October 25, 2015

Kalimah Tayyibah Dan Baldah Tayyibah


BBB, 11 Muharram 1437 = 24 Oktober 2015 (Sabtu):


Di dalam Surah Ibrahim terdapat ayat yang  menyebut tentang `Kalimah Tayyibah` dan lawan baginya, iaitu `Kalimah Khabithah`. Ayat tersebut bermaksud:
``Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad), bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu `Kalimah Yang Baik` adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (tunjangnya) tetap teguh dan puncak dahannya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan-perbandingan itu untuk manusia supaya mereka beringat (mendapat pengajaran) - (14.24-25).
Di sebalik dari perbandingan pohon yang baik, maka Allah juga membuat perbandingan di sebaliknya bermaksud:
``Dan perbandingan `Kalimah Yang Jahat` (buruk) samalah seperti sebatang pokok yang tidak berguna yang mudah terbungkas akar-akarnya dari muka bumi. Tidak ada baginya tapak untuk tetap hidup. Allah menetapkan  (pendirian) orang-0rang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat. Dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri). Dan Allah Berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.`` (14. 26-27).
Ahli tafsir memaksudkan bahawa  maksud `Kalimah Tayyibah` ialah `Kalimah al-Islam` ``La ilaha illa Allah` dan setiap apa yang menunjukkan kebenaran (haqq). Kebaikan (khayr) dan fadilah (kelebihan). Manakala `Kalimah Khabithah`, ialah `Kalimah Kufur` dan setiap yang mendorong kepada kejahatan dan kemudaratan. (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz. Dar al-Fikr, Damsyiq, Suriah, 1431H. 259-260.) Juga: ( Abdullah Yusuf Ali, Al-Qur`anu`l-Karim, Jil. 3,  Terjemahan Dan Huraian Maksud oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady, Dewan Bahasa dan Pusataka, Kuala Lumpur, 1993: 1186).
Kalimah Tayyibah dan juga bermaksud perkara-perkara yang baik sesuai diaplikasikan kepada negara yang baik (Baldah Tayyibah) yang pemerintahnya berusaha mewujudkan berbagai kebaikan bagi rakyatnya.
Di dalam Surah Ibrahim terdapat ungkapan doa Nabi Allah Ibrahim kepada Allah bermaksud:
``Dan (ingatkanlah), tatkala Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata, ``Wahai Tuhanku jadikanlah Negeri Makkah ini Negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.`` (14.35).
Di samping itu Nabi Allah Ibrahim juga memohon dari Allah agar tidak  menjadikan penghuninya dalam kesesatan, menjadikan mereka mendirikan solat, makmur dan melempah ruah dengan rezeki dan menjadikan Makkah destinasi yang terus dikunjungi (bagi beribadat) (14.36-37).
Kalimah Tayyibah yang bermaksud sebagai Kalimah al-Islam `Lailaha illa Allah` adalah prinsip utama bagi Negara yang diingini oleh Nabi Ibrahim, khususnya terhadap Makkah dan juga prinsip bernegara Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., iaitu Makkah dan juga Madinah yang kandungan Al-Qur`an adalah sebagai perlembagaannya.
Rangka bagi `Negara Islam` yang dido`akan oleh Nabi Ibarhim a.s. dan juga bagi Rasulullah s.a.w. sebagaimana prinsip dan bidang-bidang yang diberi tumpuan bagi negara Islam dapat dirajahkan sebagaimana berikut:
Lihat Rajah:
Dari rajah di atas dapat difahami bahawa, ``Kalimah Tayyibah` adalah prinsip bernegara. Negara yang rakyatnya berkeyakinan dengan Allah yang bersifat tauhid dan dengan sifat kesempurnaan. Ia adalah puncak pegangan dan keyakinan – juga keyakinan terhadap Rasulullah.
Negara yang mau ditegakkan ialah negara aman dan makmur (14.35 & 37). Juga diperkukuhkan ayat-ayat Al-Qur`an yang lain antaranya bermaksud:
``Baldah yang baik dan diampuni Tuhan (Saba`: 15). Juga Al-Balad al-Amin (Al-Tin: 3).
Rasulullah bukan semata sebagai Rasul dan menjadi perantaraan tetapi diri baginda, pimpinan, akhlak bahkan sabdaan Baginda menjadi contoh dan panduan terutama di dalam pentadbiran dan pemerintahan, khususnya di negara Madinah (semasa hayat Baginda).
Dalam pemerintahan antara aspek penting yang dipraktikkan mematuhi perintah Allah dengan berhukum dengan hukumannya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
``Siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka tergolong dari kalangan mereka yang zalim `` (Al-Ma`idah: 45).
Di dalam bernegara dan memerintah aspek keadilan amat ditekankan. Firman Allah bermaksud:
``Aku disuruh melakukan keadilan di kalangan kamu (Al-Shura: 50). Juga ayat bermaksud:
``Hendaklah berlaku adil, kerana ia lebih dekat dengan taqwa (Al-Ma`idah: 8).
Perlu memberi perhatian dari segi keamanan. Firman Allah bermaksud:
``Dan ini negeri yang aman (Makkah) – (Al-Tin:3).
Pemerintah pula berusaha menjadikan negara makmur. Maksud ayat Al-Qur`an:
``Dan negeri yang baik (tanahnya), tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah (Al-A`raf: 58).
Negara pulu mementingkan ilmu bagi mendidik masyarakat supaya mereka tidak berada di dalam keadaan jahil. Firman Allah bermaksud:
``Allah mengangkat mereka yang beriman dan mereka yang diberi ilmu pengetahuan kepada darajat-darajat yang lebih tinggi``. (Al-Mujadalah: 11).
Juga memberi perhatian terhadap kebajikan masyarakat dengan menyediakan kemudahan seperti peluang pekerjaan seperti bertani untuk mendapat rezeki. Firman Allah bermaksud:
``Wahai manusia kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada kamu, tidak ada sama sekali yang menjadikan sesuatu selain daripada Allah. Ia memberi rezeki kepada kamu daripada langit dan bumi, tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahNya ?).
Bagi sebuah negara perlu menyediakan pertahanan agar tidak dicerobohi musuh. Firman Allah bermaksud:
``Bersiapsiagalah dengan segala kemampuan kamu dari kekuatan (menentang musuh)`` – (Al-Anfal: 60).
Juga menjaga ekonomi negara agar negara tidak terjatuh ke dalam kemiskinan dan muflis. Firman Allah bermaksud:
``Yusuf berkata, ``Jadikanlah daku Pengurus Perbendaharaan hasil bumi (Mesir). Sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.`` (Yusuf: 55).
Dan sebarang pemerintah hendaklah mementingkan perpaduan rakyat, agar tidak berlaku huruhara yang memasalahkan dari segi pemerintahan. Firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya orang Islam itu bersaudara, maka hendaklah berbuat baik antara saudara kamu (Al-Hujurat:10 ). Juga ayat bermaksud:
``Wahai manusia kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berbaik-baik dan berkenalan (Al-Hujurat: 13).
Demikianlah dengan bidang-bidang yang lain yang diperlukan di dalam pentadbiran sesebuah negara.
Sebagai kesimpulan visi dan misi Nabi Allah Ibrahim yang inginkan (berdoa kepada Allah) Makkah menjadi negeri aman dan makmur dan terus diziarahi adalah tercapai, dan Rasulullah Muhammad s.a.w. meletakkan asas negara Madinah sebagai model negara Islam juga turut tercapai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment