October 28, 2015

Dari Ibrahim A.S. Kepada Muhammad S.A.W. Takmilah Islam


BBB,  14 Muharram 1437 = 27  Oktober 2015 (Selasa):


Era penting ialah antara zaman Nabi Ibrahim a.s. kepada zaman Muhammad Rasulullah s.a.w.  Mengapa dikatakan bahawa era penting ialah kerana:
1)      Ibrahim diibaratkan ninda kepada kerasulan beberapa rasul penting yang kemudian dikenali sebagai agama seperti Yahudi, Kristian dan Islam.
2)      Cabaran terhadap aqidah tauhid yang bermula dari zaman Nabi Ibrahim sebagai agama Hanif
3)      Kemampuan memimpin dalam membina tamadun dan peradaban manusia.
Nabi Ibrahim adalah nabi dan Rasul Besar yang dari belahan turunannya melahirkan Nabi Ishaq, Ya`kub, Yusuf dan seterusnya melahirkan agama Yahudi yang dikuti dengan agama Kristian.
Persoalan dengan kaum Yahudi dan agamanya ialah persoalan `Sikap`. Dalam sejarah dilihat bahawa kaum Yahudi jika pun tidaklah begitu istimewa, tetapi banyak diberi pertolongan oleh Allah seperti melepas dari Fir`aun yang sejak dari kecil mau membunuhnya, kerana menurut ta`bir mimpi akan menggugat pemerintahan Fir`aun dan Musa terlepas (Al-Baqarah: 49).  Musa juga selamat melarikan diri dari Mesir kerana ada ancaman untuk membunuhnya. Beliau tiba ke Madyan. Dia menolong dua anak perempuan mendapatkan air dari perigi. Keduanya anak Nabi Shu`ayb. Musa bekerja menternak kambing dan bertani bersama keluarga Shuayb dan beliau menjadi menantu kepada Shuayyb dengan mengahwini salah seorang daripada anak Nabi Shu`ayb tersebut (Al-Qasas: 22-28). Musa dilantik menjadi Rasul dan berdakwah kepada agama Allah. Beliau ke Mesir bersama isterinya menentang sikap kufur Fir`aun yang mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Di istana Raja Fir`un beliau mengalahkan tukang sihir Fir`aun (Taha: 57-73). Kemenangan Nabi Musa diimani oleh sebahagian pembesar-pembesar, menyebabkan Fir`aun merka. Pengikut-pengikut Musa telah dikejar tentera-tentera Fir`aun dan Musa dan pengikut-pengikut menyeberangi laut dan diikuti tentera-tentera Fir`aun yang kemudian tentera Firaun tenggelam dalam lautan (Al-Baqarah: 50).
Nabi Musa menumpukan tugasnya bersama saudaranya Harun mendakwah masyarakat kepada agama Allah.  Nabi Musa menerima wahyu di Bukit Tursina dan berdepan dengan kekufuran kaumnya yang angkuh yang menyembah patung anak lembu yang disesatkan oleh Samiri. Di Padang pasir kaum Musa bersikap angkuh dan tidak mau menurut perintah ke Baitul Maqdis. Mereka berada di padang pasir itu semala 40 tahun, namun Allah menyelamatkan mereka dari kelaparan dengan makanan `al-manna dan salwa`   (Al-Baqarah: 57). Mereka juga bersikap tidak bersyukur dengan makanan yang dikurniakan dengan memohon berbagai makanan yang lain. Sikap mereka dimurkai Allah (Al-Baqarah: 61). Bila mereka diberi peluang menangkap ikan, dan melarang dari bekerja pada hari Sabtu mereka juga melanggari larangan dan mendapat balasan siksaan dari Allah. Apabila mereka diminta menyembelih lembu bagi membuktikan siapa pembunuh bagi seorang yang mati, mereka juga berdolak dalik sehingga sukar mendapat lembu yang dimaksudkan (Al-Baqarah: 67-73).
Demikianlah sikap angkuh, kufur dan tidak bersyukur terhadap Allah yang banyak menolong mereka yang diperhambakan antaranya oleh raja Fir`aun,  umat Israil juga tidak mengikut dakwah yang dibawa Nabi Musa. Sikap ini terbawa-bawa oleh kaum Israil hingga kini yang bersikap angkuh bukan saja terhadap sesama turunan semitik, tetapi juga dalam hubungan antarabangsa. Mereka hingga kini bukan saja angkuh, tetapi juga kejam dan merampas tanah air negara jiran. Lantaran itu tiada kerjasama kebanyakan negara dengan Israil. Mereka berkuasa sebenarnya hasil dari konspirasi negara-negara besar bagi mewujudkan `suasana tidak stabil` di Asia Barat.
Berhubung dengan Nabi Isa, ialah lebih kepada persoalan aqidah. Nabi Isa anak Maryam bt. Imran yang dilahirkan tanpa bapa (lahir 622 sebelum Hijrah). Maryam dipelihara Nabi Zakaria sejak kecil. Setelah dewasa   Isa dibangkitkan menjadi Rasul dengan dokongan sahabat-sahabat yang dikenali sebagai Hawariyyun. Tetapi antara sahabat-sahabat Nabi Isa ini ada yang murtad bernama `Yahuza` dan terdapat pengikut-pengikutnya. Murid Nabi Isa yang murtad itulah yang mengepalai rancangan menangkap Nabi Isa untuk dibunuhnya. Tetapi orang munafik ini sebenarnya yang tertangkap. Pembunuhan tidak berlaku terhadap Nabi Isa, sebaliknya ianya diangkat Allah ke sisinya. Di dalam hal ini Allah berfirman bermaksud:
``Adapun orang-orang durhaka itu tidaklah mereka membunuh dan menyalib Isa, hanya orang yang diserupakan Allah dengan Isa a.s. lah yang tersalib.`` (Al-Nisa`: 157).  
Kedudukan Isa dan `peristiwa pembunuhan terhadapnya`  memberi implikasi serius terhadap aqidah yang membawa kepada pendapat Isa sebagai `Anak Tuhan` atau salah satu dari tiga uknum ketuhanan. Pegangan ini walaupun dihurai secara transendance tidak dapat diterima akal rasional.
Hikmat diutus Nabi Muhammad s.a.w. bagi menyempurkan aqidah tauhid, bahawa Allah Yang Tunggal hanya adalah Tuhan. Aqidah yang kukuh ini disempurnakan lagi dengan `Pandangan Wujud`  keislaman dari berbagai-bagai aspek. Islam disempurnakan dengan syariat dan nilai akhlak. Ianya agama universal dan tidak terhad kepada satu-satu kaum tertentu. Islam mentakmilahkan keseluruhan. Firman Allah bermaksud:
``Pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu dan Aku lengkapkan nikmatku ke atas kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama kamu.`` (Al-Ma`idah: 3).
Kesempurnaan Islam ini hendaklah dilengkapkan oleh umat dari segi tamadun dan peradaban yang dapat mengalah dan menundukkan musuh.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 

No comments:

Post a Comment