Pada awal Surah Al-Ra`d Allah menyebutkan
bermaksud bahawa, ``Apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu
adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mau beriman.`` (13.1). Manakala
lawan bagi beriman ialah `kufur` di dalam hal ini ayat Al-Qur`an dari Surah
Al-Ra`d juga mengatakan bermaksud: ``Mereka itulah orang-orang yang kufur,
ingkar kepada Tuhan mereka dan merekalah yang dibelenggu dengan
belenggu-belenggu pada leher mereka, dan mereka jugalah ahli neraka, mereka
kekal di dalamnya.`` (13.5).
Telah dibicarakan pada pembicaraan yang lepas
tentang Islam dan Alam, bahawa kejadian alam adalah tunduk patuh pada
peraturan-peraturan Ilahi. Ini ialah berhubung dengan kejadian yang lain dari
manusia. Adapun bagi manusia yang mempunyai akal fikiran, mereka seharusnya
memikir dan dengan fikiran yang diberi Allah sewajarnya mereka menerima
kenyataan tentang ketuhanan yang menjadikan semua makhluk dan peraturan-peraturan
yang dikenakan terhadap semua. Ayat Al-Qur`an di dalam Surah Al-Ra`d sendiri
banyak menyebut tentang manusia yang seharusnya menggunakan akal fikiran
mereka. Antara ayat yang menyatakan bahawa Allah yang menjadikan bumi
terbentang luas, menjadikan gunung ganang, sungai-sungai, mengeluarkan
buah-buahan, menjadikan kehidupan berpasang-pasangan dan menukarkan malam dan
siang, maka dikukuhkan dengan ayat bermaksud:
``Sesungguhnya semua itu mengandungi
tanda-tanda kekuasaan bagi kaum yang berfikir.`` (13.3)
Pada ayat lain dari surah yang sama selepas
menyebutkan yang Allah menyuburkan pohon-pohon anggur dan jenis-jenis tanaman
serta pohon taman yang berumpun dan tidak berumpun. Semuanya disiram dengan air
yang sama dan Allah lebihkan buah setenganhnya dari setengah yang lain, lalu ditegaskan dengan firmanNya yang bermaksud:
``Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang mau berfikir serta mahu
memahaminya.`` (13.4).
Selain dari manusia diberi fikiran, mereka
juga diberi ikhtiar di dalam membuat pilihan. Ini dapat difahami dari ayat
Allah di dalam Surah Al-Ra`d yang bermaksud:
``Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang
ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka
sendiri.`` (13.11)
Di dalam soal beriman manusia seharusnya
menggunakan fikiran rasional mereka, melalui pengajian atau dakwah yang
diterima seharusnya mereka mengaku dan menerima kebenaran Islam itu sendiri.
Tetapi mengapa sebahagian dari manusia tidak beriman dan bersifat kufur ?
Maududi di dalam hal ini merujuk kepada root
kata `kafara` yang bererti `tertutup`, `tersembunyi` dan `terlindung`, lantaran
itu mereka yang menafikan dan tidak menerima Islam dikatakan `kafir`, yakni
orang yang tertutup, tersembunyi dan terlindung dari menerima kebenaran.
Kebenaran yang terbukti dari bukti-bukti secara syahadah alamiah, akliah dan
sepatutnya rohaniah. Penafian yang sedemikian tidak lain dari sifat `angkuh`,
bongkak`, bahkan zalim terhadap diri sendiri. (Sayyid Abul A`la Maududi, Towards
Understanding Islam, Islamic Publications, Lahore, Pakistan, 1972: 7).
Bayangkan dengan peluang yang diberi kepada
manusia lahir ke dunia dan membesar dengan tubuh badan yang sihat dengan
menikmati berbagai-bagai nikmat yang disedia oleh Allah berbanding dengan
mereka yang kurang bernasib baik yang tidak sempurna dari segi kesihatan dan
kehidupan, di manakah etika keinsanan yang seharusnya sedar dan berterima kasih
kepada Pencipta ? Jika yang berkenaan kufur, kepada siapakah hendak ditujukan
rasa terima kasih dan syukur ?
Bayangkan juga di dalam kehidupan, bahawa kita
tidak merasa tenteram jika tidak ada tempat tinggal, bahkan jika ada, misalnya
secara sewaan semata-mata, kita masih tidak tenteram. Sebaliknya bagi mereka
yang diberi nikmat, mendapat pendidikan yang baik dan beroleh pendapatan yang
juga baik, bahkan mampu memiliki kediaman yang selesa. Mereka yang sedemikian
seharusnya menyedari tentang kurniaan yang didapati dari anugerah tertinggi dan
seharusya berterima kasih di atas nikmat pemilikan dan kurniaan yang diterima.
Di dalam hal ini mereka yang tidak mengakui
kekuasaan dan Ketuhanan yang tertinggi, mereka bukan setakat tertutup, bahkan
zalim, mereka yang sedemikian disifatkan sebagai `Angkuh`, `Penentang` dan
Perosak` terhadap ciptaan dan kurniaan Allah yang memangnya mereka menerima dan
menikmatinya. Di dalam hal ini kata Maududi:
``If everything has been created by God and
God alone, then to whom do they belong ? Who is their real owner ? Who is their
rightful sovereign ? Verily, it is God and none else. And if God is the
Creator, the Master, and the Sovereign, then who would be a greater revel than
the man who were God`s creation against. His injunctions – who makes his mind
think against God harbours in his heart thoughts against Him, and uses His
various faculties against the Sovereign`s Will. If a servant betrays his master
you denounce him as faithless. If an officer becomes disloyal to the state you
dub him as traitor and renegade. If a person cheats his benefactor you have no
hasitation in condemning him as ingrate. But what match can this betrayal, this
ingratitude, and this rebellion have to the one which the disbeliever commits
by his Kufr ?`` (Maududi: hlm. 8-9).
Sesungguhnya bagi yang memikir dan sedar,
tetapi menafikan kebenaran dan realiti yang dihadapi sebenarnya berlaku
pertelingkahan dalam minda, bahkan peperangan yang membelenggu minda dan diri.
Mereka yang seumpama ini disifatkan oleh Allah Ta`ala dalam firmanNya yang
bermaksud:
``Mereka itulah orang-orang yang kufur – inkar kepada Tuhan mereka. Dan
merekalah yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka. Dan
merekalah ahli neraka. Mereka kekal di dalamnya.`` (13. 5).
Mereka yang diberi akal dan fikiran dan
berpelajaran adalah lebih teruk dari kalangan masyarakat Jahiliyyah yang tidak
menerima kebenaran lantaran jahiliyyah mereka, kerana taassub dengan budaya
Jahiliyyah yang menganggap Islam yang dibawa Nabi Muhammad s.a.w. mau
merosakkan budaya yang selama ini mereka pegang, bahkan menganggap Islam (Nabi
Muhammad) mau mengambil alih kuasa yang selama ini secara tradisi berada pada
tangan mereka. Firman Allah bermaksud:
``Dan orang-orang kafir itu berkata, ``Engkau
bukanlah seorang Rasul dari Allah. (Katakanlah kepada mereka), ``Cukuplah Allah
menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan oleh orang-orang yang
ada pengetahuan mengenai kitab Allah.`` (13.43).
Kufur pada hakikatnya menentang kebenaran yang
nyata dan terbukti secara alamiah, minda dan rohaniah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment