October 15, 2015

`Pandangan Wujud` Kerohanian: Kecintaan Dan Kemanusiaan


BBB,  01 Muharram 1437 = 14 Oktober 2015 (Rabu):


Selain dari ayat-ayat yang bersifat `Pandangan Wujud` yang bersifat minda, terdapat juga di dalam Surah Al-Ra`d ayat-ayat  `Pandangan Wujud` berciri kerohanian. Bahawa ayat-ayat Al-Qur`an yang dituju kepada insan melalui Rasulullah s.a.w. itu diterima bersesuaian dengan kecenderungan minda dan jiwa insan itu sendiri. Insan itu ada yang mempunyai kemampuan dan daya berfikir yang agak tinggi. Insan sedemikian berminat dan terdorong kepada perbincagan dan berfikir mengenai persoalan yang bersifat taakkul, rasional dan logik. Peningkatan di dalam bidang berkenaan boleh membawa seseorang kepada bidang falsafah yang antara contoh tokoh-tokoh  falsafah seperti Plato, Aristotle, Al-Farabi, Ibn Sina dan ramai lagi. Tetapi sebahagian dari insan lebih cenderong kepada yang bersifat kalbu dan rohani yang mesra dengan kecintaan dan rasa kemanusiaan. Bagi insan kalbu-rohani sedemikian realiti adalah jelas dan terang, tidak perlu dibahas secara rasional dan logik. Apa yang harus didekati ialah penerimaan secara kasih sayang dan kecintaan. Secara kasih sayang adalah merapatkan insan dan bencikan persengkitaan. Insan sedemikian jijik dengan perbalahan dan persengkitaan semata-mata tamakkan kuasa, mereka prihatin terhadap alam yang menjadi rumah kediaman dan tidak senang dengan anasir-anasir prosak yang semata-mata mengejar keuntungan. Lebih tinggi jiwa sedemikian meningkat kepada kecintaan terhadap Yang Tertinggi Yang Maha Pemurah lagi Maha Pemberi.
Di dalam Surah Al-Ra`d selain dari terdapat ayat-ayat yang menyentuh akal, terdapat pula ayat-ayat yang memesrai kalbu dan rohani. Antara ayatnya bermaksud:
``Mereka yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati (zikir) Allah. Ingatlah dengan mengingati (zikir) kepada Allah menenang dan mententeramkan hati-hati (manusia).`` (13.28).
Tergolong ke dalam Islam dan teguh dengan keimanan adalah nikmat tertinggi kurniaan Ilahi. Fenomena alam yang membuktikan Kekuasaan Pencipta seharusnya bukan dibahaskan untuk sebab keyakinan, tetapi sebagai ayat-ayat yang sentiasa terpamer memesrakan pandangan, memerdukan pendengaran, mempesona dan mengkagumkan pengalaman. Di dalam hal ini ayat Al-Qur`an menyebutkan bermaksud:
``Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi dan bertukarnya siang dan malam menjadi ayat-ayat bagi yang bermata hati (termasuk akal dan rohani). Mereka mengingati Allah ketika berdiri dan duduk dan berbaring di lambungan. Mereka berfikir tentang ciptaan Allah dan tercetusalah ungkapan, ``Wahai Tuhan kami, Engkau tidak ciptakan semua ini secara  batil. Mahasuci Engkau, selamatkanlah kami dari api neraka.`` (Aali Imran: 190-191).
Siapakah yang terdorong kepada pemesra  kalbu dan cinta tertinggi ?
Ada dua peringkat mereka yang terpaut kepada kehalusan, kelembutan dan keindahan, iatu mereka yang terdidik di dalam bidang-bidang yang boleh kita sifatkan sebagai bidang yang bersifat seni. Terpautnya mereka kepada bidang ini antaranya kerana didikan dalam bidang-bidang yang berkait dengan kesenian atau berada di dalam alam sekitar yang berbudaya seni atau memang seseorang itu berbakat di dalam bidang seni, atau memang berada di dalam ketiga-tiga situasi atau sebahagian daripada ketiga-tiga bidang. Penyerlahan mereka yang berkenaan menurut bidang terdidik. Misalnya ianya mungkin terdidik di dalam katakan seni bina dan ukir hasil dari warisan dan keterlibatan di dalam bidang berkenaan, maka jika memang dia berbakat maka dia terkenal dalam bidang senibina dan ukir. Demikianlah misalnya dalam bidang tenunan, membuat bahan tembikar. Yang lain mungkin melalui pengajian berbakat di dalam bidang penulisabn kreatif atau lukisan atau khat yang menyerlahkan mereka di dalam bidang-bidang berkenaan. Yang lain pula berbakat di dalam seni suara, lakonan (film) dan bidang-bidang yang lain. Mereka yang terlibat di dalam berbagai-bagai bidang seni berkenaan biasanya jiwa yang terpupuk dengan bidang seni menjadikan jiwa mereka lembut, bersifat kasih sayang dan anti kekerasan. Sebab itu perlu dari segi pendidikan ada bidang pendidikan yang bersifat seni dan keinsanan yang dapat mengimbangi jiwa yang bersifat keras yang tidak mendapat didikan yang bersifat seni. Pendeknya bidang-bidang yang bersifat seni dan halus dapat memupuk masyarakat dengan nilai-nilai kemanusiaan. Namun apa yang dibincangkan adalah merupakan pemupukan yang berada pada level alamiah sahaja, bersifat nampak, walaupun ianya melibatkan hati nurani dan lebih  bersifat alamiah.
Satu aspek lagi ialah melibatkan level yang lebih tinggi yang dapat kita sifatkan sebagai `seni rohani`. Kesedaran dan orientasi seni rohani tidak semudah dicapai sebagaimana level seni alamiah-insaniah. Jalan ke arah kesedaran dan pemupukan jiwa yang bersifat seni rohani adalah melalui pendidikan kerohanian, iaitu melalui pengajian ilmu-ilmu keagamaan, kesedaran tinggi tentang kuasa tertinggi – Ketuhanan, tekun beribadat dan mempunyai nilai akhlak yang tinggi lagi salih. Lebih daripada itu meningkat di dalam bidang kerohanian, khususnya yang dikenali sebagai ilmu tasawuf. Ilmu ini dihayati bukan setakat melalui bacaan, tetapi melalui pengajian yang teratur oleh guru dan pembimbing yang terlibat di dalam bidang berkenaan. Ada jalan-jalan sufi menuju kepada peringkat tinggi yang antaranya dikenali dengan jalan tarikat, syariat, hakikat dan ma`rifat. Dan jika mengikuti pendekatan Al-Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya yang berjudul Ihya` Ulum al-Din, seseorang itu hendaklah menyempurnakan pegangan akidah, patuh beramal dengan nilai syariat yang dikenali dengan rubu` al-Ibadat, memantapkan diri dengan nilai-nilai yang dikategorikan sebagai rubu` al-Adat, menjauhkan diri dari elemen-elemen yang dikategorikanb sebagai rubu` al-muhlikat dan berusaha meningkatkan diri dengan rubu` al-Munjiyat. Imam Al-Ghazali memberi tumpuan utama di dalam membicarakan tentang pembersihan logam hati yang dengan hati bersih suci memudahkan diri berhias dengan nilai-nilai murni, sebaliknya jika logam hati rosak dan berkarat akan dikotori dengan nilai-nilai kotor yang merosakkan diri dan memberi kerosakan kepada kelilingan. Orang sufi terkenal dengan kemurnian jiwa dan kesalihan amal, mereka berusaha mendekati Tuhan, mesra dirinya dengan ibadat, basah bibir dengan zikir dan lidahnya sentiasa bertilawat. Mereka yang berjiwa sedemikian tentulah dari kalangan salihin yang bersifat kasih sayang, berakhlak mulia dan tidak menyusahkan orang dan masyarakat kelilingan, hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Golongan yang seumpama ini adalah golongan khusus dan tidak ramai yang mencapai martabat kerohanian yang tinggi. Mereka mesra dan lazat diri dalam suasana  seni rohani dalam munajat diri kepada Ilahi.
Apa yang diharap bukanlah untuk mewujudkan masyarakat kerohanian yang terasing di dalam alam kesufian, tetapi seharusnya seorang berada di tengah masyarakat dengan berjiwa sufi sebagai ikan hidup di dalam masin lautan, tetapi dirinya tidak masin oleh hidup jiwa tanpa dipengaruhi kelilingan.. Dari segi didikan seharusnya tidak hanya memberi keutamaan melampau kepada bidang sains dan teknologi semata-mata yang menyebabkan  mereka kosong dari nilai kemanusiaan dan kerohanian dan menjadikan mereka kekosongan jiwa, bahkan pendidikan hendaklah bersifat keseimbangan dan wasatiyyah dari segi keilmuan yang bersifat akli dengan bersifat keinsanan dan juga kerohanian. Mereka seharusnya tidak tersekat dan tertutup dengan sesuatu yang bersifat kebendaan, tetapi ada di dalam jiwa nilai dan kesedaran kemanusiaan, dan  lebih utama dengan nilai keagamaan. Dengan kesedaran keinsanan dan bertonggak dengan nilai kerohanian memberi kesedaran kepada mereka maksud, nilai dan tujuan hidup, terpupuk dengan nilai kemanusiaan dan berkesedaran dengan niali-nilai keabadian bersesuaian dengan matlamat hidup: Hidup di dunia dan juga di akhirat secara hasanah. Sebagaimana kata ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka yang beriman dan beramal salih beroleh kebahagiaan berkeadaan amat menggembirakan dan bertempat kembali yang sebaik-baiknya.`` (13.29).

Sekian.

No comments:

Post a Comment