BBB, 27 Zulhijjah 1436 = 11 Oktober 2015 (Ahad):
``Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk
yang ada di langit dan di bumi tunduk patuh, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa dan
(demikian juga) bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.`` (13.15).
Di dalam hubungan dengan kejadian alam dan
kandungan serta kelangsungan yang berlaku menurut Maududi adalah secara nature
menurut kejadian yang ditentukan Allah. Menurut Maududi sifat dan nama Islam
yang bermaksud penyerahan, patuh dan selamat adalah nama yang selari dengan
nature alam, kepatuhan kepada aturan (yang ditentukan oleh Tuhan), lantaran itu
ianya adalah Islam –selamat sejahtera.
Maududi menarik perhatian bahawa Islam adalah
bersifat fitrah yang sesuai dengan nature alam dan kejadian manusia itu. Kata
Maududi. Islam bukan rekaan atau bawaan manusia atau sebarang pengasas. Islam
tidak seperti setrengah agama umpamanya Christian dinisbahkan kepada Jesus Christ, tidak seperti Buddhism yang
dinisbahkan kepada pengasasnya Gautama Buddha, Zoroastrianism yang dinisbahkan
kepada pengasasnya Zoroaster. Begitu juga Islam tidak dinisbah kepada sebarang
puak (tribe) seperti Judea agama bagi kaum Yahudi yang diambil dari nama puak
Judah dari tempat Judea yang menjadi tempat kelahiran agama Yahudi.
Menurut Maududi, ``But not so with Islam. The
religion enjoys the unique distinction of having no such association with any
particular person, people, or country. It is neither the product of any human
mind nor is it confined to any particular community. It is a universal religion
and its objective is to create and cultivate in man the quality and attitude of
Islam.``
(Sayyid Abul A`la Maududi, Towards
Understanding Islam, (translated and Edited by Khurshid Ahmad), Islamic
Publications Limited, Lahore, Pakistan, 1972: 1).
Islam dari segi penyerahan ditafsirkan oleh
Maududi, bahawa alam dan kejadian semuanya mempunyai aturan-aturan dipatuhi
dari sebesar-besar kejadian sehinggalah kepada yang sekecil-kecilnya alam yang
terdiri dari rangkaian nebula, matahari, bulan, planet dan bintang-bintang
mempunyai kedudukan masing-masing dan patuh kepada aturan-aturan misalnya bumi
dan bulan serta planet-planet bergerak beredar di atas paksi masing-masing dan
bergerak menurut kelajuan ditentukan. Dari putaran bumi keliling matahari
misalnya mewujudkan siang dan malam. Begitu juga kejadian pada permukaan bumi
juga menurut peraturan. Misalnya angin bertiup, laut berombak, lalu angin
mengangkat air dari laut dengan awan hitam dan pecah gugur diperbukitan dan
perbatasan-perbatasan yang jauh mengalirkan air melalui alur dan sungai hingga
ke kuala dan laut. Dengan hujan dan adanya alur dan sungai menyuburkan
tumbuh-tumbuhan, kebun dan ladang. Dengan hasil-hasil yang dapat dituaikan
mampu menyara hidup bagi penghuni dan masyarakat bagi sesuatu tempat, negeri
dan sebagainya. Demikianlah dengan aturan yang ditentukan oleh Tuhan manusia
hidup dan dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut Maududi, penyerahan diri dan kepatuhan
yang ditentukan oleh Tuhan ini bukan setakat alam fizikal dan lahiri sahaja, tetapi
tubuh badan manusia sendiri turut menyerah dan mengikut perintah tabi`i yang
diatur Ilahi. Misalnya kesegaran tubuh badan perlu kepada minuman dan makanan,
jadi sebagai menurut aturan tabi`i manusia minum dan makan, begitu juga
manusia, perlu tidur dan jaga bagi meneruskan kehidupan. Mereka juga perlu
menjaga kesihatan bagi tubuh fizikal mereka (Maududi, Towards Understanding
Islam, hlm, 2).
Dengan penyerahan dan kepatuhan semua pihak
dari universe, matahari, bumi, planet-planet dan bintang-bintang, juga
kepatuhan kejadian yang ada dimuka bumi dari kejadian yang terdiri dari cuaca,
angin, hujan, tumbuhan dan diri manusia sendiri, maka alam cakrawala bergerak
secara selamat, tidak berlaku
perlanggaran dan semua kehidupan di muka bumi turut menyerah dan patuh, maka
semuanya adalah di dalam selamat sejahtera. Ini adalah merupakan ciri dan sifat
Islam kealaman. Jadi pada hakikatnya alam, cakrawala, matahari, bumi, bulan,
planet-planet dan bintang-bintang adalah menyerah diri dan patuh pada aturan
Ilahi, maka semua selamat, sejahtera – Semuanya bersifat Islam dan berada di
dalam Islam, termasuk anggota tubuh badan manusia itu.
Di sebalik dari apa yang diperkatakan di atas
andainya berlaku ketidakpatuhan, misalnya matahari, bumi, bulan dan
planet-planet yang lain tidak mengikut peraturan atau berlaku kerosakan dan
kekacauan yang tiap satu tidak lagi bergerak di atas paksi masing-masing, maka akan berlaku
perlanggaran dan kerosakan – Kita berlindung dengan Allah dari berlaku
sedemikian. Demikian juga di bumi, andainya malam dan siang tidak mengikut aturan,
berlaku kemarau panjang dan kering
sungai dan lautan, maka berlakulah kemusnahan dan binasalah kandungan bumi.
Bahkan jika segala yang lain berjalan dengan teratur, tetapi andainya tubuh
badan manusia misalnya tidak mengikut peraturan. Misalnya tidak makan dan tidak
minum, tidak menurut peraturan, tidak cukup tidur dan berada di dalam alam
sekitar yang merosakkan, maka tubuh
badan berkenaan berada di dalam sakit dan boleh merosakkan, bahkan boleh
membawa kepada kematian.
Dalam kata lain Maududi menggalurkan bahawa
`Islam` adalah sifat alam dan segala kejadian, semuanya patuh pada aturan Tuhan
sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk
yang ada di langit dan bumi tunduk patuh sama ada dengan sukarela atau dengan paksa dan
(demikian juga) bayang-bayang mereka pada
waktu pagi dan petang.`` (13. 15).
Seterusnya ayat Al-Qur`an membuat pertanyaan,
bermaksud:
``Bertanyalah (wahai Muhammad), Siapakah Tuhan
Yang Memelihara dan Mentadbirkan langit dan bumi ? Jawablah Allah !`` (13.16).
Demikianlah alam dan segala kejadian secara
fitrah dan tabi`i adalah Islam. Manusia diberi akal seharusnya juga turut patuh
menerima Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment