Era antara Nabi Adam hingga kepada Nabi Nuh
adalah era dalam mana umat dalam era
tersebut berpegang teguh pada agama yang satu (Islam) (Al-Zuhaily, Wahbah,
Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Damshiq, Suriah, 1431H: 34). Meurut Ibn Jarir
yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas menyatakan bahawa jarak antara Nabi Nuh
dan Adam `alayhima al-salam adalah sepuluh generasi yang semuanya berpegang
pada syariat Allah. Tetapi perlu diingat bahawa usia manusia pada peringkat permulaan ini adalah
lanjut. Misalnya Nabi Nuh sendiri berumur 950 tahun (Al-`Ankabut: 14). Sebelum
daripada itu Nabi Idris adalah `kakek` bagi Nabi Nuh adalah seorang Nabi yang
taat kepada Allah dan disifatkan sebagai Nabi yang Siddiq dan mempunyai
martabat yang tinggi (Maryam:57).
Pada zaman Nabi Nuh mulai berlaku
penyelewengan dari segi akidah dan syariat. Lantaran itu Allah membangkitkan
Nabi Nuh. Ayat Al-Qur`an menyebut bermaksud:
``Sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Nuh
kepada kaumnya (dengan berfirman kepadanya), ``Berikanlah peringatan dan amaran
kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak berperi sakitnya.``
(Nuh: 1). Sesungguhnya berikutnya Nuh telah berdakwah kepada mereka siang dan
malam, supaya mereka beriman, tetapi kata Nuh sebagaimana ayat Al-Qur`an
bermaksud:
``Maka seruanku itu tidak memberikan mereka
(satu faedah pun), selain dari
menambahkan mereka melarikan diri (dari kebenaran).`` (Nuh: 6)
Begitulah keras hati dan jiwa umat Nabi Nuh,
tiada yang menerima dakwah seruan Nabi Nuh, kecuali sedikit sahaja, walaupun
diingatkan bahawa bala akan menimpa mereka. Bahkan mereka memandang rendah
kepada Nabi Nuh sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari
kaumnya, ``Kami tidak memandangmu (wahai Nuh), melainkan sebagai seorang
manusia seperti kami, dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu, melainkan
orang-orang kami yang miskin, hina lagi berfikiran singkat dan kami juga tidak
memandang kamu mempunyai sebarang kelebihan (keistimewaan) yang mengatasi kami,
bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta.`` (Hud: 27).
Kedegilan dan keangkuhan mereka bakal
mengalami ancaman bencana alam. Nabi Nuh diperintahkan untuk membina kapal bagi
menyelamatkan diri dan pengikut-pengikut dari banjir. (Hud: 37-38). Pembinaan
kapal oleh Nuh di tengah daratan dipersenda kaumnya, tetapi bila banjir besar
berlaku dan Nabi Nuh mempelawakan mereka sama menaiki kapal, mereka enggan,
termasuklah anaknya sendiri yang rela melarikan diri ke puncak bukit, tetapi
mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka dari banjir besar itu, kecuali
mereka yang bersama Nuh (Hud: 39-48).
Demikianlah kederhakaan umat Nabi Nuh
mengundang bala yang merosakkan mereka yang menentangnya. Berikutnya umat
kembali beriman kepada Allah dan berpegang kepada agama Islam. Tetapi di dalam
pertukaran masa, antaranya zaman Nuh dengan Nabi Ibrahim, kembali umat
menyeleweng dan kekufuran.
Pada zaman Nabi Hud, iaitu berketurunan dari Sam
bin Nuh beliau diutus kepada kaumnya yang bernama `Aad suatu kaum yang
bertempat di sebelah utara Hadramaut, Yaman. Mereka mampu membina benteng-benteng
yang kukuh untuk pertanian, tetapi mereka adalah kalangan kuffar.Kengganan
mereka beriman telah dibalakan dengan angin yang kuat selama tujuh malam lapan
hari yang merosakkan mereka (Al-Haqqah: 6-8).
Adapun Nabi Saleh adalah anak `Ubaid bin Jabir
bin Thamud dan nama kaumnya ialah Kaum Thamud yang dinisbahkan kepada Thamud
berkenaan yang bertalian turunan kepada Thamud bin `Amir bin Iram bin Sam bin
Nuh yang bererti Nabi Saleh adalah dari keturunan Nabi Nuh. (Hadiyah Salim,
Qisas al-Anbiya` - Sejarah 25 Rasul, PT Al-Ma`arif, Bandung-Syarikat S. Abdul
Majeed, Kuala Lumpur, 1988: 33).
Kaum Nabi Saleh dikatakan tinggal di
pergunungan dan bukit bukau antara kawasan Hijaz dan Syam di sebelah tenggara
bagi Madyan. Agama bagi penduduk ini adalah menyembah berhala. Nabi Saleh
menyeru mereka menyembah Allah (Hud: 61). Kaum Thamud menjawab kepada Nabi
Saleh sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Hai Saleh ! Sesungguhnya engkau tempat
harapan kami sebelum ini. Patutkah engkau melarang kami menyembah apa yang
telah disembah oleh bapa-bapa kami ? Sesungguhnya kami dalam keraguan, tentang
apa yang engkau serukan kepada kami itu dan kami menaruh curiga.`` (Hud: 62).
Penerangan lanjut oleh Nabi Saleh tidak diterima sebagaimana yang berlaku
kepada pengikut Nabi Hud. Bahkan mereka terus ingkar dan mendusta terhadap Nabi
Saleh (Al-Shu`ara`: 141-152). Akhirnya mereka yang menderhaka ini ditimpa gempa
secara mengejut yang mematikan mereka. Saki baki yang terselamat (120 orang)
berpindah ke Hadramaut dan Makkah (Hadiyah Salim: 38-39).
Sebagaimana Nabi Saleh menghadapi umat yang
angkuh dan kufur, maka demikianlah dihadapi oleh Nabi Ibrahim dengan masyarakat
yang kufur menyembah berhala, termasuk ayahnya sendiri Aazar yang membuat patung-patung
untuk disembah. Ibrahim berada dalam masa pemerintahan seorang raja yang zalim,
iaitu Raja Namrud. Ibrahim sejak remaja berkesedaran tinggi. Dia mencari
hakikat ketuhanan dan menyedari Allahlah Pencipta segala alam ini dan dia
menumpukan kepatuhan kepada Allah yang mencipta langit dan bumi. Dia seorang
yang Hanif dan tidak dari kalangan orang
musyrikin (Al-An`am: 79).
Ibrahim berdakwah kepada orang tua dan kaumnya
menyeru mereka menyembah Allah. Ibrahim kemudian mengambil tindakan merosakkan
berhala-berhala yang disembah kaumnya. Perbuatan ini sampai kepada pihak
berkuasa dan beliau dipersoalkan tentang tindakan. Beliau meminta pihak
berkenaan bertanya kepada berhala terbesar yang disangkut kapak yang dipecahkan
dengannya. Ini memberi kesedaran terhadap penyembah-penyembah berhala tentang
berhala yang mereka sembah tidak memberi erti apa-apa kepada mereka (Al-Anbiya`
51-67).
Meskipun peristiwa pemecahan berhala
menyedarkan sebahagian daripada mereka, tetapi pihak Raja Namrud mengambil
tindakan menghukum Ibrahim dengan membakarkannya ke dalam api menyala. Tetapi
dengan izin Allah tidak terbakar dan Ibrahim dalam keadaan selamat (Al-Anbiya`:
69).
Berikut dari itu Nabi Ibrahim berdakwah
terhadap bapa dan kaumnya menurut agama yang betul yang mematuhi perintah Allah
yang disifatkan agama Hanif (Islam) (Maryam: 41-45). Namun ayah dan kaumnya
tidak menyahut dakwahnya.
Berikut dari itu Ibrahim mengambil tindakan
berhijrah dari kaumnya sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Qur`an bermaksud:
``Manakala Nabi Ibrahim berpindah ke Tanah
Suci (Baitul Maqdis), terpisah dari mereka dan berhala yang disembah mereka
lain dari Allah, maka Kami anugerahkan kepadanya (keturunannya), iaitu Ishaq
dan Ya`kub, keduanya kami jadikan Nabi (Maryam: 49).
Manakala dari belahan dari isterinya yang
lain, iaitu Hajar melahirkan Ismail yang juga dilantik sebagai Nabi. Ibrahim
berdakwah bagi menegakkan agama Hanif (Islam) di kalangan umat, bersih dari
segi peyembahan hanya terhadap Allah, tidak seperti kaum sebelaum di bawah
pemerintahan Raja Namrud. Dari mereka mempertalikan turunan mulia, bahkan
kepadanya dinisbahkan oleh pengikut Yahudi, Kristian dan Islam. Ibrahim
mempunyai zuriat keturunan yang penting sebagai nabi-nabi, dia ibarat ninda
kepada turunannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment