October 30, 2015

Penyedaran `Pandangan Wujud` Dalam Surah Al-Hijr: Metod Dakwah


BBB,  16 Muharram 1437 = 29 Oktober 2015 (Khamis):



Surah Al-Hijr yang mengandungi maklumat tentang Kaum Al-Hijr, Al-Aykah dan Kaum Lut serta kandungan-kandungan yang lain yang terkandung di dalam surah tersebut adalah wahyu bersifat makluman kepada Rasulullah s.a.w. yang disampaikan kepada masyarakat umat pada masanya. Cerita tentang ketiga-tiga kaum ini adalah `nadhir` - ingatan yang menggerunkan kepada mereka dan umat seluruh sebagai akibat dan balasan di atas perbuatan maksiat mereka. Mereka  sepatutnya tidak mengikut atau bersikap seperti mereka dan sepatutnya menerima dakwah keislaman. Mereka dan sesiapa juga sepatutnya tidak melakukan kemungkaran dan tidak menerima akibat dari perbuatan mungkar dan keji sebagaimana dilakukan kaum-kaum di atas.
Satu pendekatan di dalam penyampaian maklumat, ilmu dan dakwah yang dapat dicontohi dari kandungan Surah Al-Hijr ialah melalui pendekatan `Pandangan Wujud` sebagaimana yang telah dibina sebelum ini. `Pandangan Wujud` ini dapat dipecahkan kepada pecahan-pecahan berikut:
1)      Pandangan Wujud Kerohanian
2)      Pandangan Wujud Hissi (Inderawi)
3)      Pandangan Wujud Akli
4)      Pandangan Wujud Keilmuan
5)      Pandangan Wujud Sejarah (Maklumat)
(Antara pandangan-pandangan di atas ada yang bersifat bertindih – bermaksud boleh digunakan bagi lebih dari satu `Pandangan Wujud`).
`Pandangan Wujud` kerohanian ialah seperti mempercayai  Al-Qur`an.  Al-Qur`an sebagai Kalam Tuhan datangnya dari Yang Ghaib dan membicarakan antaranya persoalan-persoalan kerohanian dan yang ghaib. Berhubung dengan Al-Qur`an ini kata Muhammad Qutb:
``Al-Qur`an berbicara tentang soal ketuhanan kepada insan seluruhnya, tidak dari segi akal semata dan tidak dari segi wijdan semata. Al-Qur`an membicarakan keseluruhan persoalan.``
(Muhammad Qutb, Dirasat Qur`aniyyat, Dar Al-Shuruq,, Beirut-Al-Qahirah, 1400H./1980M: 32).
Mengimani kepada yang ghaib merupakan penegasan terawal (termasuk basmalah) dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
Dengan nama Allah Yang Bersifat Rahman lagi Rahim
Alif, lam, mim.
Kitab Al-Qur`an ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datang dari Allah dan tentang sempurnanya). Ia juga menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.
Iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari pada rezeki yang kami berikan kepada mereka.
Dan orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Qur`an yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yang yakin akan adanya hari akhirat.
Mereka itulah yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhan mereka. Dan merekalah orang-orang berjaya (Al-Baqarah: 1-5).
Kepada masyarakat Jahiliyyah dan masyarakat awam, mungkin persoalan ketuhanan yang merupakan kepercayaan yang ghaib dan Al-Qur`an juga merupakan wahyu dari Tuhan yang ghaib kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam konteks zaman permulaan tidak mampu difahami oleh mereka, apalagi mereka masih kufur dan menolak Islam dan tidak timbul soal keimanan kepada mereka.
Tetapi dalam konteks zaman mereka, zaman Jahiliyyah, yang masyarakat mereka amat menyanjung tinggi terhadap bidang sastera dapat membuktikan bahawa Al-Qur`an bukan kalam manusia. Seorang penyair terkenal Arab zaman Jahiliyaah, iaitu Al-Walid bin al-Mughirah terpegun pertama kali mendengar ayat-ayat Al-Qur`an lantas terluah darinya ungkapan: `Kata-katanya indah menawan, bukan dari kata-kata insan, sesungguhnya ungkapannya tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.`` (Muhammad Qutb: hlm. 56).
Dan keindahan dan kandungan Al-Qur`an juga membawa Sayyiduna Umar Ibn al-Khattab menerima Islam setelah mendengarnya secara mengintip mengenai pengajaran Al-Qur`an di rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam.
Dua bukti di atas cukup membuktikan keistimewaan Al-Qur`an dan bahawa Al-Qur`an bukannya ungkapan insan, tetapi datangnya dari Tuhan.
Al-Qur`an diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dari Allah yang ghaib, yang di dalamnya membicarakan tentang yang ghaib serta kerohanian dan juga al-syahadah.
Berhubung dengan aspek kerohanian, maka pada awal Surah Al-Hijr dibicarakan soal-soal ghaib dan kerohanian. Misalnya tentang konsep ajal  pada ayat bermaksud:
``Suatu umat itu tidak dapat mendahului tempoh yang telah ditentukan dan tidak pula mereka dapat mengundurkan (15: 5).
Maklumat tentang ajal tidak diketahui manusia melainkan Allah.
Persoalan berhubung dengan ghaib dan kerohanian ialah kepercayaan kepada malaikat yang menjadi salah satu rukun iman (15: 7-8)
Begitu juga rahsia dan khazanah maklumat selengkapnya adalah pada ilmu Allah yang tidak ada yang lain mengetahuinya melainkan Dia. Maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi kami sahaja perbendaharaannya.`` (15: 21`).
Demikianlah tentang hidupmati, segera dan lambat sesuatu tempoh dan persoalan mahsyar adalah di dalam ilmu Tuhan (15: 23-25). Begitu juga soal neraka (15.43) dan syurga (15.45), juga kiamat (15.85). Dengan kepercayaan antaranya kepada yang ghaib, apa lagi yang nyata sepatutnya membawa seseorang hamba itu taat dan patuh kepada Allah sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an pada akhir Surah Al-Hijr bermaksud:
``Dan sembahlah Tuhanmu dengan penuh keyakinan.`` (15: 99).
Persoalan yang ghaib dan kerohanian menjadi persoalan dominan di dalam Islam. Aspek ini perlu disampaikan secara menarik, kefahaman mendalam dan bijaksana di dalam mendakwah dan menyampaikan pengajaran agar penyampaian dapat memberi kesan maksimum kepada khalayak yang didakwah atau yang disampaikan pengajaran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment