BBB, 01 Zul-Hijjah 1436 = 15 September 2015
(Selasa):
Tentang maklumat ketuhanan secara ringkas dan padat adalah dapat ditanggapi dari Surah Al-Ikhlas, tetapi antara surah yang banyak menggunakan metod bagi memahami tentang ketuhanan ialah Surah Al-An`am – Surah keenam. Dinamakan Surah Al-An`am, kerana terdapat ayat yang menyentuh tentang hewan ternakan (6. 136). Inilah surah panjang (165 ayat) pertama selepas susunan lima surah panjang. Surah ini adalah diturunkan di Makkah. Sesuai sebagai surah yang diturunkan di Makkah banyak membicarakan mengenai aqidah, maka demikianlah dengan Surah Al-An`am. Dapat dikatakan sebahagian besar kandungan surah ini mengenai aqidah.
Meneliti terhadap kandungan Surah Al-An`am ini
ada beberapa metod dan uslub – antaranya digunakan di dalam surah ini sebagai
`Al-Hujjah al-Balighah` (6.149) - dapat
dirumuskan kepada metod dan uslub berikut:
1) Kaedah hujah bersifat akli atau minda
2) Mengalami secara inderawi
3) Menggunakan intuisi rohani
4) Berdasarkan pengalaman
5) Menggunakan kaedah peringatan
1) Penggunaan hujah akli
Adalah penggunaan kaedah yang banyak terdapat
di dalam Al-Qur`an dan kaedah ini banyak digunakan di dalam pendekatan keilmuan
usuluddin atau ilmu al-Kalam yang menggunakan kaedah dalil dan burhan serta
kaedah naqal (ayat-ayat Al-Qur`an) dan akal menggunahkan bukti dan hujah
seperti hujah ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Jikalaulah di langit dan bumi itu
tuhan-tuhan (banyak Tuhan), nescaya kedua-duanya rosak binasa (Al-Anbiya`: 22).
Di dalam Surah Al-An`am terdapat beberapa penggunaan yang menuntut kefahaman
tentang ketuhanan secara akli seperti Allah Pencipta langit dan bumi serta
siang dan malam, bagaimanakah orang-orang kafir mau menyamakan Nya dengan
`Tuhan` mereka ? (6.1). Contoh yang lain Firman Allah bermaksud: Katakanlah (ya
Muhammad). Patutkah aku mengambil Penolong selain dari Allah yang menciptakan
langit dan bumi (6. 14).
Juga maksud-maksud ayat-ayat tentang Allah
menumbuhkan biji benih, membelah cahaya subuh, menjadikan bintang-bintang untuk
pedoman, dan menciptakan kamu dari diri yang satu adalah merupakan tanda-tanda
kekuasaan Allah (6.95-98).
2. Pengalaman Secara Inderawi
Dengan kaedah pemerhatian terhadap
kejadian-kejadian alam seperti berlaku gempa, banjir besar dan berbagai
kemusnahan yang lain yang menandakan kekuasaan Tuhan. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Katakanlah (ya Muhammad) berjalanlah di muka bumi dan lihatlah bagaimana
akibat mereka yang mendustakan Tuhan (6.11). Sememangnya kemusnahan-kemusnahan
yang besar membawa diri kita mendekatai dan mengakuri kuasa Tuhan.
3. Penghayatan Intuisi Rohani
Sebagai contoh menanggapi ketenangan malam
atau siang yang membawa diri mendekati Tuhan dengan tahajjud dan berbagai
ibadat yang lain. Firman Allah bermaksud: Allah memberi suasana tenang pada
malam hari dan siangnya. Dia Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui (6.13).
Demikian ayat bermaksud: ``Dan tidaklah
dinamakan penghidupan dunia melainkan permainan (yang sia-sia) dan hiburan
(yang melalaikan) dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang
yang bertaqwa. Oleh itu tidakkah kamu berfikir ? (6. 32). Dan ayat bermaksud:
``Dialah yang Mencipta langit dan bumi dengan
begitu indah dan mengkagumkan (6. 101).
4. Berdasarkan Pengalaman
Seperti hujah, terdapat orang-orang Yahudi
yang mereka tahu dan mengalami tentang maklumat kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
Seperti maksud ayat Al-Qur`an:
``Orang Yahudi dan Nasara telah kami berikan
kitab kepada mereka. Mereka mengenalnya (Nabi Muhammad) sebagaimana mereka
mengenali anak-anak mereka (6. 20). Ayat mencabar kejujuran mereka yang tidak
mampu mendepani kebenaran yang ditegaskan Tuhan.
Contoh jua dari pengalaman Nabi Allah Ibrahim a.s.
mencari kebenaran dan mendepani kaumnya yang menyembah berhala. Dia berusaha
membetulkan akidah mereka walaupun dia menghadapi berbagai-bagai ancaman
(6.74).
5. Menggunakan Kaedah Peringatan – Timbul rasa
gerun dan takut
Contoh ayat bermaksud: ``Katakanlah, Aku takut melakukan
dosa terhadap Tuhanku dengan mendapat azab pada hari yang besar (kiamat –
(6.15).
Contoh ayat bermaksud: Dan berilah amaran
dengan Al-Qur`an itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan
dihimpunkan kepada Tuhan (pada Hari Kiamat). Pada hal tiadalah bagi mereka
seorang penolong pun dan tidak juga seorang pemberi syafaat yang lain dari
Allah, supaya mereka bertaqwa (6. 51).
Demikian sebahagian dari contoh-contoh dari
segi metod, uslub dan hujah bagi membuktikan ketuhanan yang Maha Esa.
Contoh-contoh ini adalah dari satu surah, tentulah banyak lagi pendekatan, hujah
dan uslub dari ayat-ayat Al-Qur`an yang ditujukan kepada berbagai peringkat
yang antara metod dan pendekatan berkenaan jika tidak semua, maka sebahagian
dapat memberi kesan kepada mereka.
Menurut Syed Qutb ini adalah pendekatan yang
mengukuhkan aqidah dan keimanan (Syed Qutb, Fi Zilal Al-Qur`an, Jil: 2: 1009).
Seterusnya katanya:
Semuanya ini merupakan kaedah-kaedah bagi
mengukuhkan aqidah yang merupakan pegangan yang betul di dalam menuju kepada
Allah. Dengan pegangan yang betul, jiwa penganut adalah tenang. Ini memberi
kesan kepada perilaku dan tindakan di dalam kehidupan yang menyebabkan jiwa
tidak merasa resah gelisah. Mereka tenang dalam menerima nikmat dan bersyukur
dan bersabar di dalam menerima ujian Tuhan. (Syed Qutb, Fi Zilal Al-Qur`an, Jil.2,
1400/1980: 1029). Keadaan sama berlaku bagi kelompok masyarakat dan umat yang
mempunyai pegangan akidah yang sama yang mengharmonikan kehidupan mereka yang
hidup berusaha, beramal dan bertawakkal kepada Allah yang insya selamat di
dunia dan juga akhirat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment