October 22, 2015

Nabi Ibrahim A.S. Dari Tradisi Besar


BBB, 08 Muharram 1437 = 21 Oktober 2015 (Rabu):



Sejarah dan Sirah Rasul-Rasul banyak memberi sumbangan bagi kita memahami tentang bukan saja kerasulan juga kenabian, tetapi juga sejarah peradaban dan tamadun kemanusiaan itu. Dari kitab-kitab suci, termasuk dari Al-Qur`an kita mendapat makluman bahawa asal-usul manusia dari segi biologi berketurunan dari Nabi Adam dan Hawa.
Al-Qur`an menampilkan satu surah yang berjudul Surah Ibrahim, iaitu  surah ke (14) yang diturunkan di Makkah yang mengandungi 52 ayat.  
Sebelum membicarakan kandungan surah tersebut kita melihat kepada latar tempat dan budaya yang melahirkan Nabi Ibrahim. Bahawa kawasan yang merupakan pertemuan antara benua, iaitu barat bagi Asia, timur-selatan bagi Eropah dan utara bagi Afrika, ialah antara kawasan awal bagi tamadun manusia. Dari kawasan ini bermula Adam dan Hawa diturunkan. Misalnya Arafah dikenali sebagai tempat pertemuan mereka berdua. Maka dari sinilah bermula berkembang zuriat turunan manusia.
Dari kawasan di sini juga lahirnya secara ketara tamadun dan peradaban manusia, iaitu tamadun Babylonia- Mesopotamia di pinggir sungai Dajlah-Furat yang dikesan sejak 10,000 tahun lepas, begitu juga dengan tamadun Mesir purba di pinggir sungai Nil sejak 5,000 tahun lepas dan juga negara Palestin yang menjadi kota Suci sebagai tempat kelahiran dan negara bagi nabi-nabi. Nabi Ibrahim bin Azar adalah lahir dari belahan tamadun yang berpusat dari kawasan tiga segi emas tamadun dan peradaban berkenaan. Menurut Profesor Ismail Faruqi di dalam bukunya berjudul `Atlas Budaya Islam` Nabi Ibrahim wujud pada zaman pemerintahan Namrud pada awal tahun 2,000 S.M. (Ismail R. Al-Faruqi dan Lois Lamya Al-Faruqi, Atlas Budaya Islam, Terjemahan Mohd. Ridzuan Othman, Mohd. Sidin Ishak dan Khairuddin Harun, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992: 12).
Pada sekitar tahun 2,000 tahun sebelum Masihi itu sudah wujud budaya Tamadun dan peradaban seperti wujudnya hubungan dagang antara negara Sham-Palestin dengan Mesir dan Afrika, hubungan dengan Yaman dan ke timur yang jalan rentas ini turut melalui Makkah-Madinah sebagai tempat persinggahan ulang alik perdagangan. Bahasa yang berkembang di kawasan ini berasal dari satu rumpun bahasa yang dikenali sebagai Bahasa Semit yang pada bahagian timur Semenanjung Tanah Arab dikenali sebagai bahasa Akkadia atau Babylon Assyria, pada bahagian utara dikenali dengan bahasa Aramaik dengan beberapa kepelbagaian ke timur seperti bahasa Syria, Madain dan Nabaten dan ke barat seperti Samaritan, Yahudi, Aramaik dan Palmyra. Pada bahagian barat ialah Phoenisia. Yahudi Injil dan loghat Kanaan.
Manakala tergolong separuh bahagian selatan Tanah Arab, ialah bahasa Arab yang pada bahagian utara ialah bahasa Arab sendiri, manakala bahagian selatan ialah bahasa Sabak dan Himyar. Hingga 1400 S.M. terbukti tulisan pada batu oleh orang Amarna. Hingga pada masa tersebut bahasa Akkadia merupakan bahasa perhubungan yang terpenting dituturkan dan ditulis sama ada oleh penduduk setempat atau pemerintah berketurunan Mesir. Bahasa Aramanik mula menggunakan bahasa Akkadia selepas 1200 tahun sebelum Masihi dan berkembang dengan beberapa loghat seperti bahasa Aramaik digunakan oleh Yahudi seperti di Kanaan seterusnya menjadi bahasa rasmi orang-orang Yahudi di Asia Barat, seperti tulisan di papyrus orang Mesir sehinggalah kedatangan Islam. Dan dengan kedatangan Islam bahasa Arab kemudiannya menggantikan bahasa Aramaik sebagai bahasa terpenting seluruh rantau Asia Barat (Al-Faruqi: hlm. 232-24).
Tahun 2000 sebelum Masihi sebagaimana telah disebut adalah zaman kewujudan Nabi Allah Ibrahim a.s. yang pemerintah pada masa itu ialah Raja Namrud. Nabi Ibrahim adalah watak kukuh yang tidak menetap hanya pada satu kawasan di sekitar Kanaan dan Baitul Maqdis, tetapi baginda bergerak hingga ke Makkah, bahkan sampai ke Mesir. Baginda sendiri berkahwin dengan Saidatina Sarah dari keturunan tempatan sekitar Kanaan-Baitul Maqdis yang darinya beliau mendapat anak Ishaq dan beliau juga adalah berkahwin dengan seorang lagi isteri Saidatuna Hajar yang berketurunan Mesir yang dari perkahwinan ini melahirkan Ismail. Mereka berdua ditempatkan oleh Ibrahim di Makkah, iaitu sekitar Masjid al-Haram kini.
Nama Ibrahim, bahkan Ismail bukan menurut loghat bahasa Arab, bahkan lebih mirip sebutan loghat Ajam. Tentang Ibrahim Al-Qur`an menegaskan bahawa bermaksud:
``Tidaklah Ibrahim itu Yahudi, tidak juga Nasrani, tetapi dia tetap di atas dasar tauhid seorang yang Hanif lagi muslim dan bukan dari kalangan musyrikin (Aali Imran: 67).
Hajar yang tinggal bersama anaknya di kawasan Masjid al-Haram turut didatangi sama antaranya keturunan Arab dari suku Jurhum. Mereka meminta izin dari keluarga Hajar untuk turut menetap di situ dengan mengakui zamzam adalah milik dan di bawah jagaan keluarga Hajar. Ismail berkahwin dengan anak perempuan dari kabilah Arab Jurhum berkenaan dan dari perkahwinan ini melahirkan turunan Arab yang lanjutan dari keturunan Arab Jurhum ini sampai kepada turunan Kabilah Adnan sebagai turunan Quraysy yang kepada Adnan ini diketahui susur galur turunan Nabi Muhammad s.a.w. yang turut menjaga kepentingan dan kebajikan berhubung dengan air Zamzam yang menjadi punca utama bagi kemakmuran Makkah.
Nabi Ibrahim sebagai tokoh penting adalah dimegahi bagi yang mempunyai galur turunan bersambung kepada Nabi Ibrahim. Orang-orang Yahudi mendakwa mereka adalah turunan dari Nabi Ibrahim melalui pertalian antaranya melalui Nabi Yusuf bin Ya`kub bin Ishaq bin Ibrahim, turut juga mendakwa mereka yang beragama Kristian melalui Nabi Isa a.s. dan tentulah juga kalangan berketurunan Arab melalui galur keturunan melalui Nabi Ismail a.s. bin Ibrahim a.s., tetapi sebagaimana ditegaskan oleh ayat Al-Qur`an di atas, bahawa Nabi Ibrahim tidak boleh didakwa sebagai seorang Yahudi atau Kristian, tetapi Baginda adalah seorang berpegang pada aqidah tauhid yang hanif lagi muslim. Apa jua menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim adalah Tokoh Besar, Rasul Besar dan pembawa agama Hanif yang darinya bertalian dengan kelahiran agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Sebagai kesimpulan Nabi Ibrahim adalah lahir dari belahan tamadun dan peradaban besar yang wujud di Asia Barat yang bukan saja menjadi sentral dari segi kedudukan geografi, tetapi juga keturunan penting di dalam tamadun dan peradaban manusia. Lebih mulia dan istimewa baginda yang berada di tengah-tengah masyarakat yang terseleweng dari pegangan aqidah, Baginda bangkit sebagai Rasulullah memperbetulkan aqidah dan pegangan masyarakat pada zamannya dan ini diteruskan oleh turunannya yang antaranya dari kalangan rasul-rasul dan nabi-nabi dari turunannya.

Sekian.

October 16, 2015

`Pandangan Wujud` Sebagai Rangka Theologi Dari Surah Al-Ra`d


BBB, 02 Muharram 1437 = 15 Oktober 2015 (Khamis):


Mengkaji kandungan Surah Al-Ra`d dan dipadankan dengan pemikiran Maududi berhubung dengan Islam dan iman mencetuskan gagasan Theologi sebagai satu cara bagi memahami hakikat kewujudan bagi mengukuhkan aqidah dan keimanan. Pendekatan ini bertolak dari terminologi `Pandangan Wujud` sebagai satu skop yang di bawahnya terangkum segala yang wujud.
`Pandangan Wujud`  melihat kewujudan adalah satu `Kingdom of God` - Kerajaan Ketuhanan. Pada awal Surah Al-Ra`d  firman Allah menyebut: `Rabbika al-Haqq` - Tuhan yang Haqq. Tuhan yang Haqq ini adalah Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Tuhan yang Haqq menzahirkan segala sifat-sifat KetuhananNya pada ciptaan MakhlukNya sebagai bukti nyata yang seharusnya boleh dibaca sebagai ayat-ayatNya. Firman Allah selepas menyatakan Dialah Pencipta langit, arasy, matahari, bulan dan lain-lain ditegaskan bermaksud::
``Allah jualah mentadbir dan menerangkan ayat-ayat supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu`` (13.2).
Kewujudan selain dari Allah adalah ayat-ayat yang boleh difahami dan dihayati tentang Ketuhanan dan Kerajaannya, secara hikmah Allah Yang Mengetahui yang Ghaib dan Syahadah yang Maha Besar lagi Maha Tinggi (13.9)  menciptkan makhluk agar makhluk mengenali dan memahami hakikat keagunganNya, tetapi walaupun sudah ada ayat-ayat pada makhluk ciptaan yang segalanya khuduk menyerah dan patuh pada aturan, tetapi ada, terutama di kalangan manusia yang tidak faham , bahkan ada yang mengingkarinya, pada hal biologi tubuh mereka sama tunduk patuh sebagaimana makhluk-makhluk yang lain maka diutuskan rasul-rasul bagi menyampaikan risalah kepada manusia menurut ummah yang dibangkitkan – termasuklah Rasulullah s.a.w. Maksud ayat Al-Qur`an:
``Demikianlah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada satu ummah sebagaimana perutusan  telah lalu sebelumnya beberapa ummah yang lain supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Qur`an yang Kami wahyukan kepada kamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Al-Rahman. Katakanlah, ``Dialah Tuhanku tiada Tuhan (yang berhak disembah), melainkan Dia. KepadaNyalah jua aku berserah diri dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu sekaliannya).`` (13.30).
Jadi Rasulullah s.a.w. diutuskan kepada umatnya membawa risalah dari Allah sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Qur`an. 
Kewujudan Allah dan Al-Qur`an
Allah Tuhan yang terhimpun padanya segala kesempurnaan dan menciptakan segala kejadian makhluk
Al-Qur`an adalah kalam Tuhan yang diwahyu dan diterima Rasulullah yang menjadi kitab panduan dan perlembagaan bagi ummah.
Rasulullah adalah makhluk Insan Kamil ciptaan Allah yang menjadi Rasul (perutusan Allah) yang membawa risalah termasuklah Al-Qur`an..
Ummah (manusia) sebagaimana ciptaan yang lain tunduk patuh kepada aturan Allah – bersifat Islam, maka seharusnya manusia juga sepatutnya sama tunduk patuh kepada aturan-aturan yang ditentukan Allah.
Melihat Kewujudan secara Takmilah
Perjalanan makhluk seharusnya menurut semua aturan yang ditentukan Allah agar berada di dalam selamat (Islam) dan aman (dengan keimanan).
Dari sudut Takmilah Kewujudan pada peringkat ketuhanan yang Tunggal, Kekal, Abadi dan mempunyai sifat kesempurnaan yang lain adalah peringkat Takmilah Tertinggi yang bersifat Haqq dan tidak ada yang mungkin sempurna seumpamaNya dan tidak ada yang mungkin menyamaiNya. Tetapi konsep-konsep sempurnaNya yang Mutlaq digunakan sebagai bayangan yang nisbi. Misalnya Allah yang bersifat Maha Mengetahui, manusia juga digalakkan mengetahui ilmu secara nisbi, Allah Berkuasa, manusia juga diberi kuasa yang nisbi dan demikianlah Allah Maha Kaya, kaya juga dinisbahkan kepada manusia secara nisbi dan tidak mutlaq.
Piawayan Tertinggi bagi Takmilah ialah mencontohi Rasul Junjugan dan mengaplikasikan dan beramal apa yang ada di dalam Al-Qur`an, tetapi Takmilah tidak mungkin sampai kepada tahap piawayan pada Rasulullah s.a.w. dan Al-Qur`an, tetapi di dalam apa juga dari segi Takmilah usaha tetap dilakukan bagi menyampaikan tahap Takmilah Rasul dan Al-Qur`an yang tidak mungkin sampai. Kesempurnaan hanya  kepada `kesempurnaan yang tidak sempurna`.
Misalnya Takmilah dari segi bernegara, bagi umat dan pemerintah seharusnya berusaha mencapai Takmilah bernegara sebagaimana disebut mengenai bernegara seperti yang terdapat di dalam Al-Qur`an: ``Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15) atau Al-Balad al-Amin (Al-Tin: 3) dan model bernegara adalah menurut negara Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Inilah piawayan bagi bernegara bagi umat Islam yang perlembagaanya adalah  Al-Qur`an.
Namun  di dalam menegakkan negara berasaskan negara seperti Madinah dan mencontohi kepimpinan kepada pimpinan Rasulullah pada hakikatnya tiada negara dan tiada kepimpinan dari segi takmilah akan sampai kepada piawayan sempurna seperti negara Madinah dan kepimpinan seperti Rasulullah s.a.w., walau pun kemajuan dapat dicapai dari segi fizikal, tetapi tidak akan tercapai misalnya dari segi barakah dan awlawiyat kenegaraan seperti Madinah dan juga tidak akan sampai tahap kepimpinan seperti kepimpinan Rasulullah. Tetapi dari segi pembinaan negara hendaklah diuasahakan seperti tuntutan  Takmilah dan juga kepimpinan, sehingga pada puncaknya mencapai peringkat `Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan`. Hal ini boleh dikiaskan dalam bidang-bidang yang lain, misalnya dalam bernegara mau ditegakkan undang-undang Islam sepenuhnya, tetapi pada praktiknya tidak akan mencapai kesempurnaan di dalam menjalankan perundangan berkenaan, namun usaha seharusnya diteruskan sehingga mencapai tahap `Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan.`` Kiaslah di dalam berbagai-bagai bidang yang lain.
Telah dibicarakan Allah Ta`ala menyediakan muka bumi yang pada permukaannya diturunkan hujan yang menjadikan tanah subur dengan tumbuh-tumbuhan dan menghasilkan buah-buahan yang menjadi rezeki kepada penghuni muka bumi (13: 12-13, 17, 26). Semuanya ini termasuklah dengan ciptaan Allah yang lain dari langit, bumi, matahari dan bulan sebagaimana disebutkan yang lepas adalah patuh pada peraturan-peraturan yang ditentukan Allah dalam kata lain semua menyerah dan patuh (Islam) yang  aman (iman) yang menjadikan semua kewujudan yang nisbi dari langit, cakrawala, matahari, bulan, bintang dan matahari adalah di dalam keadaan yang selamat.
Manusia adalah satu dari makhluk-makhluk yang kecil yang menjadi sebahagian dari ciptaan Allah yang besar dan berada di dalam arus pergerakan ciptaan Allah, sesungguhnya sebagaimana telah diperkatakan diri fizikal manusia pada hakikatnya patuh kepada aturan biologi yang dicipta Allah, maka  minda dan hati-rohani manusia seharusnya juga patuh kepada peraturan Islam dan beriman bagi mencapai kesejahteraan dan keamanan (13.15-16).
Sesungguhnya kewujudan dan adanya manusia adalah `amanah` dari segi keislaman, tamadun, peradaban dan kemanusiaan. Di dalam perjalanan sejarahnya yang kini telah berlalu lebih dari 1437 tahun, amanah dari segi visi dan misi keislaman dan keimanan telah dipikul oleh ummah. Ada gunung-gunung tamadun dan peradaban telah dicapai, tapi ada pamah dan lembah yang telah dilalui. Inilah Takmilah yang dicapai yang pada realiti tidak sampai kepada puncak tamadun dan peradaban yang seharusnya dicapai menurut perspektif Islam. Mutakhir lebih parah nasib yang dialami ummah yang tidak menurut acuan perubahan yang seharusnya dicapai ummah (13.11). Persengkitaan begitu teruk berlaku di kalangan ummah. Mengapakan berlaku sedemikian ? Kelemahan bukan pada doktrin dan aqidahnya yang begitu kukuh, tidak juga pada nilai yang ampuh. Umat sebenarnya telah kehilangan fokus dan matlamat yang harus diperbetulkan. Pendekatan harus dipulih dan disegarkan. Jatuh bangun pernah dilalui dan peluang dan masa depan tetap terbuka luas.
Sekian.

(Penulis bercuti beberapa hari).

October 15, 2015

`Pandangan Wujud` Kerohanian: Kecintaan Dan Kemanusiaan


BBB,  01 Muharram 1437 = 14 Oktober 2015 (Rabu):


Selain dari ayat-ayat yang bersifat `Pandangan Wujud` yang bersifat minda, terdapat juga di dalam Surah Al-Ra`d ayat-ayat  `Pandangan Wujud` berciri kerohanian. Bahawa ayat-ayat Al-Qur`an yang dituju kepada insan melalui Rasulullah s.a.w. itu diterima bersesuaian dengan kecenderungan minda dan jiwa insan itu sendiri. Insan itu ada yang mempunyai kemampuan dan daya berfikir yang agak tinggi. Insan sedemikian berminat dan terdorong kepada perbincagan dan berfikir mengenai persoalan yang bersifat taakkul, rasional dan logik. Peningkatan di dalam bidang berkenaan boleh membawa seseorang kepada bidang falsafah yang antara contoh tokoh-tokoh  falsafah seperti Plato, Aristotle, Al-Farabi, Ibn Sina dan ramai lagi. Tetapi sebahagian dari insan lebih cenderong kepada yang bersifat kalbu dan rohani yang mesra dengan kecintaan dan rasa kemanusiaan. Bagi insan kalbu-rohani sedemikian realiti adalah jelas dan terang, tidak perlu dibahas secara rasional dan logik. Apa yang harus didekati ialah penerimaan secara kasih sayang dan kecintaan. Secara kasih sayang adalah merapatkan insan dan bencikan persengkitaan. Insan sedemikian jijik dengan perbalahan dan persengkitaan semata-mata tamakkan kuasa, mereka prihatin terhadap alam yang menjadi rumah kediaman dan tidak senang dengan anasir-anasir prosak yang semata-mata mengejar keuntungan. Lebih tinggi jiwa sedemikian meningkat kepada kecintaan terhadap Yang Tertinggi Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi.
Di dalam Surah Al-Ra`d selain dari terdapat ayat-ayat yang menyentuh akal, terdapat pula ayat-ayat yang memesrai kalbu dan rohani. Antara ayatnya bermaksud:
``Mereka yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati (zikir) Allah. Ingatlah dengan mengingati (zikir) kepada Allah menenang dan mententeramkan hati-hati (manusia).`` (13.28).
Tergolong ke dalam Islam dan teguh dengan keimanan adalah nikmat tertinggi kurniaan Ilahi. Fenomena alam yang membuktikan Kekuasaan Pencipta seharusnya bukan dibahaskan untuk sebab keyakinan, tetapi sebagai ayat-ayat yang sentiasa terpamer memesrakan pandangan, memerdukan pendengaran, mempesona dan mengkagumkan pengalaman. Di dalam hal ini ayat Al-Qur`an menyebutkan bermaksud:
``Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan bertukarnya siang dan malam menjadi ayat-ayat bagi yang bermata hati (termasuk akal dan rohani). Mereka mengingati Allah ketika berdiri dan duduk dan berbaring di lambungan. Mereka berfikir tentang ciptaan Allah dan tercetusalah ungkapan, ``Wahai Tuhan kami, Engkau tidak ciptakan semua ini secara  batil. Mahasuci Engkau, selamatkanlah kami dari api neraka.`` (Aali Imran: 190-191).
Siapakah yang terdorong kepada pemesra  kalbu dan cinta tertinggi ?
Ada dua peringkat mereka yang terpaut kepada kehalusan, kelembutan dan keindahan, iatu mereka yang terdidik di dalam bidang-bidang yang boleh kita sifatkan sebagai bidang yang bersifat seni. Terpautnya mereka kepada bidang ini antaranya kerana didikan dalam bidang-bidang yang berkait dengan kesenian atau berada di dalam alam sekitar yang berbudaya seni atau memang seseorang itu berbakat di dalam bidang seni, atau memang berada di dalam ketiga-tiga situasi atau sebahagian daripada ketiga-tiga bidang. Penyerlahan mereka yang berkenaan menurut bidang terdidik. Misalnya ianya mungkin terdidik di dalam katakan seni bina dan ukir hasil dari warisan dan keterlibatan di dalam bidang berkenaan, maka jika memang dia berbakat maka dia terkenal dalam bidang senibina dan ukir. Demikianlah misalnya dalam bidang tenunan, membuat bahan tembikar. Yang lain mungkin melalui pengajian berbakat di dalam bidang penulisabn kreatif atau lukisan atau khat yang menyerlahkan mereka di dalam bidang-bidang berkenaan. Yang lain pula berbakat di dalam seni suara, lakonan (film) dan bidang-bidang yang lain. Mereka yang terlibat di dalam berbagai-bagai bidang seni berkenaan biasanya jiwa yang terpupuk dengan bidang seni menjadikan jiwa mereka lembut, bersifat kasih sayang dan anti kekerasan. Sebab itu perlu dari segi pendidikan ada bidang pendidikan yang bersifat seni dan keinsanan yang dapat mengimbangi jiwa yang bersifat keras yang tidak mendapat didikan yang bersifat seni. Pendeknya bidang-bidang yang bersifat seni dan halus dapat memupuk masyarakat dengan nilai-nilai kemanusiaan. Namun apa yang dibincangkan adalah merupakan pemupukan yang berada pada level alamiah sahaja, bersifat nampak, walaupun ianya melibatkan hati nurani dan lebih  bersifat alamiah.
Satu aspek lagi ialah melibatkan level yang lebih tinggi yang dapat kita sifatkan sebagai `seni rohani`. Kesedaran dan orientasi seni rohani tidak semudah dicapai sebagaimana level seni alamiah-insaniah. Jalan ke arah kesedaran dan pemupukan jiwa yang bersifat seni rohani adalah melalui pendidikan kerohanian, iaitu melalui pengajian ilmu-ilmu keagamaan, kesedaran tinggi tentang kuasa tertinggi – Ketuhanan, tekun beribadat dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi lagi salih. Lebih daripada itu meningkat di dalam bidang kerohanian, khususnya yang dikenali sebagai ilmu tasawuf. Ilmu ini dihayati bukan setakat melalui bacaan, tetapi melalui pengajian yang teratur oleh guru dan pembimbing yang terlibat di dalam bidang berkenaan. Ada jalan-jalan sufi menuju kepada peringkat tinggi yang antaranya dikenali dengan jalan tarikat, syariat, hakikat dan ma`rifat. Dan jika mengikuti pendekatan Al-Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya yang berjudul Ihya` Ulum al-Din, seseorang itu hendaklah menyempurnakan pegangan akidah, patuh beramal dengan nilai syariat yang dikenali dengan rubu` al-Ibadat, memantapkan diri dengan nilai-nilai yang dikategorikan sebagai rubu` al-Adat, menjauhkan diri dari elemen-elemen yang dikategorikanb sebagai rubu` al-muhlikat dan berusaha meningkatkan diri dengan rubu` al-Munjiyat. Imam Al-Ghazali memberi tumpuan utama di dalam membicarakan tentang pembersihan logam hati yang dengan hati bersih suci memudahkan diri berhias dengan nilai-nilai murni, sebaliknya jika logam hati rosak dan berkarat akan dikotori dengan nilai-nilai kotor yang merosakkan diri dan memberi kerosakan kepada kelilingan. Orang sufi terkenal dengan kemurnian jiwa dan kesalihan amal, mereka berusaha mendekati Tuhan, mesra dirinya dengan ibadat, basah bibir dengan zikir dan lidahnya sentiasa bertilawat. Mereka yang berjiwa sedemikian tentulah dari kalangan salihin yang bersifat kasih sayang, berakhlak mulia dan tidak menyusahkan orang dan masyarakat kelilingan, hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Golongan yang seumpama ini adalah golongan khusus dan tidak ramai yang mencapai martabat kerohanian yang tinggi. Mereka mesra dan lazat diri dalam suasana  seni rohani dalam munajat diri kepada Ilahi.
Apa yang diharap bukanlah untuk mewujudkan masyarakat kerohanian yang terasing di dalam alam kesufian, tetapi seharusnya seorang berada di tengah masyarakat dengan berjiwa sufi sebagai ikan hidup di dalam masin lautan, tetapi dirinya tidak masin oleh hidup jiwa tanpa dipengaruhi kelilingan.. Dari segi didikan seharusnya tidak hanya memberi keutamaan melampau kepada bidang sains dan teknologi semata-mata yang menyebabkan  mereka kosong dari nilai kemanusiaan dan kerohanian dan menjadikan mereka kekosongan jiwa, bahkan pendidikan hendaklah bersifat keseimbangan dan wasatiyyah dari segi keilmuan yang bersifat akli dengan bersifat keinsanan dan juga kerohanian. Mereka seharusnya tidak tersekat dan tertutup dengan sesuatu yang bersifat kebendaan, tetapi ada di dalam jiwa nilai dan kesedaran kemanusiaan, dan  lebih utama dengan nilai keagamaan. Dengan kesedaran keinsanan dan bertonggak dengan nilai kerohanian memberi kesedaran kepada mereka maksud, nilai dan tujuan hidup, terpupuk dengan nilai kemanusiaan dan berkesedaran dengan niali-nilai keabadian bersesuaian dengan matlamat hidup: Hidup di dunia dan juga di akhirat secara hasanah. Sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka yang beriman dan beramal salih beroleh kebahagiaan berkeadaan amat menggembirakan dan bertempat kembali yang sebaik-baiknya.`` (13.29).

Sekian.

October 14, 2015

Tauhid Aqidah: Takmilah Harmoni Pandangan Wujud


BBB,  29 Zulhijjah 1436 = 13 Oktober 2015 (Selasa):


Telah dibicarakan bahawa ayat-ayat Al-Qur`an menyebut tentang Allah menciptakan langit, bumi, matahari dan bintang-bintang dan Allah juga menegakkan gunung-ganang dan mengalirkan sungai-sungai dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan berbagai jenis buah-buahan (13.2-4). Sesungguhnya semuanya menurut peraturan yang dicipta Allah bagi kepentingan hidupan dan sepatutnya memberi kefahaman bagi mereka yang berakal dan meyakini kekuasaan Allah.
Selain dari melihat kepada semua peraturan Allah yang semua makhluk berserah dan menurut peraturan yang mencerminkan  ciri keislaman makhluk, maka dengan memahami peraturan dan mematuhinya, maka terutamanya manusia merasa aman. Lebih luas lagi dengan memahami ciptaan dan kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta dan kedudukan makhluk sebagai hamba yang dicipta ianya membentuk keyakinan dan keimanan kepada Allah sebagai Pencipta dan membentuk `Pandangan Wujud` dalam minda bahawa Allah Tuhan Yang Berkuasa, Mencipta dan Pemberi Rahmat kepada sekalian alam. Pandangan yang bersifat akidah ini meresapi secara harmoni kepada semua `Pandangan Wujud`. Lebih jelas diperturunkan dalam bentuk rajah bagi menjelaskan tentang `Tauhid Aqidah: Takmilah Harmoni Pandangan Wujud`
Rajah:
Dalam rajah di atas dapat dihuraikan sebagaimana berikut:
Allah pada puncak bermaksud Allah yang bersifat Tauhid, Maha Pencipta, Maha Kuasa yang juga bersifat dengan sifat-sifat sempurna yang lain.
Rasulullah ialah Pesuruh Allah yang menerima wahyu dari Allah – iaitu `Al-Qur`an` yang di dalamnya mengandungi berbagai maklumat termasuk berbagai-bagai persoalan yang menjadi topik tafsiran. Apa yang terkandung di dalam Al-Qur`an dapat ditanggap dengan akal yang banyak disaran di dalam Al-Qur`an. Tanggapan melalui akal dapat memberi keyakinan pada diri yang menjadi pegangan. Pegangan ini dapat didekati dengan kaedah khusus yang dikenali dengan `Ilmu Aqidah` (contoh pendekatan Ash`ari dan Maturidi). Dengan aqidah yang betul memberi pegangan yang kukuh yang dari segi yang lain ianya memberi keamanan dari segi minda di dalam meyakini Allah. Ianya dikenali dengan `Iman` yang memberi keamanan bagi yang beraqidah pegangan.
Satu lagi  pendekatan yang dapat dihayati tentang Rahmat, Rahim, Kasih dan Cinta Allah ialah melalui kerohanian, yang sebagaimana bidang akli yang dapat membicarakan secara luas dan rasional tentang berbagai bidang ilmu yang bersifat akli dan juga bidang aqidah yang mempunyai kaedah  dan pendekatan tersendiri, maka demikianlah dengan bidang kerohanian yang dapat dihayati dan dimesrai.
Melalui bidang-bidang berkenaan yang dihayati dari ciptaan Allah, melalui kitab suci Al-Qur`an yang di dalamnya berbagai-bagai kandungan yang dapat difahami, diyakini dan dihayati – yang  melalui Perutusan Rasulullah s.a.w., melalui wahyu Al-Qur`an sebenarnya membentuk `Pandangan Wujud` keislaman yang pandangan wujud ini meresap dan merangkumi pandangan alamiah yang di dalam rajah dipecahkan secara terhad dan boleh ditambah, misalnya bagaimana `Pandangan Wujud` keislaman – tentang `Pencipta (Allah), tentang Rasulullah, Al-Qur`an,. Melalui orientasi berbagai bidang ilmu, aqidah dan rohani juga membentuk `Pandangan Wujud`  tentang alam dari cakrawala, langit, angkasa, berbagai planet, bulan dan bintang-bintang, pandangan tentang bumi dan kehidupan dan kepelbagaian pada permukaannya, proses malam dan siang serta konsep angin dan ribut dan cuaca yang mewujudkan musim-musim. Dan paling penting `Manusia` itu sendiri yang bukan saja dilihat `Pandangan Wujud` diri segi fizikal, tetapi juga dari sudut falsafah dan kerohanian tentang manusia itu sendiri yang ruang lingkupnya begitu luas `Pandangan Wujud` juga boleh diperluaskan kepada bersifat alam ghaib dan akhirat. Semuanya dapat dirumuskan ke dalam  `Pandangan Wujud` keislaman.
Kembali kepada topik tumpuan pada penulisan ini iaitu kosep `Iman`, bahawa iman adalah terhasil dari kejelasan `Pandangan Wujud` tentang segala yang wujud dari Pencipta, Rasulullah, Perutusan yang diterima, pemahaman melalui pelbagai ilmu, khususnya aqidah dan kerohanian yang semuanya mengharmoni padangan terhadap berbagai bidang alamiah. Dengan pandangan teratur dan kedudukan semua dalam `Pandangan Wujud`, maka individu dan masyarakat  - Muslim yang berpegang dengan keseluruhan yang terangkum dalam `Pandangan Wujud` berkenaan berada dalam kejelasan, tenteram dan aman dengan `Pandangan Wujud` yang menjadi pegangan keimanan bagi individu dan masyarakat umat – Islam. Dengan `Pandangan Wujud` yang betul, apalagi jika individu dan masyarakat bersikap, bertindak dan beramal secara yang betul, maka individu dan masyarakat berkenaan yang beriman  berada di dalam keamanan, bahkan sebagai kesan ianya mengharmoni mengaman, mententeram semua. Mereka yang berkeyakinan dengan `Pandangan Wujud` yang benar adalah berada di dalam keyakinan, tidak ragu dan tidak resah, bahkan tidak merasa keciwa dan duka.
Dapatlah dijadikan contoh ibarat diri yang mempunyai `Pandangan Wujud` yang benar dan beriman secara benar sebagai pelayar yang mempunyai kemahiran belayar di tengah samudera lautan luas. Pelayar mempunyai keilmuan yang berhubung dengan lautan, tahu melihat arah bintang-bintang dan tiupan angin. Berdasarkan keilmuan tentang astronomi dan ilmu pelayaran dia tahu berbagai arah dan tahu ke mana arah lautan dan pelabuhan yang dituju. Dia tidak risau dalam pelayaran, dia tidak ragu dalam menuju pelabuhan yang dituju dan tahu di mana daratan dan pulau yang boleh berlindung kalau ada angin kencang dan sebagainya. Dia yakin, tenang dalam menuju pelabuhan yang dituju. Andainya ada mara bahaya yang terpaksa ditempuh, jika timbul masalah dalam pelayaran, ianya bukan diakibatkan oleh kejahilan. Jika dia menghadapi mara bahaya, bahkan kematian dia adalah dalam keyakinan dalam menuju ke pelabuhan yang dituju.
Contoh  sedemikian dapat ditegakkan, iaitu ada persaamaan bandingan seorang atau jamaah Islam yang yakin dengan aqidah yang betul, berpegang dengan kewujudan Allah Yang Tunggal, Yang Berkuasa Mencipta dan Meniadakan Yang menentukan segala-gala. Dia yakin bahawa segalanya di tangan Allah dia hidup dalam sihat, dapat belajar dan dapat beribadah dan sebagainya. Dia yakin Allah yang menentukan segala-galanya di dalam dia berikhtiar memohon kehidupan yang selesa dan bahagia. Dia bersyukur dengan kurniaan Allah, tetapi andainya hidupnya banyak menghadapi masalah, walau dia berusaha mengatasinya, tapi masih bermasalah, dia juga bersabar dan berpegang pada ketentuan Allah, bahkan disebalik dari ikhtiar dan mohonan dipanjat kepada Allah memohon apa yang baik baginya, andainya ditentukan sebaliknya dia bersabar. Tidak ada kekesalan  terhadap, takdir, segalanya diterima dengan baik, kenikmatan dengan syukur dan kesusahan dengan sabar dan tidak ada kekesalan. Dia tenang berada di dalam.
Itulah orang beriman yang tenteram jiwanya di dalam menghadapi ujian dan ketentuan.

Sekian. 

October 13, 2015

Mengapa Kufur ? Lanjutan Olahan Berdasarkan Tafsiran Maududi


BBB, 28 Zulhijjah 1436 = 12 Oktober 2015 (Isnin):


Pada awal Surah Al-Ra`d Allah menyebutkan bermaksud bahawa, ``Apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mau beriman.`` (13.1). Manakala lawan bagi beriman ialah `kufur` di dalam hal ini ayat Al-Qur`an dari Surah Al-Ra`d juga mengatakan bermaksud: ``Mereka itulah orang-orang yang kufur, ingkar kepada Tuhan mereka dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka, dan mereka jugalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.`` (13.5).
Telah dibicarakan pada pembicaraan yang lepas tentang Islam dan Alam, bahawa kejadian alam adalah tunduk patuh pada peraturan-peraturan Ilahi. Ini ialah berhubung dengan kejadian yang lain dari manusia. Adapun bagi manusia yang mempunyai akal fikiran, mereka seharusnya memikir dan dengan fikiran yang diberi Allah sewajarnya mereka menerima kenyataan tentang ketuhanan yang menjadikan semua makhluk dan peraturan-peraturan yang dikenakan terhadap semua. Ayat Al-Qur`an di dalam Surah Al-Ra`d sendiri banyak menyebut tentang manusia yang seharusnya menggunakan akal fikiran mereka. Antara ayat yang menyatakan bahawa Allah yang menjadikan bumi terbentang luas, menjadikan gunung ganang, sungai-sungai, mengeluarkan buah-buahan, menjadikan kehidupan berpasang-pasangan dan menukarkan malam dan siang, maka dikukuhkan dengan ayat bermaksud:
``Sesungguhnya semua itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan bagi kaum yang berfikir.`` (13.3)
Pada ayat lain dari surah yang sama selepas menyebutkan yang Allah menyuburkan pohon-pohon anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon taman yang berumpun dan tidak berumpun. Semuanya disiram dengan air yang sama dan Allah lebihkan buah setenganhnya dari setengah yang lain,  lalu ditegaskan dengan firmanNya yang  bermaksud:
``Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang mau berfikir serta mahu memahaminya.`` (13.4).
Selain dari manusia diberi fikiran, mereka juga diberi ikhtiar di dalam membuat pilihan. Ini dapat difahami dari ayat Allah di dalam Surah Al-Ra`d yang bermaksud:
``Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.`` (13.11)
Di dalam soal beriman manusia seharusnya menggunakan fikiran rasional mereka, melalui pengajian atau dakwah yang diterima seharusnya mereka mengaku dan menerima kebenaran Islam itu sendiri. Tetapi mengapa sebahagian dari manusia tidak beriman dan bersifat kufur ?
Maududi di dalam hal ini merujuk kepada root kata `kafara` yang bererti `tertutup`, `tersembunyi` dan `terlindung`, lantaran itu mereka yang menafikan dan tidak menerima Islam dikatakan `kafir`, yakni orang yang tertutup, tersembunyi dan terlindung dari menerima kebenaran. Kebenaran yang terbukti dari bukti-bukti secara syahadah alamiah, akliah dan sepatutnya rohaniah. Penafian yang sedemikian tidak lain dari sifat `angkuh`, bongkak`, bahkan zalim terhadap diri sendiri. (Sayyid Abul A`la Maududi, Towards Understanding Islam, Islamic Publications, Lahore, Pakistan, 1972: 7).
Bayangkan dengan peluang yang diberi kepada manusia lahir ke dunia dan membesar dengan tubuh badan yang sihat dengan menikmati berbagai-bagai nikmat yang disedia oleh Allah berbanding dengan mereka yang kurang bernasib baik yang tidak sempurna dari segi kesihatan dan kehidupan, di manakah etika keinsanan yang seharusnya sedar dan berterima kasih kepada Pencipta ? Jika yang berkenaan kufur, kepada siapakah hendak ditujukan rasa terima kasih dan syukur ?
Bayangkan juga di dalam kehidupan, bahawa kita tidak merasa tenteram jika tidak ada tempat tinggal, bahkan jika ada, misalnya secara sewaan semata-mata, kita masih tidak tenteram. Sebaliknya bagi mereka yang diberi nikmat, mendapat pendidikan yang baik dan beroleh pendapatan yang juga baik, bahkan mampu memiliki kediaman yang selesa. Mereka yang sedemikian seharusnya menyedari tentang kurniaan yang didapati dari anugerah tertinggi dan seharusya berterima kasih di atas nikmat pemilikan dan kurniaan yang diterima.
Di dalam hal ini mereka yang tidak mengakui kekuasaan dan Ketuhanan yang tertinggi, mereka bukan setakat tertutup, bahkan zalim, mereka yang sedemikian disifatkan sebagai `Angkuh`, `Penentang` dan Perosak` terhadap ciptaan dan kurniaan Allah yang memangnya mereka menerima dan menikmatinya. Di dalam hal ini kata Maududi:
``If everything has been created by God and God alone, then to whom do they belong ? Who is their real owner ? Who is their rightful sovereign ? Verily, it is God and none else. And if God is the Creator, the Master, and the Sovereign, then who would be a greater revel than the man who were God`s creation against. His injunctions – who makes his mind think against God harbours in his heart thoughts against Him, and uses His various faculties against the Sovereign`s Will. If a servant betrays his master you denounce him as faithless. If an officer becomes disloyal to the state you dub him as traitor and renegade. If a person cheats his benefactor you have no hasitation in condemning him as ingrate. But what match can this betrayal, this ingratitude, and this rebellion have to the one which the disbeliever commits by his Kufr ?`` (Maududi: hlm. 8-9).
Sesungguhnya bagi yang memikir dan sedar, tetapi menafikan kebenaran dan realiti yang dihadapi sebenarnya berlaku pertelingkahan dalam minda, bahkan peperangan yang membelenggu minda dan diri. Mereka yang seumpama ini disifatkan oleh Allah Ta`ala dalam firmanNya yang bermaksud:
``Mereka itulah orang-orang yang  kufur – inkar kepada Tuhan mereka. Dan merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka. Dan merekalah ahli neraka. Mereka kekal di dalamnya.`` (13. 5).
Mereka yang diberi akal dan fikiran dan berpelajaran adalah lebih teruk dari kalangan masyarakat Jahiliyyah yang tidak menerima kebenaran lantaran jahiliyyah mereka, kerana taassub dengan budaya Jahiliyyah yang menganggap Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. mau merosakkan budaya yang selama ini mereka pegang, bahkan menganggap Islam (Nabi Muhammad) mau mengambil alih kuasa yang selama ini secara tradisi berada pada tangan mereka. Firman Allah bermaksud:
``Dan orang-orang kafir itu berkata, ``Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah. (Katakanlah kepada mereka), ``Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada pengetahuan mengenai kitab Allah.`` (13.43).
Kufur pada hakikatnya menentang kebenaran yang nyata dan terbukti secara alamiah, minda dan rohaniah.

Sekian.

October 12, 2015

Islam Dan Alam: Tafsiran Menurut Maududi


BBB, 27 Zulhijjah 1436 =  11 Oktober 2015 (Ahad):


Di dalam Surah Al-Ra`d (13), kandungannya antaranya membicarakan tentang langit, matahari dan bulan yang semuanya bergerak menurut paksi masing-masing (13.2). Surah ini juga membicarakan tentang pertukaran siang dan malam, turunnya hujan mengalirkan air ke sungai-sungai (13.3) menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan mengeluarkan buah-buahan (12.4). Allah menurunkan hujan dan membanjiri lembah dan sungai ini adalah menurut kadar dan jumlah tertentu yang sesuai dengan keperluan kehidupan (13.17). Semua fenomena di atas menurut Al-Qur`an dari Surah Al-Ra`d yang sama Allah berfirman bermaksud:
``Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk patuh, sama ada  dengan sukarela atau dengan paksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.`` (13.15).
Di dalam hubungan dengan kejadian alam dan kandungan serta kelangsungan yang berlaku menurut Maududi adalah secara nature menurut kejadian yang ditentukan Allah. Menurut Maududi sifat dan nama Islam yang bermaksud penyerahan, patuh dan selamat adalah nama yang selari dengan nature alam, kepatuhan kepada aturan (yang ditentukan oleh Tuhan), lantaran itu ianya adalah Islam –selamat sejahtera.
Maududi menarik perhatian bahawa Islam adalah bersifat fitrah yang sesuai dengan nature alam dan kejadian manusia itu. Kata Maududi. Islam bukan rekaan atau bawaan manusia atau sebarang pengasas. Islam tidak seperti setrengah agama umpamanya Christian dinisbahkan kepada  Jesus Christ, tidak seperti Buddhism yang dinisbahkan kepada pengasasnya Gautama Buddha, Zoroastrianism yang dinisbahkan kepada pengasasnya Zoroaster. Begitu juga Islam tidak dinisbah kepada sebarang puak (tribe) seperti Judea agama bagi kaum Yahudi yang diambil dari nama puak Judah dari tempat Judea yang menjadi tempat kelahiran agama Yahudi.
Menurut Maududi, ``But not so with Islam. The religion enjoys the unique distinction of having no such association with any particular person, people, or country. It is neither the product of any human mind nor is it confined to any particular community. It is a universal religion and its objective is to create and cultivate in man the quality and attitude of Islam.``
(Sayyid Abul A`la Maududi, Towards Understanding Islam, (translated and Edited by Khurshid Ahmad), Islamic Publications Limited, Lahore, Pakistan, 1972: 1).
Islam dari segi penyerahan ditafsirkan oleh Maududi, bahawa alam dan kejadian semuanya mempunyai aturan-aturan dipatuhi dari sebesar-besar kejadian sehinggalah kepada yang sekecil-kecilnya alam yang terdiri dari rangkaian nebula, matahari, bulan, planet dan bintang-bintang mempunyai kedudukan masing-masing dan patuh kepada aturan-aturan misalnya bumi dan bulan serta planet-planet bergerak beredar di atas paksi masing-masing dan bergerak menurut kelajuan ditentukan. Dari putaran bumi keliling matahari misalnya mewujudkan siang dan malam. Begitu juga kejadian pada permukaan bumi juga menurut peraturan. Misalnya angin bertiup, laut berombak, lalu angin mengangkat air dari laut dengan awan hitam dan pecah gugur diperbukitan dan perbatasan-perbatasan yang jauh mengalirkan air melalui alur dan sungai hingga ke kuala dan laut. Dengan hujan dan adanya alur dan sungai menyuburkan tumbuh-tumbuhan, kebun dan ladang. Dengan hasil-hasil yang dapat dituaikan mampu menyara hidup bagi penghuni dan masyarakat bagi sesuatu tempat, negeri dan sebagainya. Demikianlah dengan aturan yang ditentukan oleh Tuhan manusia hidup dan dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut Maududi, penyerahan diri dan kepatuhan yang ditentukan oleh Tuhan ini bukan setakat alam fizikal dan lahiri sahaja, tetapi tubuh badan manusia sendiri turut menyerah dan mengikut perintah tabi`i yang diatur Ilahi. Misalnya kesegaran tubuh badan perlu kepada minuman dan makanan, jadi sebagai menurut aturan tabi`i manusia minum dan makan, begitu juga manusia, perlu tidur dan jaga bagi meneruskan kehidupan. Mereka juga perlu menjaga kesihatan bagi tubuh fizikal mereka (Maududi, Towards Understanding Islam, hlm, 2).
Dengan penyerahan dan kepatuhan semua pihak dari universe, matahari, bumi, planet-planet dan bintang-bintang, juga kepatuhan kejadian yang ada dimuka bumi dari kejadian yang terdiri dari cuaca, angin, hujan, tumbuhan dan diri manusia sendiri, maka alam cakrawala bergerak secara selamat,  tidak berlaku perlanggaran dan semua kehidupan di muka bumi turut menyerah dan patuh, maka semuanya adalah di dalam selamat sejahtera. Ini adalah merupakan ciri dan sifat Islam kealaman. Jadi pada hakikatnya alam, cakrawala, matahari, bumi, bulan, planet-planet dan bintang-bintang adalah menyerah diri dan patuh pada aturan Ilahi, maka semua selamat, sejahtera – Semuanya bersifat Islam dan berada di dalam Islam, termasuk anggota tubuh badan manusia itu.
Di sebalik dari apa yang diperkatakan di atas andainya berlaku ketidakpatuhan, misalnya matahari, bumi, bulan dan planet-planet yang lain tidak mengikut peraturan atau berlaku kerosakan dan kekacauan yang tiap satu tidak lagi bergerak di atas  paksi masing-masing, maka akan berlaku perlanggaran dan kerosakan – Kita berlindung dengan Allah dari berlaku sedemikian. Demikian juga di bumi, andainya malam dan siang tidak mengikut aturan, berlaku kemarau panjang  dan kering sungai dan lautan, maka berlakulah kemusnahan dan binasalah kandungan bumi. Bahkan jika segala yang lain berjalan dengan teratur, tetapi andainya tubuh badan manusia misalnya tidak mengikut peraturan. Misalnya tidak makan dan tidak minum, tidak menurut peraturan, tidak cukup tidur dan berada di dalam alam sekitar yang merosakkan, maka  tubuh badan berkenaan berada di dalam sakit dan boleh merosakkan, bahkan boleh membawa kepada kematian.
Dalam kata lain Maududi menggalurkan bahawa `Islam` adalah sifat alam dan segala kejadian, semuanya patuh pada aturan Tuhan sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan bumi tunduk patuh  sama ada dengan sukarela atau dengan paksa dan (demikian juga) bayang-bayang mereka pada  waktu pagi dan petang.`` (13. 15).
Seterusnya ayat Al-Qur`an membuat pertanyaan, bermaksud:
``Bertanyalah (wahai Muhammad), Siapakah Tuhan Yang Memelihara dan Mentadbirkan langit dan bumi ? Jawablah Allah !`` (13.16).
Demikianlah alam dan segala kejadian secara fitrah dan tabi`i adalah Islam. Manusia diberi akal seharusnya juga turut patuh menerima Islam.

Sekian.

October 11, 2015

Al-Ra`d: Fenomena Kejadian Alam Mengukuhkan Keimanan


BBB, 26 Zulhijjah 1436 = 10 Oktober 2015 (Sabtu):


Surah Al-Ra`d (13) adalah Makkiyyah mengandungi 43 ayat.
Berbagai pendekatan wahyu yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai dakwah dan panduan ummah. Ada yang langsung bersifat prinsip-prinsip aqidah, ada yang bersifat maklumat tentang perjalanan ummah-ummah sebelumnya, ada yang bersifat perintah dan larangan, ada yang bersifat cerita dan ada yang dihadapkan dengan pembuktian bersifat ilmu yang penerima dapat menilai kandungan dan kebenaran. Mereka seharusnya membuat pertimbangan rasional dan sepatutnya menerima kebenaran yang dihadapkan kepada mereka. Sebarang penolakan yang bersifat ilmu yang jelas mengandungi kebenaran, bererti mereka anti keilmuan dan anti kebenaran.
Surah Al-Ra`d yang bererti `Surah Guruh` adalah membawa tema dan persoalan yang berhubung dengan sains alam, khususnya yang berhubung dengan fenomena langit bumi yang memberi kesan kepada kehidupan dan kelangsungan kehidupan di bumi, iaitu satu realiti yang manusia saksi, alami dan berlangsung dengan kelangsungan alam itu sendiri. Sebagai pendekatan permulaan manusia dibentang  dengan kenyataan, bermaksud:
``Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya. Kemudian Ia bersemayam di atas `aras. Dan Dia memudahkan matahari dan bulan yang setiap satu beredar menurut ketentuan masa yang ditetapkan. Allah jua Yang Mentadbir segala urusan. Ia menyerlahkan tanda-tanda kekuasaanNya satu persatu supaya kamu dengan pertanda-pertanda ketuhanan itu kamu mendapat keyakinan (13.2).
Pemaparan ayat Al-Qur`an di atas adalah bagi mencelikkan minda masyarakat Jahiliyyah pada zaman Baginda Rasulullah s.a.w., bahkan pada zaman kita ini, yang barangkali memandang seperti biasa fenomena alam hingga kerana terlampau biasa menjadikan pengalami-pengalaminya tidak kisah sama ada faham atau tidak.
Ayat Al-Qur`an menganjurkan agar melihat fenomena alam sebagai pertanda kekuasaan Tuhan. Bahawa alam fizikal kita ini terdiri dari langit atau difahami sebagai angkasa dan kandungan dan bumi (sebahagian daripadanya) di dalam mana manusia dan kehidupan-kehidupan yang lain hidup. Sesungguhnya Allah menjadikan matahari dan bulan dalam mana bumi dan bulan bergerak di atas orbit masing-masing mengelilingi matahari. Pergerakan ini juga disertai planet-planet dan gugusan-gugusan bintang-bintang yang masing-masing bergerak di atas orbit masing-masing. Kewujudan matahari, bulan, bumi, planet-planet dan bintang-bintang bukan sekadar bergerak. Tetapi memberi kesan kepada kesemua kejadian yang dicipta Tuhan. Daripada pergerakan, misalnya bagi bumi yang menjadi tempat kehidupan manusia menghasilkan siang dan malam, menghasilkan musim-musim, daripada pertukaran siang dan malam menjadi kiraan kehidupan dari hari, minggu, bulan , tahun, dekad, abad, milinium dan seterusnya. Di dalamnya manusia dan hidup-hidupan yang lain meneruskan kewujudan. Di dalam kehidupan yang terus bergerak manusia hidup bekerja, mendapat rezeki dari pertukaran hari, hujan dan panas, menumbuhkn tumbuh-tumbuhan dan menghasilkan bahan-bahan pertanian bagi makanan dan hidup berkeluarga di atas muka bumi bagi meneruskan kelangsungan.
Di dalam hal ini ayat Al-Qur`an mengisyaratkan bermaksud:
``Dan Dialah menjadikan bumi terbentang luas dan menjadikan padanya gunung ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir) dan dari tiap-tiap jenis  buah-buahan, ia jadikan padanya pasangan – dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir (13.3).
Proses ke arah fenomena alamiah di atas  bergantung pada cuaca, angin dan hujan yang menyuburkan tanam-tanaman. Antara fenomena alam yang berlaku bagi mewujudkan hujan bagi menyubur dan menghidupkan tumbuh-tumbuhan.
Di dalam ayat Al-Qur`an  menyebutkan bermaksud:
``Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Ia menjadikan awan tebal dan berat (dengan air). (13.12).
Maha Besar Allah yang mengatur proses alamiah yang menyedialah keperluan hidup. Bahawa kewujudan laut dan daratan, kewujudan matahari dan bulan ada hubungan dengan pertukaran musim pada bumi yang bergerak menurut peraturan yang menghasilkan musim-musim. Panas matahari menyedut air dari lautan dan melalui angin mengarakkan awan hitam dan menggugurkannya di perbatasan gunung dan tanah-tanah dikejauhan yang darinya mengalirkan alur dan sungai dari hulu ke kuala. Dari bantuan air yang diturunkan bumi subur, manusia bertani dan bercocok tanam dan menghasilkan bahan-bahan makanan yang mereka bergantung hidup dari hasil tanam-tanaman dikurniai Tuhan, begitu juga turut bergantung hidup-hidupan yang lain yang dijadikan antaranya untuk kepentingan manusia itu sendiri.
Ayat Al-Qur`an menegaskan lagi bermaksud:
``Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadar yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya.`` (13.17).
Juga ayat Al-Qur`an menerangkan bermaksud:P
``Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya), dan padanya ada kebun-kebun anggor dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan tidak berumpun, semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami tambahkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya. (13.4).
Sesungguhnya Allah membentangkan realiti fenomena Alam yang dialami manusia dan menjadi sebahagian dari proses kehidupan manusia itu sendiri, bagaimanakah manusia mau menafikannya ? Lebih-lebih anih, jika manusia  mengakui dengan pengalaman kehidupan yang dilalui, mengapa dari kalangan mereka tidak beriman ?

Sekian.