October 7, 2015

Kejutan Maklumat Dari Yusuf Menepati Gerak Hati Dan Telahan Ya`kub


BBB, 22 Zulhijjah 1435 = 06 Oktober 2015 (Selasa):


Kisah Nabi Yusuf adalah bertemakan Yusuf dan keluarga bermula dengan ta`wilan terhadap mimpi Yusuf oleh bapanya Ya`kub. Konflik bermula bila timbul rasa tidak puas hati di kalangan adik beradik lelaki Yusuf berjumlah 10 orang – tidak termasuk Bunyamin (adik bungsu) terhadap bapanya Ya`kub yang membezakan kasih sayang antara mereka dan Yusuf menyebabkan mereka berusaha menyingkirkan Yusuf dengan meninggalkan Yusuf di kegelapan perut perigi. Niat jahat selalunya tidak berjaya. Cerita berkembang kepada episod kedua dengan Yusuf mendepani ujian getir menjadi sebagai budak hamba yang dijual di pasar yang dibeli seorang pembesar Mesir dan dijadikan anak angkat bagi keluarga Al-Aziz dan isterinya Zulaikha. Seterusnya cerita terus berkembang menuju ke peringkat klimeks kepada episod tahap tiga apabila Zulaikha mengingini Yusuf yang mencetuskan skendal Zulaikha. Cerita berkembang secara turun mendatar kepada kerelaan Yusuf mengasingkan diri di penjara. Mimpi memainkan peranan penting dalam cerita Yusuf. Semasa dalam penjara Yusuf mentakwilkan mimpi dua banduan (seorang thabit kesalahan). Sekali lagi elemen mimpi berlaku pada Raja Mesir. Maklumat sampai kepada banduan yang keluar tidak bersalah memaklumkan kepada pihak pemerintah tentang kemahiran Yusuf menta`bir mimpi. Yusuf meletakkan syarat kes dirinya dibersihkan terlebih dahulu sebelum beliau menta`birkan mimpi Diraja. Konflik dihadapi Yusuf dengan Zulaikha dapat dibersihkan dengan pengakuan Zulaikha yang bersalah dan dibuktikan dengan pengakuan perempuan-perempuan yang menghadiri Majlis Pengakuan yang diadakan dihadapan Raja Mesir. Yusuf ment`birkan mimpi Diraja, bahawa Mesir akan mengalami zaman makmur dengan hasil tanaman dalam masa tujuh tahun mendatang dan diikuti dengan kegawatan hasil pertanian tujuh tahun berikutnya.
Episod keempat, Yusuf sebagai seorang bersih menerima ganjaran dari Allah dengan Raja Mesir melantiknya sebagai Pengurus perbendaharaan Mesir bagi sektor pertanian. Kebijaksanaannya dengan izin Allah Mesir terlepas dari menghadapi kegawatan pada musim kontang. Yusuf mencapai kejayaan cemerlang dan dipercayai pemerintah dan rakyat.
Seterusnya melalui penggunaan elemen flashback dalam penceritaan, apabila anak-anak Ya`kub (10 orang) datang ke Mesir membeli makanan. Cerita mula ke arah peleraian tahap pertama, bila Yusuf mengenali saudara-saudara mereka yang datang dan meminta mereka membawa adik bungsu mereka, tetapi penceritaan dilanjutkan dengan konflik di kalangan saudara-saudara Yusuf bila berdepan dengan bapa mereka yang berkeberatan melepaskan Bunyamin bersama, namun memikirkan keperluan kepada makanan yang telah kehabisan, Bunyamin dibenarkan bersama kafilah kedua anak-anak Ya`kub ke Mesir dan secara helah halus dengan Bunyamin ditahan kerana disabit `kesalahan` mencuri alat sukatan yang diletakkan dalam karungnya. Cerita memuncak kembali bagi kali ketiga (selepas Yusuf ditinggalkan di telaga dan skendal Zulaikha)  dialami anak-anak Ya`kub dan Ya`kub sendiri sebagai episod kelima akibat dari `penahanan` terhadap Bunyamin di Mesir.
Anak-anak Ya`kub pulang kepada keluarganya – Ya`kub dengan berat hati dari rasa berdosa. Mereka berusaha untuk mengembalikan keyakinan Ya`kub selepas hilang kepercayaan bapa mereka selepas kehilangan Yusuf, apa yang diharap menjadi sebaliknya. Mereka menjadi lebih tidak diyakini dan hilang kepercayaan bapa mereka selepas kes Bunyamin ditahan di Mesir. Anak-anak Ya`kub menderita oleh krisis hilang keyakinan bapa dan derita oleh dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka benar-benar menghadapi balasan di dunia akibat angkara jahat mereka. Manakala Ya`kub yang lanjut usianya tidak kurang menderita mengingatkan kepada Yusuf yang hilang dan Bunyamin yang ditahan. Akibat dari sedih dan tangis menyebabkan mata Ya`kub menjadi rabun.
Namun kes kehilangan Yusuf dan penahanan terhadap Bunyamin, tidaklah menjadikan Ya`kub orang yang berputus esa. Dia menggantungkan harap kepada Allah dan terus bersabar. Bahkan dari peristiwa kehilangan Yusuf, pemergian anak-anak Ya`kub kali pertama dan pulang dengan membawa kembali barang dagangan yang mau ditukarkan, tetapi dipulang kembali, permintaan pembesar Mesir itu supaya membawa Bunyamin bersama ke Mesir pada kali kedua pemergian mereka, semacam ada makna dan maksud tersirat yang mengisyaratkan sebagai ada hubungan dengan kedua-kedua anak mereka. Ini dapat difahami dari ungkapan Ya`kub sebagaimana di dalam Al-Qur`an yang bermaksud:
``(Nabi Ya`kub) menjawab, ``Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah apa yang kamu tidak mengetahui.`` (12.86).
Melalui gerak hati dari Nabi Ya`kub yang tidak berputus esa, Ya`kub sekali lagi  memerintah anak-anaknya ke Mesir bagi kali ketiga dan kali ini, di samping membawa barang-barang dagangan, mereka berusaha merisik dan mendapat maklumat tentang Yusuf dan adiknya Bunyamin. Ini mencerminkan Ya`kub semacam mempercayaai Yusuf juga berada di Mesir, ini sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wahai anak-anakku ! Pergilah dan intiplah, khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus esa dari rahmat serta pertolongan Allah, sesungguhnya bagi yang tidak berputus esa mendapat rahmat dan pertolongan Allah, melainkan kaum kafir.`` (12. 87).
Pemergian kali ketiga ini, walaupun ada membawa dagangan yang disifatkan oleh anak-anak Ya`kub sebagai kurang bermutu, namun tujuan mereka disampaikan kepada pembesar Mesir (Yusuf), bahawa mereka datang lebih kepada melahirkan kedukaan bagi bapa mereka yang kehilangan anak-anaknya (Yusuf dan Bunyamin). Mereka melahirkan rasa  kesusahan tentang kekurangan makanan, tetapi lebih menderita kehilangan keluarga, terutama bagi orang tua mereka –Ya`kub. Mereka memohon ihsan selain dari pada membeli dan menukarkan barang dagangan, namun lebih berharap masalah kedukaan keluarga dapat diberi pertolongan.
Mendengar pengaduan yang dibawa oleh saudara-saudaranya, Yusuf sudah sampai peringkat maksimum dari menyimpan rahsia dan bersedia mendedahkan keadaan dan rahsia sebenarnya, sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Yusuf berkata, ``Tahukah kamu (bagaimana buruknya) apa yang telah kamu lakukan kepada Yusuf dan saudaranya semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian) (12.89).
Soalan Yusuf itu secara spontan membuka mistri dan merupakan kejutan (keempat dan episod keenam) bagi saudara-saudara Yusuf sehingga secara sponton pula keluar dari mulut mereka, sebagaimana terakam di dalam Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka bertanya (dengan hairan), Adakah engkau ini Yusuf ? Dia menjawab, ``Ya akulah Yusuf dan ini saudaraku (Bunyamin). Sesunggyhnya Allah mengurniakan nikmatnya kepada kami. Sebenarnya siapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak meghampakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.`` (12. 90).
Bayangkan dengan suasana itu, mereka berpeluk-pelukan kegembiraan dan anak-anak Ya`kub yang 10 orang itu tidak putus-putus memohon kemaafan di atas kesalahan mereka. Dan Yusuf pula secara tulus ikhlas memaafkan mereka. Sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Yusuf berkata, ``Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak dan tidak disalahkan (atas perbuatan kamu yang telah terlanjur itu). Semoga Allah mengampunkan dosa kamu dan Dialah jua Yang Amat Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.`` (12.92).
Kejutan dari pendedahan Yusuf adalah menepati isyarat dan gerak hati serta telahan Ya`kub.

Sekian.

No comments:

Post a Comment