BBB, 10 Zulhijjah 1436 = 24 September 2015
(Khamis):
Episod kedua yang menjadi tanda tanya ialah, apakah yang terjadi terhadap Yusuf selepas ianya ditinggalkan oleh saudara-saudaranya di dasar perigi (telaga). Dia berada di dalam kegelapan dan bagi Yusuf yang tidak pernah mengalami kesusahan tentulah ini merupakan ujian pahit yang dialami. Dia tidak menyangka saudara-saudaranya yang dikasihi sanggup melakukan tindakan demikian rupa terhadap dirinya. Dia mengingati orang tuanya – Ya`kub bapanya yang enggan melepaskan dirinya untuk bersama dengan saudara-saudaranya. Sekarang dia mengerti, mengapa orang tuanya tidak senang dengan pemergiannya bersama mereka ke tempat itu. Sekarang dia lebih mengerti erti kepayahan dan kelaparan yang kini dia menyambung hayat dari air perigi di mana dia ditinggalkan. Namun ia tetap berdoa kepada Allah semoga ia diselamatkan.
Kawasan telaga di situ adalah merupakan
pinggiran lalu lalang bagi musafir, khususnya peniaga-peniaga antara Negeri
Kan`an dan Negeri Mesir. Atas kejujuran Yusuf dan menajatnya kepada Allah perigi
berkenaan didatangi para musafir dan kalangan peniaga apabila keputusan air. Di
tengah doa dan harap Yusuf, juga orang Tuanya yang terus bersedih dan juga
berdoa bagi keselamatnnya, perigi dikunjungi oleh rombongan pedagang ke Mesir
dan antara mereka ditugaskan untuk mendapatkan air di perigi berkenaan.
Mula-mula dari jauh kedengaran suara yang kemudian makin mendekat. Yusuf
mengharap ianya suara baik yang akan menolongnya dan bukan sebaliknya. Tiba-tiba
dia mendengar timba dihulurkan ke dalam
telaga. Yusuf bersuara, `` Adakah tuan musafir untuk mendapat air ?``. sambil ia memegang erat tali timba yang
dihulurkan dan mengharapkan pengembara itu akan menariknya ke atas bagi
menyelamatkannya. Episod ini digambarkan oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Dan (semasa Yusuf dalam perigi), datanglah
ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan
(lalu), mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka, (setelah sampai ke
perigi itu), iapun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf
bergantung pada timbanya ia berseru, ``Hai (ini) sungguh menggembirakan. Ini
seorang budak lelaki - yang cantik parasnya ! ``. (Setelah mengetahui hai itu,
saudara peniaga-peniaga pun datang), serta mereeka menyembunyikan keadaan Yusuf
yang sebearnya untuk dijadikan barang perniagaan. Dan Allah Amat Mengetahui
akan apa yang mereka lakukan (12.20).
Dapatlah difahami sitiwasi masyarakat pada
zaman tradisi, bahkan sejak zaman dahulu sistem perhambaan telah wujud, bahkan
mereka menjadi sebahagian dari bahan dagangan yang antaranya boleh dijualbeli
di pasar-pasar. Bila Islam datang sistem ini cuba dihapuskan dengan cara
berperingkat dan menggalakkan umat Islam
membebaskan mereka secara berperingkat-peringkat. Yusuf yang dibawa oleh
kumpulan peniaga-peniaga ke Mesir dan dijadikan barang dagangan di pasar di
Mesir. Al-Qur`an dalam hal ini mencatat:
``Dan (setelah berlaku perundingan ! ) Mereka
menjualnya dengan harga yang murah, beberapa dirham sahaja bilangannya. Dan
mereka adalah dari orang-orang tidak menghargainya). (12.20).
Seorang Yusuf yang begitu tampan, tidak
dinilai dan dihargai. Kepada kakitangan dalam rombongan perniagaan, apa yang
difikirkan ialah perniagaan dan keuntungan. Yusuf dijadikan bahan komoditi perniagaan.
Yusuf merupakan anak baik dari keturunan
keluarga yang baik terjatuh dalam tipu helah saudara-saudaranya. Sebagai
individu yang tidak berdosa bersikap dan
berniat baik, terlepas beliau dari sebarang mara bahaya dan diselamatkan walau pun oleh orang yang mau menjadikannya
barang dagangan, tapi dapat disifatkan beliau menerima rahmat dari Allah
sebagai siri pertama balasan yang
diterima di atas amalan kebajikan yang ada pada dirinya.
Kedudukan Yusuf dapat dikatakan bernasib baik,
beliau tidak dibeli untuk dijadiakan hamba sahaya yang dikerahkan tenaga dan
keringat bagi kepentingan tuan sama ada sebagai pekerja ladang mengurus tanaman
adatau ternakan atau buruh kasar perusahaan. Sebaliknya pembelinya seorang
berkedudukan, berada dan dia bersama isterinya tidak mempunyai anak. Maka Yusuf
yang masih dalam lingkungan budak itu tidak dijadikan hamba, tetapi sebagai
anak angkat. Al-Qur`an menggambarkan keadaan bermaksud:
``Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri
Mesir), berkatalah orang Mesir yang membeli Yusuf (pegawai tinggi Mesir yang
bergelar `Aziz`) kepada isterinya, ``Berilah dia layanan sebaik-baiknya semoga
ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak (angkat). Dan demikianlah
caranya Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir, untuk dihormati serta
disayangi), dan untuk kami mengajarkan kepadanya sebahagian dari ilmu ta`bir
mimpi, dan Allah amat berkuasa melakukan segala perkara yang telah
ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.`` (12.21).
Sekali lagi, sebagai anak yang baik, Yusuf
ditakdirkan berada pada tangan yang baik – keluarga dari kalangan pembesar
Mesir yang berkedudukan. Sebagai anak angkat bagi keluarga yang tidak mempunyai
anak, sudah tentulah Yusuf mendapat keistimewaan sebagai anak orang berada.
Sempurna dari segi makan minum, cukup dan lengkap dari segi pakaian dan berada
di tempat tinggal yang selesa. Lebih daripada itu, sebagai anak pembesar yang
berjaya, tentulah dia juga diberi peluang belajar sebagai bekalan kehidupan dan
bagi masa depan. Antara ilmu yang dipelajari, ialah ilmu firasat menta`bir
mimpi. Iaitu `mentakwil dan menghuraikan` maksud mimpi – sama ada mimpi benar
atau mimpi yang tidak benar. Keilmuan ini dimiliki bapanya Ya`kub yang menta`bir
mimpi Yusuf yang melihat sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Kaedah
mentadbir mimpi ini juga diupelajari oleh Yusuf ketika dalam peliharaan keluarga
angkatnya di Mesir. Yusuf sudah tentu mempelajari keilmuan semasa pada masa itu,
terutama berhubung tulis-menulis, matematik, geometi dan timbang menimbang, iaitu keilmuan
terkenal di Mesir. Sesungguhnya Mesir terkenal berkemampuan menulis pada kertas
papyrus sejak 5,000 S.M dan terkenal dari segi ukuran bagi membina piramid yang
terkenal di Mesir.
Sebagai anak angkat kepada pembesar Mesir,
keberadaan Yusuf di tengah keluarga Mesir tidak membezakan Yusuf dari keturunan
Mesir dan lain, kerana sebagai turunan semitik, wajah semitik adalah sebagai
keturunan Arab, Yahudi dan Mesir yang berada di kawasan tiga segi benua – Asia,
Eropah dan Afrika. Bahkan persoalan keturunan tidak pernah timbul berhubung
dengan kedudukan dirinya di tengah masyarakat di Mesir, Yusuf dianggap
sebahagian dari masyarakat di Mesir. Bahkan beliau mendapat keistimewaan sebagai anak pembesar apa lagi dengan
wajahnya yang tampan dan menarik. Pendek kata Yusuf berada pada status tinggi
masyarakat sebagaimana sebelumnya di dalam keluarga Ya`kub di Kan`an. Yusuf
sebenarnya berada pada jalan menuju kepada kejayaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment