BBB, 13
Zulhijjah 1436 = 27 September 2015 (Ahad):
Sedang Zulaikha berusaha membersihkan dirinya yang tercemar dan tidak semudah apa yang diharapkan, bahkan episod ini kekal dalam lipatan sejarah menjadi tatapan zaman, maka Yusuf, walaupun tidak bersalah, dan keduanya tidak diambil tindakan formal, tetapi Yusuf secara tidak langsung menerima kesan hukuman tidak langsung, iaitu pandangan serong terhadap dirinya dari pihak-pihak yang tidak menyenangainya. Dia juga tidak sebebas dahulu berada di rumah ibu-bapa angkatnya dalam mana pergerakannya dulu adalah dalam keadaan biasa dan tiada sebarang curiga di dalam jiwanya. Kini pergerakannya sebagai terhad dan perlu berhati-hati seolah-olah dirinya dalam perhatian. Pergaulannya dengan saahabat-sahabat menjadi sebagai tidak kena dan semacam tidak biasa, walaupun tiada sebarang keraguan daripada mereka dan bagi dirinya ada semacam mata tajam tersembunyi memerhati gerak gerinya. Akhirnya harapan dan masa depannya yang ia mendapat bimbiungan dari bapa angkatnya bagi mendapat tempat dalam pentadbiran negeri, sekurang-kurangnya terencat. Isunya dengan Zulaikha sekurang-kurangnya menghambat peluang berkenaan dan sudah tentulah dengan isu berkenaan, jika ia mengangkat Yusuf bagi satu-satu kedudukan tertentu di dalam pentadbiran, maka akan timbul cakap-cakap di kalangan kakitangan berhubung dengan isu Yusuf yang tidak menyenangkan dan menjadi tidak senang bagi semua pihak. Dalam keadaan sedemikian adalah lebih baik bagi Yusuf mengasing dan menyepikan diri. Alternatif yang terbaik baginya difikirkan bahawa lebih baik baginya memilih pengasingan diri di penjara. Ini sebagaimana digambarkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Yusuf
(merayu ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan berkata),, ``Wahai
Tuhanku, aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan
itu ajak aku kepadanya dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya
mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari
orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.`` (12.33).
Doa dan munajat Yusuf dimustajab oleh Allah,
sebagaimana dimaksudkan oleh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Maka Tuhannya memperkenankan do`anya, lalu
dijauhkannya daripada tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah jualah Yang Amat
Mendengar lagi Amat Mengetahui.`` (12.34).
Pemilihan Yusuf bagi mengasingkan diri di
penjara, nampaknya ada kebetulan dengan setengah pendapat dari kalangan pihak
berkuasa, bahawa lebih baik Yusuf di penjara bagi memisahkannya dari angkara
perempuan, khususnya dari Zulaikha. Sesungguhnya pemilihan yang dibuat adalah
pemilihan yang tepat.
Masuknya Yusuf ke dalam penjara bukan sebagai
banduan, tetapi mempunyai beberapa fungsi.
Pertama ialah bertujuan untuk melarikan diri
dari Zulaikha perempuan yang memulakan fitnah dan menjadi skendal yang
diketahui bukan setakat kalangan ister-isteri pembesar-pembesar Mesir, tetapi
menjadi heboh seluruh negara.
Kedua, ialah bagi menenangkan dirinya dari
masalah yang dihadapi dalam hubungannya dengan masyarakat.
Ketiga yang paling penting, bahawa dengan
mengasingkan diri, Yusuf dapat mendalami keilmuan dan menghayati aspek-aspek
kerohanian dengan munajat diri kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala. Yusuf dalam
kehidupannya meneruskan aqidah pegangan dari agama Hanif Nabi Ibrahim a.s. dan
datuknya Nabi Ishaq dan ayahnya Nabi Ya`kub a.s. Dapatlah dikatakan bahawa dari
dalam penjara inilah pertanda nubuwwahnya makin ketara dan konsisten, bermula
sebagai anak yang baik yang taat dan mematuhi ibu bapa dan dikasihi ibu bapa,
dan apabila menjadi anak muda, beliau tidak menyimpan sifat tidak senang hati terhadap
saudara-saudaranya , walaupun mereka mempunyai niat yang tidak baik
terhadapnya, tatkala ia dipelihara oleh Tuan Al-Aziz sebagai bapa angkat dan
ibu angkatnya Zulaikha sifat mulia
diteruskan dengan sifat amanah dan tidak mengkhianati amanah yang diharapkan
oleh Tuannya.
Bagi setiap Rasul sebelum menerima wahyu bagi
perlantikan diri sebagai Rasul, tidak sunyi dari mengalami berbagai-bagai
ujian. Ujian penolak dari kaum sendiri terhadap dakwah yang disampaikan oleh
Rasulullah s.a.w. dan terus mengalami halangan dan sekatan sebelum dapat
memperkembangkan agama Islam. Yusuf sebagai salah seorang Rasul, demikian juga
tidak sunyi dari menghadapi ujian dalam kehidupannya dari zaman anak-anak
membawa kepada zaman remaja dan dewasa dengan mengalami berbagai pancaroba.
Semasa Yusuf di dalam penjara – dia tinggal
beberapa masa, sifat prihatinnya ketara, dia menziarah yang sakit di kalangan
penghuni penjara, membantu mereka yang daif, menasihati mereka yang menderita,
menyampaikan kepada mereka keilmuan mengiringi acara ibadat yang dipimpinnya
dan menghormati mereka hinggalah jadilah Yusuf semasa di dalam penjara dikasihi
oleh mereka yang di dalam penjara dan menenangkan jiwa mereka dengannya.
(Muhammad Ahmad Jad al-Maula wa Ashabuhu,
Qisas al-Qur`an, Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1389/1969: 101).
Sesungguhnya Yusuf telah dimulia Allah dengan
risalahnya, dikurnia Allah kepadanya apa yang dijanjikan, dia melalui proses nubuwwah
sebagaimana yang pernah dilalui bapa dan neneknya sebelumnya. Mereka berdakwah
kepada agama tauhid, menyalakan cahaya iman dan mengukuhkan keyakinan. Dari
sejarah dakwah, bahawa dakwah adalah lebih mudah tiba kepada kalangan masyarakat
awam yang hidup mereka di dalam kesusahan seperti yang dilalui oleh Rasulullah,
bahawa selain dari sambutan dari kalangan keluarga dan sahabat-sahabat terdekat
kalangan masyarakat susah adalah lebih segera memberi sambutan terhadap dakwah.
Contoh sebahagian daripada kalangan muhajirin ke Madinah adalah terdiri dari
mereka yang susah dan miskin. Sebahagian daripada mereka pada peringkat
permulaan berlindung di Masjid al-Madinah yang mereka dikenali sebagai Ahlu
al-Suffah. Bagi Yusuf beliau merapati golongan banduan , mengenali hati budi
mereka dan membimbing mereka ke jalan keinsafan yang dapat membantu mereka
mengendalikan kehidupan selepas keluar dari penjara.
Sesugguhnya bagi Yusuf, berada di dalam
penjara adalah sebagai berada di Madrasah yang mendidik mindanya dengan keilmuan,
mempertajamkan kehidupan dengan pengalaman dan memperhaluskan jiwanya dengan kerohanian.
Ini semua adalah bagi melengkapkan dirinya dengan keperluan-keperluan bagi menerima risalah nubuwwah, khususnya bila
menghadapi masyarakat secara terbuka. Sesungguhnya penjara madarasah yang mendidik diri Yusuf ke arah tugas yang lebih
besar – Nubuwwah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment