October 14, 2015

Tauhid Aqidah: Takmilah Harmoni Pandangan Wujud


BBB,  29 Zulhijjah 1436 = 13 Oktober 2015 (Selasa):


Telah dibicarakan bahawa ayat-ayat Al-Qur`an menyebut tentang Allah menciptakan langit, bumi, matahari dan bintang-bintang dan Allah juga menegakkan gunung-ganang dan mengalirkan sungai-sungai dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan berbagai jenis buah-buahan (13.2-4). Sesungguhnya semuanya menurut peraturan yang dicipta Allah bagi kepentingan hidupan dan sepatutnya memberi kefahaman bagi mereka yang berakal dan meyakini kekuasaan Allah.
Selain dari melihat kepada semua peraturan Allah yang semua makhluk berserah dan menurut peraturan yang mencerminkan  ciri keislaman makhluk, maka dengan memahami peraturan dan mematuhinya, maka terutamanya manusia merasa aman. Lebih luas lagi dengan memahami ciptaan dan kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta dan kedudukan makhluk sebagai hamba yang dicipta ianya membentuk keyakinan dan keimanan kepada Allah sebagai Pencipta dan membentuk `Pandangan Wujud` dalam minda bahawa Allah Tuhan Yang Berkuasa, Mencipta dan Pemberi Rahmat kepada sekalian alam. Pandangan yang bersifat akidah ini meresapi secara harmoni kepada semua `Pandangan Wujud`. Lebih jelas diperturunkan dalam bentuk rajah bagi menjelaskan tentang `Tauhid Aqidah: Takmilah Harmoni Pandangan Wujud`
Rajah:
Dalam rajah di atas dapat dihuraikan sebagaimana berikut:
Allah pada puncak bermaksud Allah yang bersifat Tauhid, Maha Pencipta, Maha Kuasa yang juga bersifat dengan sifat-sifat sempurna yang lain.
Rasulullah ialah Pesuruh Allah yang menerima wahyu dari Allah – iaitu `Al-Qur`an` yang di dalamnya mengandungi berbagai maklumat termasuk berbagai-bagai persoalan yang menjadi topik tafsiran. Apa yang terkandung di dalam Al-Qur`an dapat ditanggap dengan akal yang banyak disaran di dalam Al-Qur`an. Tanggapan melalui akal dapat memberi keyakinan pada diri yang menjadi pegangan. Pegangan ini dapat didekati dengan kaedah khusus yang dikenali dengan `Ilmu Aqidah` (contoh pendekatan Ash`ari dan Maturidi). Dengan aqidah yang betul memberi pegangan yang kukuh yang dari segi yang lain ianya memberi keamanan dari segi minda di dalam meyakini Allah. Ianya dikenali dengan `Iman` yang memberi keamanan bagi yang beraqidah pegangan.
Satu lagi  pendekatan yang dapat dihayati tentang Rahmat, Rahim, Kasih dan Cinta Allah ialah melalui kerohanian, yang sebagaimana bidang akli yang dapat membicarakan secara luas dan rasional tentang berbagai bidang ilmu yang bersifat akli dan juga bidang aqidah yang mempunyai kaedah  dan pendekatan tersendiri, maka demikianlah dengan bidang kerohanian yang dapat dihayati dan dimesrai.
Melalui bidang-bidang berkenaan yang dihayati dari ciptaan Allah, melalui kitab suci Al-Qur`an yang di dalamnya berbagai-bagai kandungan yang dapat difahami, diyakini dan dihayati – yang  melalui Perutusan Rasulullah s.a.w., melalui wahyu Al-Qur`an sebenarnya membentuk `Pandangan Wujud` keislaman yang pandangan wujud ini meresap dan merangkumi pandangan alamiah yang di dalam rajah dipecahkan secara terhad dan boleh ditambah, misalnya bagaimana `Pandangan Wujud` keislaman – tentang `Pencipta (Allah), tentang Rasulullah, Al-Qur`an,. Melalui orientasi berbagai bidang ilmu, aqidah dan rohani juga membentuk `Pandangan Wujud`  tentang alam dari cakrawala, langit, angkasa, berbagai planet, bulan dan bintang-bintang, pandangan tentang bumi dan kehidupan dan kepelbagaian pada permukaannya, proses malam dan siang serta konsep angin dan ribut dan cuaca yang mewujudkan musim-musim. Dan paling penting `Manusia` itu sendiri yang bukan saja dilihat `Pandangan Wujud` diri segi fizikal, tetapi juga dari sudut falsafah dan kerohanian tentang manusia itu sendiri yang ruang lingkupnya begitu luas `Pandangan Wujud` juga boleh diperluaskan kepada bersifat alam ghaib dan akhirat. Semuanya dapat dirumuskan ke dalam  `Pandangan Wujud` keislaman.
Kembali kepada topik tumpuan pada penulisan ini iaitu kosep `Iman`, bahawa iman adalah terhasil dari kejelasan `Pandangan Wujud` tentang segala yang wujud dari Pencipta, Rasulullah, Perutusan yang diterima, pemahaman melalui pelbagai ilmu, khususnya aqidah dan kerohanian yang semuanya mengharmoni padangan terhadap berbagai bidang alamiah. Dengan pandangan teratur dan kedudukan semua dalam `Pandangan Wujud`, maka individu dan masyarakat  - Muslim yang berpegang dengan keseluruhan yang terangkum dalam `Pandangan Wujud` berkenaan berada dalam kejelasan, tenteram dan aman dengan `Pandangan Wujud` yang menjadi pegangan keimanan bagi individu dan masyarakat umat – Islam. Dengan `Pandangan Wujud` yang betul, apalagi jika individu dan masyarakat bersikap, bertindak dan beramal secara yang betul, maka individu dan masyarakat berkenaan yang beriman  berada di dalam keamanan, bahkan sebagai kesan ianya mengharmoni mengaman, mententeram semua. Mereka yang berkeyakinan dengan `Pandangan Wujud` yang benar adalah berada di dalam keyakinan, tidak ragu dan tidak resah, bahkan tidak merasa keciwa dan duka.
Dapatlah dijadikan contoh ibarat diri yang mempunyai `Pandangan Wujud` yang benar dan beriman secara benar sebagai pelayar yang mempunyai kemahiran belayar di tengah samudera lautan luas. Pelayar mempunyai keilmuan yang berhubung dengan lautan, tahu melihat arah bintang-bintang dan tiupan angin. Berdasarkan keilmuan tentang astronomi dan ilmu pelayaran dia tahu berbagai arah dan tahu ke mana arah lautan dan pelabuhan yang dituju. Dia tidak risau dalam pelayaran, dia tidak ragu dalam menuju pelabuhan yang dituju dan tahu di mana daratan dan pulau yang boleh berlindung kalau ada angin kencang dan sebagainya. Dia yakin, tenang dalam menuju pelabuhan yang dituju. Andainya ada mara bahaya yang terpaksa ditempuh, jika timbul masalah dalam pelayaran, ianya bukan diakibatkan oleh kejahilan. Jika dia menghadapi mara bahaya, bahkan kematian dia adalah dalam keyakinan dalam menuju ke pelabuhan yang dituju.
Contoh  sedemikian dapat ditegakkan, iaitu ada persaamaan bandingan seorang atau jamaah Islam yang yakin dengan aqidah yang betul, berpegang dengan kewujudan Allah Yang Tunggal, Yang Berkuasa Mencipta dan Meniadakan Yang menentukan segala-gala. Dia yakin bahawa segalanya di tangan Allah dia hidup dalam sihat, dapat belajar dan dapat beribadah dan sebagainya. Dia yakin Allah yang menentukan segala-galanya di dalam dia berikhtiar memohon kehidupan yang selesa dan bahagia. Dia bersyukur dengan kurniaan Allah, tetapi andainya hidupnya banyak menghadapi masalah, walau dia berusaha mengatasinya, tapi masih bermasalah, dia juga bersabar dan berpegang pada ketentuan Allah, bahkan disebalik dari ikhtiar dan mohonan dipanjat kepada Allah memohon apa yang baik baginya, andainya ditentukan sebaliknya dia bersabar. Tidak ada kekesalan  terhadap, takdir, segalanya diterima dengan baik, kenikmatan dengan syukur dan kesusahan dengan sabar dan tidak ada kekesalan. Dia tenang berada di dalam.
Itulah orang beriman yang tenteram jiwanya di dalam menghadapi ujian dan ketentuan.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment