October 24, 2015

Kesan `Sirah Keluarga Ibrahim` Dalam Ibadat


BBB,  10 Muharram 1437 =  23 Oktober 2015 (Jumaat):


Menurut Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya `Al-Tafsir al-Wajiz`, bahawa manusia kekal berpegang pada agama yang satu (Islam) dari zaman Nabi Adam hingga ke zaman Nabi Nuh a.s. Kemudian berlaku perpecahan sehingga memerlukan kebangkitan rasul-rasul bagi memperbetulkan perbalahan dan penyelewengan yang berlaku. (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Damshiq, Suriah, 1431H. 34.).
Nabi Ibrahim (lebihkurang 2,000 Sebelum Masihi) yang dibangkitkan sejak lebih dari 4,000 tahun yang lepas adalah salah satu siri utama kebangkitan bagi membetulkan akidah umat yang terseleweng kepada syirik. Asas aqidah secara jelas (melalui Al-Qur`an) kita warisi hingga kini. Bukan setakat aqidah sahaja, tetapi Nabi Ibrahim adalah kerasulan utama selepas Adam yang memberi impak penting bagi Islam yang kita warisi, impak  ketara di dalam amalan ibadat yang kita amali. Sedarkah kita bahawa di dalam setiap solat yang kita dirikan, pada tahiyyat akhir kita bersalawat dan keberkatan ke atas keluarga Ibrahim sebagaimana kita bersalawat dan keberkatan ke atas keluarga Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya tidak ada kerasulan, selain dari Nabi Muhammad yang disertakan dalam ibadat seperti Nabi Ibrahim dan keluarganya. Jadi Ibrahim dan keluarganya begitu rapat bagi jiwa umat Islam sehingga dibawa di dalam ungkapan ibadat - solat.
Kedudukan Ibrahim dan keluarganya di dalam ibadat Islam adalah lebih besar dan ketara ialah di dalam ibadat `Haji`. Bahkan dapat dikatakan hampir seluruh praktikal amali dari amalan Haji adalah menjejajaki Sirah Keluarga Ibrahim. Sebagaimana dimaklumi dalam sirah, Nabi Ibrahim menempatkan isterinya Saydatuna Hajar dan anak mereka Ismail di sekitar Masjid al-Haram kini. Antara episod penting, ialah kisah Saydatuna Hajar dan anaknya berusaha secara berlari-lari mencari air yang akhirnya terpancar keluar  air dari rentakan kaki Ismail yang dikenali sebagai air Zam Zam yang hingga kini mengalir tiada putus-putus dan tidak kering-kering. Episod penting juga ialah pembinaan Baitullah oleh Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail yang kesan dari pembinaan itu ialah `Maqam Ibrahim` dan `Hijir Ismail` dan episod sirah paling penting berhubung dengan mimpi Ibrahim yang beliau diperintah menyembelih anaknya Ismail yang disayangi itu.
Kita dapati elemen sejarah memainkan peranan yang penting, sejarah berlatarkan tempat Makkah sebagai penempatan bagi keluarga Nabi Ibrahim dan kemudian Makkah dan Madinah sebagai latar dakwah Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Islam. Berhubung dengan penempatan keluarga Nabi Ibrahim di Makkah, Nabi Ibrahim mendoakan sebagaimana ayat Al-Qur`an di dalam Surah Ibrahim bermaksud:
``Dan ingatkanlah, tatkala Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata, ``Wahai Tuhanku ! Jadikanlah Negeri Makkah ini negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anakku dari perbuatan menyembah berhala.Wahai Tuhanku ! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak antara umat manusia, oleh itu sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku), maka ia adalah dari golonganku, dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat). Wahai Tuhan Kami  Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuiriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah), yang tidak ada tanam-tanaman padanya di sisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami ! (Mereka di tempatkan di situ), supaya mereka mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu jadikan hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanam-tanaman. Semoga mereka bersyukur. (14. 35-37).
Elemen sejarah dan sirah Nabi Ibrahim dan keluarganya adalah menjadi sebahagian dari ibadat di dalam Islam, bahkan menjadi sebagai satu dari rukun Islam yang lima, iaitu menunaikan Haji.
Di dalam ibadat Haji terdapat amalan-amalan yang mirip kepada peristiwa sejarah dan sirah Nabi Allah Ibrahim dan keluarganya. Misalnya tawaf di Baitillah al-Haram yang dibina Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s. amalan sa`i antara Safa dan Marwah mirip, bahkan melambangkan larian Saydatuna Hajar dalam mencari air. Meminum air zam zam sebagai lambang kesyukuran di atas kurniaan air.  Dan wuquf di Arafah sebagai mengenangi tempat pertemuan kembali Nabi Adam dengan Saydatuna Hawa dan juga sebagai perlambangan bagi `Mahsyar Kecil`.
Manakala yang lain, apa yang didoakan oleh Nabi Ibrahim dikabulkan oleh Allah Ta`ala. Permohonan agar Makkah menjadi negeri yang aman, sesungguhnya Makkah, khususnya sekitar Tanah Haram adalah menjadi kawasan aman. Tradisi `menyembah berhala` yang bukan menjadi `tradisi ibadat` dalam Islam, tetapi dibawa dari kesesatan luar dapat dihapuskan, khususnya setelah dibangkitkan Nabi Muhammad s.a.w. Baitullah sesungguhnya menjadi pusat ibadat sebagai menunaikan Haji dan berterusan didirikan solat, bahkan ianya menjadsi Kiblat bagi solat yang didirikan oleh umat Islam diseluruh pelusuk dunia.
Doa Nabi Allah Ibrahim agar hati-hati umat (Islam) berterusan rindu dan mesra untuk mengunjunginya benar-benar menjadi kenyataan dalam mana Makkah dan Madinah terus-terusan dikunjungi oleh umat Islam bagi menunaikan Haji dan Umrah. Makkah, walaupun tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan tidak subur untuk pertanian, tetapi tempat itu tidak kurang daripada berbagai-bagai keperluan makanan dan juga dari berbagai keperluan. Pusat ibadat itu juga menjadi tempat dipasarkan berbagai-bagai keperluan bukan saja bagi penduduk tempatan, tetapi juga bagi pengunjung-pengunjung yang berziarah pergi dan datang. Turut sama mengalami kemakmuran ialah Madinah al-Munawwarah yang menjadi bandar kembar dan pusat ibadat yang diziarahi oleh mereka yang menunaikan haji dan umrah. Sesungguhnya sambutan Idul Adhha setiap tahun oleh umat Islam, tidak lain dari iringan terhadap amalan haji bagi mereka yang menunaikan haji di Makkah dan turut menghidupkan sunnah berkorban sebagai lambang korban yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s.
Dari apa yang dibincangkan, jelas bahawa Nabi Ibrahim yang darinya turun jurai turunan nabi-nabi, khususnya bagi Nabi Muhammad s.a.w. sangat rapat dari segi hubungan. Nabi Ibrahim puncak unggul dari segi turunan, aqidah yang ditegakkannya menjadi prinsip aqidah yang dipegang oleh umat Islam. Sejarah dan sirahnya menjadi bahagian dari amalan haji. Pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail menjadi contoh korban  dan sunat bagi yang tidak menunaikan haji turut sama berkorban. Kedudukan Nabi Ibrahim adalah paling istimewa bagi umat Islam. Nabi Ibrahim pengukuh aqidah keislaman dan terbawa di dalam ibadat solat dan haji.

Sekian.

No comments:

Post a Comment