October 1, 2015

Yusuf Dilantik Pengurus Perbendaharaan - Perwatakan


BBB,  16 Zulhijah 1436 = 30 September 2015 (Rabu):



Berikut dari pembersihan nama Yusuf, Raja Mesir telah menjemput Yusuf ke istana bagi membincangkan persaoalan yang berhubung dengan masa depan negara, khususnya yang berkait dengan kemungkinan berlaku kegawatan dari hasil tanaman negeri Mesir yang dijangka akan  mengalami kemarau panjang, selepas zaman subur dengan penghasilan. Ayat Al-Qur`an merakamkan maksud sedemikian:
``Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), Raja berkata, ``Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya``. (Setelah Yusuf dibawa mengadap dan Raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya), berkatalah Raja (kepadanya), ``Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi diupercayai di kalangan kami.`` (12.54).
Raja bersama pegawai-pegawainya merupakan kalangan yang berpengetahuan dan mengetahui tentang perwatakan Yusuf dan darinya dapat dinilai dari segi kebijaksanaan dan kejujuran yang dapat dibaca. Sebagaimana telah disebut di dalam budaya masyarakat Islam, terdapat satu kaedah menilai watak seseorang yang dikenali dengan qiafah dan firasat yang dilihat dari perwatakan dan pertanda-pertanda dari seseorang dan ditafsirkan. Kaedah sedemikian terdapat juga di dalam keilmuan moden yang menggunakan kaedah psikologi bersama-sama ujian tertentu. Bagi Nabi Yusuf sudah tentulah wataknya terserlah positif ditambah dengan sifat amanah dan kebijaksanaan.
Walau bagaimana di dalam `Kisah Nabi Yusuf` ini, kita dapati bahawa jalan ceritanya lebih dihidupkan dengan peristiwa-peristiwa secara kronologi secara berikut:
1)       Mimpi Yusuf dan angkara adik beradik terhadapnya.
2)      Yusuf diturunkan ke dasar perigi.
3)      Yusuf diselamat oleh pedagang yang mencari air.
4)      Yusuf dijual kepada Al-Aziz pembesar Mesir
5)      Yusuf menjadi anak angkat kepada Al-Aziz dan isterinya Zulaikha
6)      Zulaikha kalah mengawal dirinya terhadap Yusuf dan terserempak dengan Al-Aziz.
7)      Yusuf merelakan dirinya dipenjara
8)      Yusuf menta`bir mimpi dua watak yang sama di penjara
9)      Ta`bir mimpi Yusuf terhadap mimpi pekerja dan Raja
10)   Pengakuan salah Zulaikha dan mengakui kebersihan Yusuf
Di atas adalah merupakan episod-episod dalam cerita yang di dalamnya plot-plot cerita yang bersifat kronologi. Peristiwa-peristiwa ini membina cerita.
Kalau dilihat bahawa tiap peristiwa yang dirakamkan adalah diungkap dalam bahasa yang padat dan ringkas (ijaz), namun dapat ditangkap maksud-maksud, maka tugas pentafsir mentafsirkan terhadap setiap peristiwa yang dirakamkan.
Perlu ditarik perhatian, bahawa di dalam cerita perlu ada watak-watak yang melakukan aksi yang menghidupkan peristiwa dan cerita itu sendiri.
Perlu disebutkan juga di dalam `Kisah Nabi Yusuf` ini. Gambaran tentang watak amat terhad. Selain dari Yusuf yang dapat ditanggapi tentang wataknya sejak dari kecil hinggalah ke istana, dapat kita lihat, fahami dan membina imej dan wataknya dalam tanggapan kita sebagai seorang watak yang tampan, cantik, amat dikasihi keluarga, jujur, gigih menghadapi berbagai ujian dan berdakwah kepada kebaikan sesuai dengan rangka pembinaan nubuwwahnya.
Adapun begitu banyak watak-watak utama, sederhana dan sampingan tidak diberi gambaran yang memperjelaskan watak-watak berkenaan. Kita dipertemukan dengan watak-watak utama (selain daripada Yusuf) seperti Raja Mesir. Raja tersebut tidak diberi gambaran adakah dia seorang fir`aun yang memerintah Mesir. Kita dapat menangkap wataknya Raja adalah seorang yang baik dan sanggup duduk dan berbincang dengan rakyat, bahkan membuat keputusan melantik Yusuf ke jawatan penting Negara. Al-Aziz tidak diberi gambaran jelas tentang perwatakannya. Bahkan Al-Aziz bermaksud panggilan kehormat `Tuan` kepada pegawai, bukan nama sebenar. Wataknya sebagai seorang yang lembut dan dapat mengawal diri, walaupun dalam keadaan yang sepatutnya dia bertindak marah bila bertembung dengan isterinya dengan Yusuf. Manakala Zulaikha tidak digambarkan sifat fizikalnya, tetapi difahami dari tingkah lakunya yang tidak dapat mengawal kemahuan diri (nafsunya).
Selain dari watak-watak utama, maka lebih-lebih lagi watak-watak sederhana tidak diberi gambaran lengkap seperti adik beradik Yusuf, dua pekerja yang sama dalam penjara, perempuan-perempuan yang luka tangan ketika mengupas buah-buahan.
(Dalam perkembangan cerita akan melibatkan dua watak utama, iaitu Nabi Ya`kub dan adik Bungsu Yusuf -  Bunyamin}.
Dapatlah diambil kesimpulan bahawa, watak-watak yang lain dari Yusuf adalah merupakan watak-watak sampingan yang membantu menghidupkan jalan cerita dan mereka tidak perlu digambarkan sebagai watak yang lengkap, cukup bagi membantu kefahaman. Ini selari dengan gambaran peristiwa yang diungkapkan secara ringkas dan padat. Terpulang kepada peranan pentafsir yang mentafsirkan kandungan ayat-ayat Al-Qur`an berkenaan berdasarkan fakta, sejarah dan keilmuan yang berkaitan.
Yusuf diberi perhatian dan keutamaan, lantaran beliaulah menjadi watak dan tema bagi perkembangan penceritaan. Watak Yusuf dan penceritaan berkenaan dengannya bukan sekadar membina cerita, tetapi lebih mementingkan mesej sebagai satu watak sempurna, jujur, cerdas, berilmu dan berkemampuan menjalankan tugas, sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahau Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami`` (12.54)
Dan Yusuf dipersetujui memegang jawatan sebagai Pengurus Jabatan Perbendaharaan Negara (Bahagian Hasil Bumi) . Iaitu satu tugas yang penting yang mengendali ekonomi negara.
Ayat Al-Qur`an menerangkan tentang status Yusuf, bermaksud:
``Dan demikianlah caranya, kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir. Sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya (12.55).
Dengan demikian Yusuf mencapai status seorang berkedudukan, diberi kuasa mentadbir dan berhak mendapat keistimewaan sebagai penduduk Mesir. Dia mencurahkan kesetiaan sebagai warga Negara Mesir dan berusaha memajukan ekonomi dan negara tersebut (12.56)
Dari segi perkembangan cerita, dapat dikatakan ia merupakan jalan bagi menuju puncak perkembangan cerita dalam rangka Takmilah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment