BBB, 30
Zulkaedah 1436 = 14 September 2015 (Isnin):
Penyusunan seturut surah-surah dari Surah (pertama) al-Fatihah sehingga kelima (al-Ma`idah), meskipun ada pendapat ia merupakan antara Surah Madaniyyah terakhir, tetapi susunan bagi lima surah ini mempunyai korelasi kandungan dan arahnya secara seturut bagi kelima-lima surah. Bermula dengan Surah Al-Fatihah yang membawa `Pandangan Wujud` secara menyeluruh membawa kepada Al-Baqarah pengisian dalaman (ibadat dan kerohanian) dan pembinaan ummah, dilengkapkan oleh Aali Imran pembinaan negara Ummah, diikuti dengan pengukuhan struktur ummah dari unit kecil perkahwinan dan keluarga dan Surah Al-Maidah (Hidangan) meluas kepada mu`asyarah kemasyarakatan yang memperkukuhkan ummah dan daulah pemerintahan.
Dari kekeluargaan (Al-Nisa`) sebagai unit
kecil masyarakat, fungsi antara keluarga membesar kepada yang bersifat
msyarakat. Dengan perkembangan bersifat masyarakat, maka kehidupan sosial makin
meluas dan berkembang dan seharusnya ada norma dan etika yang menjadi panduan
dan pegangan bagi masyarakat berkenaan. Sebahagian besar dari kandungan Surah
Al-Ma`idah (5) menggariskan persoalan konteks sosial yang dapat menjadi panduan
bagi masyarakat umat Islam. Contoh ayat yang menyuruh tolong menolong pada
perkara kebajikan dan melarang dari melakukan perkara yang mungkar (5.2).
Dalam muqaddimah bagi Surah Al-Ma`idah dalam
tafsir Fi Zilal Al-Qur`an Syed Qutb menjelaskan bahawa, ``Penurunan Al-Qur`an –
( termasuklah Surat Al-Ma`idah. P), ialah bagi `Mendidik Ummah` bagi
`Mendirikan Daulah` dan bagi `Menyusun Masyarakat`, juga bagi memupuk jiwa,
akhlak dan akal dan menekankan pentingnya bersifat adil (5.8). Lebih luas dari
itu mengeratkan hubungan antara daulah dengan daulah dan hubungan antara umat
bagi kerajaan tersebut.
(Syed Qutb, Fi Zilal Al-Qur`an, Jil. 2.
1400/1980: 825).
Pembinaan ini bermula dari `Pandangan Wujud`
Tertinggi, iaitu mengesakan Allah Subhanahu wa Ta`ala, mendirikn pemerintahan,
menggariskan manhaj penghidupan dengan syariat, peraturan dan nilainya (Ibid.).
Surah Al-Ma`idah memulakan dengan peringatan
pada janji setiap muslim yang tidak semestinya janji secara langsung seperti
janji hutang-piutang, tetapi janji dan iqrar setiap muslim untuk patuh pada
Allah dan menjauhi larangan dan mendukung dan membela Islam yang seharusnya
tidak dilupa oleh kerana kelalaian. Melupai janji bererti mengurangkan komitmen
dan kesetiaan. Komitmen dan kesetiaan yang bersifat luaran ada hubungan dengan
kebersihan dalaman yang bersifat jiwa dan hati nurani yang menjadi tempat
bertolaknya niat. Makanan memainkan peranan bagi kebersihan jiwa dan tindak
laku seseorang. Allah menghalalkan binatang-binatang ternakan yang halal,
tetapi jangan melanggar yang haram (5. 2).
Makanan dan perkara yang haram disebut Allah ialah
bangkai, binatang yang tak disembelih atau disembelih dengan nama lain daripada
Allah, daging babi (sekalian bahagian), binatang yang mati diakibat oleh
tercekek, jatuh dari tempat tinggi, ditanduk, dimakan binatang buas atau yang
disembelih atas nama berhala.(5.3). Sebaliknya Allah menyediakan makanan yang halal lagi baik (5.5), termasuklah makanan dari laut
(5.96). Kesan dari makanan yang tidak baik dan tidak halal menyekat rahmat
Allah dan tidak dikabulkan doa seperti Hadith riwayat Abu Hurairah, bahawa
Rasulullah menyatakan seorang lelaki musafir, jauh perjalanan, kusut masai dan
berdebu yang mengangkat dua tangan ke langit berdoa, Wahai Tuhan ! Wahai Tuhan
! Sedang makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haran dan dia makan dengan
cara haram, maka bagaimanakah boleh dimustajabkan doanya ? (Maksud Hadith
riwayat Muslim dan Tirmidhi). Larangan dari makanan yang haram boleh memberi
kesan negatif kepada penggunannya seperti penyakit, keracunan, kotor, jijik,
dan berbagai implikasi keracunan yang boleh merosakkan fizikal dan juga akal.
Selain dari menghalalkan yang bersih dan baik
dan mengharamkan yang haram secara fizikal, ialah yang haram lantaran haram
amalan dan hasil darinya seperti mencuri (5.38-39), arak, judi, pemujaan
berhala dan menenun nasib adalah disifatkan kotor (5.90-91), lantaran melakukan
perkara-perkara yang haram ini menjatuhkan pelaku-pelakunya ke lembah kehinaan
dan merosakkan akhlak dan kehidupan. Termasuk perkara larangan dan keji ialah
seperti pembunuhan (5.27-31), kufur – termasuk terhadap nikmat Allah (5.11),
mencederakan orang (5.45) dan murtad.
Larangan terhadap perbuatan yang keji contoh
seperti mencuri, pelakunya rosak akhlak dan boleh merosakkan mangsa, selain
dari kehilangan harta yang kena curi, jenayah mencuri boleh membawa kepada
pembunuhan dan kematian. Mencuri juga merosakkan keharmonian masyarakat dan
mengganggu keteteraman hidup.
Surah Al-Ma`idah selain dari membicarakan
persoalan makanan dan kebersihan dan hubungan sosial kemasyarakatan juga
membicarakan persoalan ibadat yang sebenarnya merupakan bersih maknawi seperti kaedah mengambil wudu` (5. 6),
larangan semasa ihram sepert berburu dan wasiat (5. 106). Berpegang dengan
akidah yang benar seperti tentang
hakikat sebenarnya Nabi Isa a.s. yang dalam agama Kristian meletakkannya
sebagai `Anak` Tuhan` dalam konsep Triniti (5.17) yang boleh menyelewengkan akidah.
Begitu juga dengan kisah Nabi Musa (5.11-22) dan cerita tentang Qabil dan Habil
(5.27-31) yang dapat dijadikan tauladan dan sempadan.
Pendek kata Islam amat menjaga dari segi
keharmonian masyarakat. Individu hendaklah menjaga dari segi makanan diri dan
keluarga, kerana ianya memberi kesan dari segi tabiat dan akhlak dalam kehidupan.
Islam menggesa amalan yang baik bagi kehidupan masyarakat seperti sifat tolong
menolong, gotong royong, mempunyai hubungan yang baik dengan jiran tetangga,
bertoleransi dan menegakkan keadilan. Disebalik dari sifat positif ini Islam
melarang sifat-sifat keji seperti mencuri dan meletakkan hukum berkenaannya
secara keras (5.38-39). Islam juga melarang keras dari berjudi, tikam ekor dan
menilik nasib, kerana amalan seperti ini tidak pernah membawa kebaikan dan
keuntungan kepada pelaku-pelakunya, sebaliknya membawa kerosakan kepada pelaku
dan masyarakat.
Bagi mendirikan sebuah negara yang baik dan
aman, maka kebersihan dan sifat baik hendaklah bermula dari individu dan
keluarga dengan didikan yang baik dan menggunakan bahan-bahan dan
perkara-perkara yang halal. Bagi menjaga ketenteraman masyarakat amalan seperti
mencuri, judi, tikam ekor, rasuah dan sebagainya hendaklah dihapus dari
kehidupan masyarakat. Mereka hendaklah didorong melakukan amalan yang baik dan
menjauhi amalan munkar dan keji agar kehidupan masyarakat dalam keadaan aman
dan selamat di dalam sebuah negara yang disifatkan sebagai Baldah Tayyibah wa
Rabbun Ghafur.
Sekian.
No comments:
Post a Comment