BBB, 17
Zulkaedah 1436 = 01 September 2015 (Selasa):
Telah dibicrakan bahawa salah satu pendekatan di dalam memahami kandungan ayat-ayat Al-Qur`an ialah mendekatinya dengan disiplin sejarah. Setiap perkara yang berlaku tidak terkeluar dari kronologi sejarah dan jika dapat diketahui peristiwa-peristiwa yang berlaku, termasuk tarikh - bila diturun, apa lagi jika diketahui sebab-sebabnya, maka lebih mudah bagi memahaminya. Namun dari segi susunan ayat-ayat Al-Qur`an tidak semestinya kedudukan susunan ayat-ayatnya di dalam suatu surah menurut kronologi peristiwa. Namun dari segi sesuatu surah dinisbahkan kepada Makkiyyah atau Madaniyyah dapat membantu secara kasar bila dan di mana ayat-ayat, khususnya surah diturunkan dan dapat difahami peristiwa-peristiwa yang berlaku dan keluasan maklumat yang boleh didapatkan daripadanya.
Surah Al-Baqarah adalah surah terawal turun di
Madinah. Surah terpanjang mengandungi 286 ayat ini adalah melakarkan keperluan
bagi membina umat dalam sebuah negara berdaulat. Kandungan surah ini dapat
dibahagikan kepada beberapa bahagian:
1) Pembinaan kekuatan dalaman umat yang menekankan konsep iman dan
penyembahan Tuhan Yang Maha Esa. Menerangkan tentang kejadian manusia, langit,
bumi dan cakerawala serta syurga dan neraka.
2) Mengandungi panduan hukum-hukum syara` bagi mengatur hidup umat seperti
solat, zakat, puasa, haji, muamalat, munakahat, dan jinayah serta qisas.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian
Al-Qur`an, Terjemah Dan Penjelasan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih,
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur,1985: 5)
3) Perkukuh Negara Ummah: Selepas arahan pemalingan Kiblat dari Masjid
al-Aqsa ke Masjid al-Haram pada tahun kedua Hijratul Rasul ini, berlaku
peperangan Badar al-Kubra. Kemenangan tentera Islam membuka ruang yang lebih
luas dalam mendirikan negara Islam Pertama di Madinah
(Muhammad Khalid,
Khatam al-Nabiyyin Muhammad bin Abdullah S.A.W. – Sirah wa Risalah, Misr,
1375/1955: 135-151).
Abdullah Yusuf Ali membuat rumusan pandangan
kepada sejumlah ayat Al-Qur`an bermula dari ayat (2. 168 – 242).
Antara perkara-perkara yang boleh ditambah
selain dari tiga rumusan di atas ialah:
a) Kebersihan yang dituntut dari orang Islam termasuk rezeki yang halal,
baik dan bersih makan minum. Melarang
makanan yang kotor dan keji seperti mayat, darah dan daging babi (2.168 &
172-173).
b) Keadilan sosial dan kemasyarakatan dengan mengeluarkan pendapatan
kepada anak yang yatim dan yang susah (2. 177).
c) Perkara yang berhubung dengan wasiat (2. 180)
d) Melarang memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak betul (2. 188)
e) Membenarkan peperangan bagi mempertahan dan mengukuhkan kedudukan (2.
190 & 216)
f) Galakan supaya bernafkah dan jangan membinasakan diri (2.195 & 215)
g) Sempurnakan keislaman secara menyeluruh (2. 208).
h) Larangan dari perkara yang memabuk dan merosakkan seperti arak dan judi
(2. 219).
i)
Perkahwinan dan larangan dari berkahwin
perempuan musyrik serta persoalan talaq (2. 221-242).
Banyak persoalan yang terkandung di dalam
ayat-ayat Al-Qur`an (168-242). Abdullah Yusuf Ali merumuskan pandangannya bagi
K.50 (2. 168-242):
Masyarakat yang tersusun demikian itu
Mesti hidup di bawah hukum-hukum
Yang membimbing hidup harian mereka –
Berasaskan asas-asas yang abadi
Terdiri daripada kebaikan dan keadilan dalam
Semua perhubungan
Kebersihan, ketenangan serta kewarasan,
Kebenaran dan saling memberi pertolongan
Dari seorang ke seorang – yang terbentuk
Ke dalam rupa yang zahir, sesuai
Dengan masa dan suasana,
Dan keperluan-keperluan yang pelbagai
Orang Biasa lelaki dan wanita:
Makanan mesti bersih dan baik:
Hutang darah balas darah mesti dihapuskan:
Hak-hak dan tugas-tugas para waris
Mesti diakui selepas maut,
Bukan dalam roh Menjaga bentuk jahat,
Tetapi demi untuk membantu mereka yang lemah
dan
Berkeperluan
Dan menyekatkan semua perbuatan zalim
mementingkan diri:
Pengawasan diri mesti dipelajari dengan
berpuasa:
Keberanian untuk berjuang dalam pertahanan
Yang hak, mesti ditentukan:
Ibadat
haji disucikan
Sebagai syi`ar kesatuan
Sedekah dan pertolongan untuk mereka yang
miskin
Perlu disusunkan: kekacauan yang merosakkan
Minuman keras dan perjudian
Mesti dihapuskan: anak-anak yatim perlu
diberikan
Pertolongan:
Perkahwinan, perceraian, dan kehidupan
menjanda
Perlu ditadbirkan: dan hak-hak para wanita:
Yang terbiasa di pijak-pijak
Kini ditetapkan dengan teguhnya.
(Al-Qur`anu`l-Karim, Terjemahan Dan Huraian
Maksud, Jil. 1: 111-112).
Demikian peraturan-peraturan yang ditentukan
oleh Al-Qur`an bagi mengukuhkan kedudukan umat di dalam negera Madinah yang
berkat, kuat dan berdaulat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment