BBB, 15 Zulhijjah 1436 = 29 September 2015
(Selasa):
Utusan yang dihantar oleh pihak istana bagi menemui Yusuf kembali dengan `Ta`wilan Nyata`. Apabila Raja diberi taklimat berhubung dengan ta`wilan mimpi Baginda, dan didapati kewajaran ketara terhadap mimpi Baginda. Sedang kandungan ta`wilan melibatkan persoalan masa depan negara dan rakyat, maka Baginda memerintah pegawai-pegawainya menjemput Yusuf ke istana, bagi membincangkan lebih lanjut berhubung dengan kandungan ta`wilan mimpi dan apakah cadangan dan tindakan yang patut diambil bagi jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi implikasi yang akan terjadi.
Bagi Yusuf beliau tidak bermasalah dari segi
mengadap Raja dan membincangkan dari segi kandungan ta`wilan, tetapi walaupun
isu Zulaikha, sudah beberapa tahun
berlalu dibimbangi masih diperkatakan dan lebih daripada itu, beliau tidak mau
dirinya dianggap turut bersalah. Sebagaimana pelayan yang menyediakan roti
diraja dibersihkan dari tuduhan dan bebas bergerak, maka beliau mau dirinya
dibebaskan dari kaitan dengan Zulaikha. Selama ini isu ini tidak dibawa kemuka
pengadilan dan pembicaraan yang memutuskan siapakah yang sebenar pencetus
angkara dan melakukan kesalahan. Beliau mau keputusan `clear cut` agar beliau
dapat membersihkan namanya.
Lantaran itu sebagai syarat Yusuf telah
memberitahu kepada wakil Diraja, sebagaimana yang terakam di dalam ayat
Al-Qur`an bermaksud:
``Dan (apabila mendengar ta`bir itu),
berkatalah Raja Mesir, ``Bawalah dia kepadaku,``. Maka tatkala utusan Raja
datang kepada Yusuf, (menjemput mengadap Raja), Yusuf berkata kepadanya,
``Kembalilah kepada Tuanmu dan bertanyalah kepadanya, ``Apa halnya
perempuan-perempuan yang telah melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku
Amat Mengetahui akan tipu daya mereka.`` (12.50).
Menurut tafsiran oleh Abdullah bin Muhammad
Basmih, bahawa tujuan pertanyaan yang diajukan oleh Yusuf kepada perutusan
Diraja, bahawa Yusuf maukan `Isu Zulaikha` yang dituduh kepadanya seolah-olah
beliau terlibat sehingga terpaksa berada di penjara bertahun-tahun lamanya
perlulah disiasat dan keputusan pengadilan perlulah dibuat terlebih dahulu
sebelum beliau keluar. Beliau tidak mau kehadiran beliau di dalam majlis dan di
hadapan mata pegawai-pegawai dan orang awam sebagai orang yang dianggap
bersalah dan berstatus `banduan`. Sebelum ini isu berkenaan hanya berada pada
peringkat pegawai dan tidak sampai kepada tindakan rasmi. Yang diharap bahawa
isu itu akan padam dengan kelamaan masa.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian
Al-Qur`an, diusahakan oleh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana
Menteri, Bahagian Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: 447).
Pihak istana nampaknya akur dengan kehendak
Yusuf dan pembicaraan secara rasmi diatur dengan pihak terlibat, khususnya
Zulaikha dan perempuan-perempuan isteri-isteri pembesar-pembesar yang telah
hadir di dalam jamuan makan dan mengupas buah-buahan dengan pisau hingga
terluka jari-jari mereka.
Sebagai rumusan dari pembicaraan Al-Qur`an
merakamkan bermaksud:
``(Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil),
Raja bertanya (kepada mereka), ``Apa hal kamu semasa kamu memujuk Yusuf
mengenai dirinya ?`` Mereka menjawab,, ``Jauhnya Allah dari cacat cela ! Kami
tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadapnya. Isteri Al-Aziz (Zulaikha) pun
berkata, ``Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi). Akulah
yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, (tetapi dia telah menolak), dan
sesungguhnya dia adalah dari orang-orang yang benar.`` (12.51).
Dengan pengakuan salah Zulaikha secara rasmi
dalam pembicaraan Diraja menjelaskan kebenaran dan kebersihan Yusuf dari
sebarang kesalahan, walaupun dia telah digoda oleh Zulaikha dan
perempuan-perempuan yang lain yang bersyubhat dengannya. (Tafsir Al-Rahman
Kepada Pengertian Al-Qur`an. Ibid.).
Yusuf juga amat memberi penekanan terhadap
kepercyaan bapa angkatnya, iaitu Al-`Aziz, beliau juga mau tujukan keputusan secara ikhlas terhadap bapa angkatnya yang
memberi kepercayaan penuh terhadapnya. Beliau terpaksa mengalami kesusahan yang
sepatutnya tidak terjadi terhadap beliau sebagaimana dirakam oleh Al-Qur`an
bermaksud:
``Yang demikian, supaya ia mengetahui, bahawa
aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir. Dan bahawa Allah tidak
menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.``(12.52).
Beberapa maksud ditafsirkan terhadap ayat ini.
Antara maksud, iailah seperti di atas, dimaksudkan bila Yusuf dimaklumkan
dengan keputusan pembicaraan ia mengucapkan sedemikian yang ditujukan kepada
bapa angkatnya yang memberi sepenuh kepercayaan terhadapnya dan ia sememangnya
tidak pernah mengkhianati kepercayaan tersebut.
Juga dengan maksud pengakuan Zulaikha di atas
kesalahannya yang bersifat penggoda mengaku kekhilapan dan ia menegaskan bahawa
Yusuf adalah pihak yang benar dan bersih, bahawa Yusuf tidak mengkhianat dan
pengakuan Zulaikha adalah bagi membersihkan Yusuf.
Juga ditafsirkan pengakuan Zulaikha juga
dimaksudkan dituju kepada suaminya `Al-Aziz`, ia menegaskan bahawa Yusuf adalah
sebenarnya bersih, dialah yang bersalah menggoda Yusuf yang menolak godaan
tersebut.
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an,
hlm. 448).
Kisah Yusuf-Zulaikha ini merupakan
satu-satunya cerita bertemakan `Cinta Wanita Terhadap Jejaka` yang digambarkan
secara intim, tetapi terkawal. Dengan pengakuan Zulaikha di dalam pembicaraan
Diraja, maka selesailah episod `Kisah Yusuf-Zulaikha` yang dari satu segi
memperlihatkan pertarungan antara nafsu ammarah dan mutmainnah yang
melambangkan sifat syaitan (ammarah) yang selalu menggoda insan yang sebenarnya
sejak Nabi Adam a.s. lagi. Kisah Nabi Yusuf ini adalah menjadi contoh teladan
yang patut diambil, bahawa perjuangan antara jahat dan baik adalah menjadi
lumrah di dalam kehidupan. Bahawa diri seharusnya selalu dididk bagi membina
benteng diri yang kukuh di dalam menghadapi pancaroba kehidupan yang seharusnya
menjauhi dari sifat kesyaitanan dan menghiasi diri dengan sifat kebaikan.
Cerita
Nabi Yusuf ini juga adalah dalam rangka dakwah dirinya terhadap
masyarakat dalam misi nubuwwahnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment