September 1, 2015

Perubahan Kiblat: Dari Hubungan Tradisi Kepada Pengukuhan Identiti


BBB, 16 Zulkaedah 1436 = 31 Ogos 2015 (Isnin):
Persoalan penting sebagaimana dinyatakan oleh Al-Qur`an antara ayat (2: 142 – 167) ialah:



1.     Pembinaan Ka`bah & Perubahan Kiblat
Bahawa Nabi Allah Ibrahim a.s. mendirikan Ka`bah bersama dengan anaknya Ismail a.s. (2: 125-127). Selepas Hijrah al-Rasul ke Madinah berlaku perubahan arah Kiblat dari Masjid al-Aqsa kepada Masjid al-Haram. Pada peringkat permulaan solat ialah mengadap ke Baitul Maqdas, tetapi selepas 16 ½ bulan Hijrah di arah mengubah Kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Ka`bah di Baitillah al-Haram (Al-Qur`anu`l-Karim, Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 1: 94). Pemalingan Kiblat dari Masjid al-Aqsa kepada Masjid al-Haram (2:144) boleh dilihat dari beberapa pandangan.
a)     Wujudnya hubungan tradisi, agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan tradisi sebelumnya yang mana Baitul Maqdis merupakan `Negara Nabi-Nabi` dan Rasulullah semasa Isra` & Mi`raj melewati Baitul Maqdis bagi Mi`rajnya bagi menerima kewajipan solat.
b)    Ka`bah juga mempunyai tradisi kukuh yang dibina oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai pusat ibadat, lantaran itu wajar menjadi Kiblat bagi orang Islam.
c)     Rasulullah s.a.w. diejek oleh orang Yahudi, sebagai agama tersendiri, mengapa mengikut arah Kiblat ke Baitul Makdis sebagai Kiblat mereka !
d)    Rasulullah memang berharap Ka`bah menjadi Kiblat bagi umat Islam (2: 144), agar umat Islam mempunyai identiti Kiblat tersendiri, biarpun Ka`bah pada masa itu masih di dalam penguasaan kafir Quraisy.
e)     Penetapan Kiblat ke Ka`bah di Baitullah menguatkan azam bagi menguasai Makkah dan menutup mulut musuh (Yahudi) dari tuduhan liar mereka (2: 142).
2.     Konsep Umat Islam sebagai `Ummat Wasatan`

Wasatan – Dari segi konsepsi adalah maksud `Berimbang`, Jalan Tengah dan lurus – Sirat al-Mustaqim. Juga memberi perhatian kepada aspek dunia dan akhirat. Tidak betul memberi makna `Wasatan` sebagai `Sederhana`, tidak bersungguh-sungguh yang mempunyai tendensi `malas`.
Dari segi fizikal: Makkah-Madinah merupakan titik tengah yang dari segi `Wasatan` boleh berkembang luas ke utara – Selatan dan Timur –Barat.
3. Nikmat Perutusan Kerasulan
Perutusan Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. adalah nikmat dari segi Tauhid-keimanan, hikmat dan keilmuan, ibadat seperti solat, Umrah-Haji, kerohanian dan jihad kehidupan.
Abdullah Yusuf Ali membuat rumusan bagi persoalan di atas dan yang terkandung di dalam ayat-ayat (2: 142-167) yang dalam susunannya sebagai couplet 49:
``Tetapi umat-umat itu telah berlalu sejarahnya,
Yang berjanji akan mendukung Hukum Tuhan,
Keturunan mereka telah didapati
Tidak layak, tempat mereka diambilalih
Oleh suatu umat yang baru megadap ke arah Makkah,
Suatu umat baru, dengan seorang Rasul baru,
Untuk menjadi saksi Kebenaran Hukum Tuhan
Untuk memasyhurkan kebenaran, menjaga
Syi`ar-syi`ar Nya, serta berusaha dan berjuang
Untuk kesatuan dalam Jalan Tuhan.
(Al-Qur`anu`l-Karim, Terjemahan Dan Huraian Maksud, Jil. 1: hlm. 93).
Abdullah Yusuf Ali melihat secara menyeluruh dengan melihat perubahan arah Kiblat dari Masjid al-Aqsa sebagai lambang perubahan dari tradisi lama kepada pembaharuan, bukan setakat Kiblat tetapi pemutusan dari yang lama dari segi perutusan kerasulan, kesatuan ummah, hukum hakam, pentadbiran dan kemasyarakatan.
Sememangnya selepas Hijrah, masyarakat umat Islam membina identitinya yang tersendiri dari kelompok minoriti yang dipinggirkan semasa di Makkah kepada suatu masyarakat yang bersifat ummah yang mempunyai negara, pentadbiran, mempunyai perundangan, mempunyai sumber ekonomi dan berusaha memperluaskan dakwah ke wilayah-wilayah sekelilingan, termasuk bakal membuka Makkah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment