BBB, 21
Zulhijjah 1436 = 05 September 2015 (Isnin):
P
emergian anak-anak Ya`kub bagi kali kedua dan kali ini bersama Bunyamin dilihat dari segi cerita adalah merupakan peningkatan pentahapan cerita dengan menggunakan kaedah-kaedah ketegangan dan kejutan yang akan membawa kepada tahap kemuncak – setelah beberapa tahap puncak yang kelak akan membawa kepada tahap peleraian cerita. Cerita juga bagi memperlihatkan perkembangan sebagai implikasi dari `tabiat buruk` saudara-saudara Yusuf yang mereka terpaksa tanggung kepada tahap puncak. Peleraian cerita merupakan `happy ending` bagi keluarga Yusuf.
emergian anak-anak Ya`kub bagi kali kedua dan kali ini bersama Bunyamin dilihat dari segi cerita adalah merupakan peningkatan pentahapan cerita dengan menggunakan kaedah-kaedah ketegangan dan kejutan yang akan membawa kepada tahap kemuncak – setelah beberapa tahap puncak yang kelak akan membawa kepada tahap peleraian cerita. Cerita juga bagi memperlihatkan perkembangan sebagai implikasi dari `tabiat buruk` saudara-saudara Yusuf yang mereka terpaksa tanggung kepada tahap puncak. Peleraian cerita merupakan `happy ending` bagi keluarga Yusuf.
Pemergian saudara-saudara Yusuf membuktikan
kepada pembesar Mesir (Yusuf), bahawa permintaan Yusuf ditunaikan dan arahan
bapa mereka juga dapat ditunaikan dengan baik dan segalanya berjalan lancar,
tetapi cerita, dihidupkan lagi dengan
`kejutan`, di luar jangkaan saudara-saudara Yusuf dan memberi implikasi
yang berat kepada mereka. Tindakan Yusuf menahan Bunyamin di samping
mengejutkan saudara-saudara Yusuf juga menyerlahkan kebijaksanaan Yusuf di
dalam merangka tektik bagi membuka ruang pertemuannya dengan bapanya Ya`kub dan
bagi jalan cerita ianya merupukan penggunaan elemen kejutan yang di luar dari
jangkaan biasa, tetapi wajar.
Setelah kafilah rombongan saudara-saudara
Yusuf tiba, mereka diterima berurusan pembelian dan pertukaran barang-barang
dan sebelum mereka pulang dimasukkan (dengan arahan Yusuf) alat sukatan ke
dalam karung barangan Bunyamin, tetapi sebaik mereka hendak bertolak pulang
diadakan pemeriksaan sebelum bertolak, lalu alat sukatan yang berada di dalam
karung Bunyamin dijadikan bukti bagi penahanan Bunyamin yang dianggap mencuri. Saudara-saudara
Yusuf diberitahu tentang kes yang dihadapi Bunyamin. Mereka merayu dengan penuh
harapan dan rela salah seorang daripada mereka menggantikan sebagai tahanan
bagi tempat Bunyamin dengan menyatakan kebimbangan akan memberi kesan emosi
terhadap orang tuanya Ya`kob, tetapi rayuan mereka ditolak dan menegaskan bahan
yang didapati dalam karung seseorang maka dialah yang menanggung kesalahan. Kes
ini diambil kesempatan dijadikan alasan oleh saudara-saudara Yusuf memburukkan
Yusuf secara dusta. Ayat Al-Qur`an menyebutkan bermaksud:
``Mereka berkata, ``Kalau dia (Bunyamin)
mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah
juga mencuri dahulu, (mendengar kata-kata yang menyinggung itu), maka Yusuf pun
menyembunyikan perasaannya, tidak menyatakan kepada mereka, sambil berkata (di
dalam hati), kamulah yang lebih buruk keadaannya dan Allah Amat Menmgetahui
akan apa yang kamu katakan itu.`` (12.77).
Walaupun dalam masa rundingan sedang berjalan,
sepatutnya mereka bersatu dan tidak bercanggah dari segi cakap, tapi jelas
kelihatan tabiat keji yang bersarang pada diri saudara-saudara Yusuf
berterusan. Mereka sanggup menyatakan, bahawa saudara Bunyamin (Yusuf)
dikatakan secara dusta juga pernah mencuri. Tuduhan ini boleh membangkitkan
kemarahan Yusuf yang berhedapan dengan mereka (tidak dikenali), tetapi
dipendamkan.
Peristiwa ini menimbulkan ketegangan di
kalangan saudara-saudara Yusuf. Mereka tidak sanggup untuk pulang tanpa
Bunyamin. Mereka teringat kepada janji dan sumpah mereka di hadapan bapa mereka
bahawa mereka akan menjaga keselamatan Bunyamin sebaik-baik jagaan. Tanpa disangka isu `tuduhan mencuri` terhadap
Bunyamin menjadikan mereka kelam kabut. Antara mereka ada yang bertekad tidak
akan pulang selagi Bunyamin tidak dilepaskan. Tetapi akhirnya mereka diminta
pulang (12.81) dalam keadaan yang amat gusar dan tidak tau bagaimana mereka
hendak menyampaikan berita yang merupakan pukulan kedua terhadap Ya`kub,
selepas kehilangan Yusuf dan kini berita yang menambahkan kedukaan dengan
ketiadaan Bunyamin. Adapun Bunyamin yang `ditahan` telah dimaklumkan
kepadanya oleh Yusuf yang dirinya adalah
Yusuf, saudara kandungnya. Beliau tenang dan sukacita berada bersama-sama
dengannya.
Kerisauan dan kedukaan yang dialami oleh
saudara-saudara Yusuf dari satu segi dapat dilihat sebagai kaffarah yang
ditanggung oleh saudsara-saudara Yusuf, di atas kesalahan-kesalahan yang mereka
lakukan terhadap Yusuf dan bapa mereka Ya`kub. Kesalahan mereka yang
mencampakkan Yusuf ke dalam kegelapan telaga hingga Yusuf diselamat dan dijual
sebagai seorang hamba abdi. Pada peringkat akhir juga sifat mazmumah masih
bersaranng dihati mereka dengan terkeluarnya tuduhan dusta terhadap Yusuf,
bahawa dia juga pernah mencuri. Kesalahan mereka terhadap bapa mereka, ialah
pendustaan berlapis terhadap bapa mereka, dengan menyembunyikan perancangan
jahat mereka konon untuk membawa Yusuf bersama untuk berkelah, tetapi bertujuan
untuk membuang Yusuf, juga pendustaan mereka yang menyatakan Yusuf dimakan
serigala dengan membawa bukti bajunya yang berlumuran `darah dusta`, yang baju
berkenaan tidak ada koyak dan rosak.
Implikasi dusta sebenarnya amat besar, bahkan
kisah Nabi Yusuf ini berpunca dari kedustaan saudara-saudara Yusuf terhadap
bapanya dan siri dusta yang lain (termasuk dusta Zulaikha terhadap Yusuf) yang memberi implikasi kepada perkembangan
penceritaan dan akibat-akibatnya
terhadap Nabi Yusuf dan Ya`kub. Dapatlah dikatakan apa yang ditanggung
oleh saudara-saudara Yusuf akibat dari pendustaan mereka adalah merupakan balasan
awal yang mereka terpaksa tanggung. Balasan pada peringkat permulaan adalah
bersifat penderaan mental, jiwa dan fizikal. Mereka kembali bukan dengan berat
barang dagangan, tetapi berat persoalan yang mereka akan hadapi bila berdepan
dengan bapa mereka Ya`kub. Tatkala berita dukacita disampaikan kepada bapa
mereka Nabi Ya`kub, kata Al-Qur`an bermaksud:
``(setelah mereka kembali dan menyampaikan hal
itu kepada bapa mereka), berkatalah ia, (tidaklah benar apa yang kamu katakan
itu), bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara
(yang kamu rancangkan), jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya,
mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dialah
Yang Amat Mengetahui, lagi Amat Bijaksana (12.83).
Sesungguhnya akibat dari menerima berita yang
mendukacitakan itu, Nabi Ya`kub berada di dalam duka dan tangis hingga
menjadikan rabun matanya. Saudara-saudara Yusuf turut kesal di atas tragidi
yang berlaku kepada Nabi Ya`kub yang menjadikannya merana, tetapi kepada
anak-anaknya Nabi Ya`kub berkata, sebagaimana yang terakam di dalam Al-Qur`an
bermaksud:
``(Nabi Yakub) menjawab, ``Sesungguhnya aku hanyalah
mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah, dan aku mengetahui (dengan
perantaraan wahyu) dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya.`` (12.86).
Sekian.
No comments:
Post a Comment