidak berhajat kepada percakapan dan huraian.
Demikian antara kedalaman kata-kata Al-Junayd yang membayangkan kematangannya dalam tasawuf. Selayaknya dia imam segala sufi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment