September 3, 2015

Jihad Menuntut Kekuatan Dalaman Dan Luaran


BBB,  18 Zulkaedah 1436 = 02 September 2015 (Rabu):



Juga menggunakan pendekatan dari segi sejarah, bahawa pada peringkat pembinaan negara Islam pertama di Madinah tentulah perlu kepada pendekatan yang konkrit lantaran banyak halangan yang dihadapi dan pengorbanan yang dituntut. Dalam sirah perjuangan Rasulullah Baginda mengambil pendekatan bagi penyatuan umat dengan mendirikan institusi masjid dan menyatukan masyarakat umat antara kaum Ansar yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj dengan kaum Muhajirin. Halangan yang Baginda dan umat Islam pada peringkat permulaan mendirikan negara Madinah  ialah kaum Yahudi dan golongan munafik dari dalam dan kuffar Quraisy di Makkah dari luar. Baginda juga merangka Perjanjian Madinah (Sahifah Madinah) sebagai tanggungjawab bagi kewargaan di Madinah. Di dalam hal ini kalangan umat Islam dituntut berkorban – Pengorbanan menuntut kekuatan dalaman dan kecekalan luaran bagi menghadapi musuh dalaman dan luaran.
Sememangnya pada peringkat permulaan umat Islam menghadapai tekanan musuh, maka bagi mempertahankan diri dan membina kekuatan umat , maka umat Islam dibenarkan berperang (Al-Hajj: 39) untuk mengelak dari dizalimi. Sememangnya dari segi sejarah dan sirah Rasul s.a.w. pada permulaan Hijratul Rasul dan bagi menegakkan Negara Islam, maka pada tahun kedua Hijrah  berlaku beberapa siri konflik dan peperangan seperti:
1)      Peperangan Waddan
2)      Peperangan Buwath
3)      Peperangan Usyairah
4)      Peperangan Badar Pertama
5)      Peperangan Badar al-Kubra
6)      Peperangan Bani Qainuqa` dan pengusiran mereka
7)      Peperangan Sawiq
(Johari Yaman, Mengenali Rasulullah s.a.w., Nadi Minda Resources, Rawang Selangor, 2009: 261- 323).
Bagi menghadapi peperangan memerlukan kekuatan jiwa, mental, fizikal, keyakinan dan keimanan yang kental yang rela berkorban harta dan jiwa.
Di dalam konteks di atas bagi menjadi contoh dan tauladan Allah Ta`ala menceritakan tentang kaum Bani Isra`il yang bersifat berpura-pura, iaitu selepas zaman kematian Nabi Musa yang jumlah mereka ramai, tetapi bersifat penakut. Pada mulanya mereka mengharapkan akan dilantik di kalangan mereka raja yang membolehkan mereka berjihad mempertahankan pemerintahan, maka dilantik Talut agar mereka berjuang dan berjihad mempertahankan kerajaan dan pemerintahan, tetapi mereka enggan menerima dengan alasan Talut dari kalangan bawahan dan miskin – bukan dari keluarga diraja. Tapi dengan kekuatan dan kecekalan Talut dapat mengalahkan musuh (Jalut dibunuh oleh Nabi Daud yang turut sama di dalam peperangan) yang kemudian membawa kepada kenaikan Nabi Daud menjadi raja. Cerita bagi menjadi panduan bagi umat Islam, supaya tidak bersikap seperti kaum Israil yang penakut dan membuat berbagai-bagai helah yang mencermin ketiadaan kekuatan iman mereka.
Sifat bermuka-muka sedemikian tidak berlaku di kalangan umat Islam. Sebaliknya mereka berjihad dengan harta benda, jiwa dan tenaga dengan penuh keimanan yang membawa banyak kemenangan bagi umat Islam dan mengukuhkan negara Madinah.
Persoalan-persoala utama di dalam ayat-ayat (2. 243-253).
a)      Orang Islam digalakkan berjihad. Allah membuat bandingan Allah meminjam pinjaman dari mereka yang berjihad dan akan mendapat pulangan yang berganda (2. 244-245).
b)      Mereka yang beriman tidak gentar menghadapi maut di dalam berjihad, sebaliknya yang tidak berasaskan keimanan takut dan berdolak dalih (2. 46-252)
c)       Tiap Rasul mempunyai kelebihan di antara setengah dengan yang lain.
Tanggapan Abdullah Yusuf Ali mengenai kandungan ayat (2. 243-253).
K. 54 (2. 43 – 253)>
Perjuangan dalam mempertahankan Kebenaran dan Yang Hak
Hendaklah jangan dipandang ringan
Juga tidak dielakkan sebagai tugas
Hayat dan maut berada di dalam tangan Tuhan
Tidak semua orang boleh dipilih untuk perjuangan
Untuk Jalan Allah. Ianya memerlukan ketekunan,
Ketetapan, kesetiaan, dan keimanan, Dengan ini,
Tentera-tentera besar boleh dikalahkan
Oleh mereka yang berjuang kerana Allah.
Sebagaimana ditunjukkan oleh kepahlawanan Daud.
Yang dengan kepahlawanan seorang diri
Mengalahkan tentera para seteru.
Perjuangan setengah para rasul.
Sebagaimana `Isa, adalah lain.
Agak kurang luas bidangnya dari apa yang ada
Pada  al-Mustafa, rancangan Ilahi
Bersifat semesta, dan Ia melaksanakannya
Sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
(Al-Qur`anu`l-Karim, Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 1: 171).
Bukan mudah mengukuhkan negara, memerlukan kepimpinan yang berintegriti dan berwawasan dan rakyat yang setia dan beriman yang sedia berjihad mempertaruhkan jiwa dan badan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment