October 9, 2015

Watak Dan Perwatakan: Takmilah Keinsanan


BBB,  24 Zulhijah 1436 = 08 Oktober 2015 (Khamis):


Bagi sesebuah cerita, selain dari jalan cerita menghidupkan cerita, watak dan perwatakan – bermaksud pelaku-pelaku – khususnya insan-insan di dalamnya yang mempunyai variasi perwatakan adalah memainkan peranan yang penting di dalam menghidupkan cerita. Termasuklah di dalam `Kisah Yusuf`.
Di dalam `Kisah Yusuf` mempunyai berbagai watak yang dapat dikategorikan kepada watak utama, watak sederhana dan watak kecil. Watak utama ialah watak yang banyak peranan dan cerita banyak bergantung pada watak-watak ini, manakala watak sederhana, ialah watak tidak utama, tetapi kesempurnaan cerita turut bergantung pada mereka dan watak kecil ialah watak-watak yang tidak banyak berperanan di dalam cerita, namun tidak dapat dinafikan kewujudannya turut sama memainkan peranan di dalam menyempurnakan cerita. Sebagaimana disebut dari variasi watak-watak, perangai dan tindakan mereka juga menghidupkan cerita. Di dalam hal ini ada watak-watak yang disifatkan baik dan ada yang bersifat buruk. Namun di dalam penampilan perwatakan di dalam Kisah Yusuf ini ada semacam apa yang diistilahkan oleh Al-Qur`an `Ibrah` yang bergerak ke arah hudan (pertunjukan), rahmat dan kebaikan (12.111) yang kita istilahkan sebagai `Takmilah Perwatakan Keinsanan`.
Watak Utama ialah Yusuf, Ya`kub, saudara-saudara Yusuf (Anak-Anak Ya`kub) dan Zulaikha.
Watak Sederhana ialah  Al-`Aziz, Raja Mesir, Bunyamin, Teman Sepenjara.
Watak Kecil ialah Pekerja Di Rumah Zulaikha, Perempuan-Perempuan Jemputan, Penyelamat Yusuf Dari Perigi, Pekerja Pejabat Yusuf (Tukang Sukat), Utusan Diraja Kepada Yusuf dan Ibu Yusuf.
Daripada 14 jenis watak di atas ada watak-watak baik seperti Yusuf, Ya`kub,, Al-`Aziz, Raja Mesir, Bunyamin, Seorang Dari Teman Penjara.
Watak-watak jahat ialah Saudara-Saudara Yusuf (selain dari Bunyamin), Zulaikha, Seorang Lagi Teman Penjara (dihukum).
Manakala watak-watak kecil dapat disifatkan sebagai biasa.Watak-watak utama di dalam cerita adalah watak-watak yang berperanan penting di dalam cerita yang menghidupkan cerita berkenaan.
Watak-watak utama sama ada bersifat baik atau jahat. Watak-watak baik adalah menjadi teladan, manakala watak-watak jahat menjadi sempadan.
Antara watak utama yang paling utama ialah Yusuf yang sifatnya digambarkan sejak dari kecil selain dari tampan ialah berakhlak baik, kasih kepada ibu bapa dan dikasihi mereka, tidak menaruh perasaan curiga terhadap saudara-saudaranya, jujur terhadap kedua ibu bapa angkatnya, bijak dan mahir di dalam ilmu ta`bir, bersabar menghadapi fitnah, menjunjung Perintah Diraja, dedikasi terhadap tugas yang diamanahkan, berusaha merapatkan hubungan keluarga dan mengangkat kedua ibu bapanya ke kedudukan yang mulia.
Manakala Ya`kub sebagai bapa Yusuf disifatkan sebagai bapa yang pengasih, berilmu dan mahir dari segi ta`wilan mimpi, bersabar, bergantung kepada Allah yang sebaik-baik Penjaga, sering menasihati anak-anak, memendam duka dari karinah anak-anak derhaka, memaaf kesalahan anak-anak, bersyukur di atas kurniaan Allah yang mengembalikan kasih sayang kekeluargaan dan balasan kebaikan dari Allah.
Manakala anak-anak Ya`kub selain dari Yusuf dan Bunyamin digambarkan dengan watak hitam dan jahat, iaitu berdusta dengan bapa mereka Ya`kub, ketika memohon izin dari Ya`kub untuk membawanya keluar `berkelah`, Menipu Yusuf dengan niat jahat terhadapnya, mereka mencampakkan Yusuf ke dasar perigi, mendusta kepada bapa mereka tentang kematian Yusuf `dimakan serigala`, juga berdusta dengan bahan bukti dusta (baju berlumuran darah tanpa berlaku kekoyakan), berdusta kepada pembesar Mesir (Yusuf) bahawa Yusuf juga pernah `mencuri`. Zulaikha dapat dikategorikan sebagai jahat, iaitu bersifat tidak jujur dengan suaminya Al-Aziz, menggoda Yusuf, membuat tuduhan dusta terhadap Yusuf hingga Yusuf teraniaya dan termasuk masuk penjara.
Bagi watak-watak sederhana peranan mereka agak terhad, kebanyakan gambaran terhadap mereka juga terhad. Antara watak dikategorikan sederhana ialah Al-Aziz suami Zulaikha yang juga bapa angkat Yusuf yang disifatkan sebagai penyabar, meyakini Yusuf jujur dan mengingatkan Zulaikha di atas ketelanjurannya. Watak Raja Mesir juga diberi gambaran terhad dan tidak jelas raja yang mana dalam sejarah pemerintahan di Mesir. Wataknya timbul berhubung dengan mimpinya yang membawa Yusuf mentakwil mimpi Baginda, sebelumnya Baginda menyelesaikan masalah skendal Zulaikha dan membersih Yusuf dari fitnah dan di atas kebijaksanaan Yusuf Baginda melantik Yusuf menjadi Pembesar Mesir yang mengendalikan perbendaharaan negera bagi sektor pertanian.
Bunyamin adik bungsu seibu sebapa dengan Yusuf digambarkan sebagai watak anak yang bersih, dikasihi bapanya – Ya`kub. Wataknya timbul apabila Pembesar Mesir (Yusuf) meminta saudara-saudaranya yang tidak mengenalinya membawa Bunyamin ke Mesir. Bapanya Ya`kub begitu berat untuk melepaskannya, tetapi  terpaksa melepaskannya pergi. Bunyamin ditahan Yusuf semasa di Mesir, tapi beliau bergembira bersama Yusuf semasa di Mesir, lebih-lebih lagi bila semua keluarga berhimpun di Mesir. Satu lagi watak sederhana ialah Teman Yusuf semasa di penjara (Peyedia Roti Diraja) yang dibersih dari tuduhan meracun Raja Mesir. Beliau bersama seorang teman sepenjara lagi (Penyedia Minuman Diraja) sabit kesalahan mau meracun raja – watak jahat dan dihukum mati. Teman yang dibebaskan bertanggungjawab menyampaikan maklumat kemahiran Yusuf menta`wil mimpi, sehingga Yusuf dijemput ke istana dan dia membuat syarat agar dibersihkan nama dari skendal Zulaikha dan Yusuf menta`bir mimpi Diraja.
Watak-watak kecil cuma disebut sepintas lalu dan terhad dari segi peranan, bahkan ada yang sekali sebutan seperti pekerja dirumah Zulaikha yang memberi pendapat tentang baju Yusuf yang ditarik Zulaikha jika carik dari depan bererti Yusuf bersalah dan jika koyak dari belakang bererti Zulaikha yang bersalah dan baju Yusuf adalah koyak dari belakang, manakala perempuan-perempuan yang dijemput ke rumahnya disebut dua kali pertama ke majlis makan yang perempuan-perempuan melukakan jari-jari mereka ketika mengupas buah bila terpandang kepada Yusuf yang ke luar ke tempat mereka dan ketika mereka beri penyaksian kebersihan Yusuf dari angkara yang tidak baik yang ditimbulkan oleh Zulaikha, seterusnya penyelamat Yusuf tidak diberi keterangan lanjut hanya disebut sebagai petugas mencari air dari kafilah yang melalui perigi berkenaan, begitu juga pekerja di pejabat Yusuf yang diminta memasukkan alat sukatan di dalam karung Bunyamin tidak diberi gambaran detail, ianya sekadar mematuhi arahan Yusuf. Demikian utusan Diraja yang dititah menemui Yusuf untuk dijemput menta`bir mimpi tidak diberi keterangan detail, bahkan terakhir ialah ibu Yusuf juga tidak diberi keterangan detail, Cuma disebut ibu berkenaan bersama bapa mereka Ya`kub diletak di atas singgahsana kemuliaan yang selayak baginya selepas mereka di bawa ke Mesir.
Dari segi gambaran yang berhubung dengan perkara-perkara jahat tidak diberi gambaran detail, ianya sekadar dapat ditanggapi seperti meninggalkan Yusuf di lembah telaga, tindakan Zulaikha mengingini Yusuf, pekerja yang mau meracuni raja dan tuduhan terhadap Yusuf oleh saudara-saudara yang kononnya juga sebagai `pencuri` disebut secara ringkas dan elemen-elemen berkenaan dihentikan, yakni tidak diberi huraian lanjut bertujuan perbuatan keji sedemikian tidak sepatutnya diperbesarkan, lagi pula seharusnya dijauhi. Sebaliknya perbuatan-perbuatan yang baik dipuji serta diulangi seperti peribadi Yusuf dan sifat baik Ya`kub yang sabar dan bergantung harap kepada Allah dipuji. Segala sifat keji dikalahkan di dalam scerita, manakala yang baik dimenangkan dan berjaya seperti kejayaan Yusuf, Ya`kub, kejayaan Raja Mesir kerana tindakan dan pandangan jauhnya hasil dari cadangan Yusuf. Semua yang berkelakuan jahat pada akhirnya kesal dan bertaubat seterusnya insaf. Sebagai inti dari segi mesej tentang perwatakan bahawa nilai yang baik hendaklah dijadikan teladan dan nilai yang  jahat hendaklah dijadikan sempadan. Semua hendaklah menurut jalan kebenaran yang diperintah Allah yang disampaikan melalui Rasul dan Junjungan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment