BBB, 19
Zulkaedah 1436 = 03 September 2015 (Khamis):
Dua tokoh kerasulan yang banyak dibawa di dalam Surah al-Baqarah, ialah Nabi Musa dan Nabi Ibrahim. Imej ketara bagi Nabi Musa dan kaum pada zamannya, ialah konflik dan ketidaksetiaan kaumnya berterusan terhadap Nabi Musa dan kufur mereka terhadap nikmat Allah. Imej dan ciri ini berterusan kepada turunan Bani Israil kini yang sentiasa dipandang serong dan tidak boleh dipercayai. Ini sebagai ingatan kepada Rasulullah dan umat Islam pada zaman Baginda agar berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam hubungan dan interaksi dengan keturunan kaum Bani Israil, hingga mereka dikeluarkan dari negara Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w. Pandangan serong dan ketidakboleh percaya terhadap Israil dengan sikap mereka juga terus berlaku di kalangan masyarakat antarabangsa terhadap Israil hingga kini.
Imej ketara bagi Nabi Allah Ibrahim yang
dibawa dan ditonjol oleh Al-Qur`an ialah watak dan tokoh yang membawa dan
menegakkan `Agama Hanif` (Suci = Islam). Imej ini terlihat dari usaha Nabi
Ibrahim mengasaskan `Baladan Aminan` di bumi Makkah dengan keterlibatan watak
Hajar – isterinya dan anaknya Ismail. Baginda juga membina Ka`bah sebagai pusat
ibadat. Peristiwa dan sejarah mereka tiga beranak di Makkah menjadi dokumentasi
dan perintah (wahyu) yang bersifat ibadat bagi umat Islam. Contoh solat dan
tawaf di Baitillah al-Haram dan syi`r antara Safa dan Marwah dengan
tambahan-tambahan yang lain dari segi sejarah seperti di dalam amalan-amalan
haji secara lengkap.
Di dalam Surah Al-Baqarah ayat (2. 234-283) Al-Qur`an mengimbau kepada
peringkat awal dari sejarah Nabi Allah Ibrahim dalam interaksinya pada zaman
muda remajanya dengan pemerintah pada masa itu, iaitu Namrod bin Kan`an dari
kerajaan Iraq Tua (Babylion). Berlaku pertikaian hujah antara Ibrahim dengan
Namrod tentang ketuhanan yang mana Namrod mengaku yang dirinya Tuhan yang
mengalahkan hujah oleh Ibrahim terhadap Namrod. Ibrahim juga dalam menegakkan
agama tauhid telah memecahkan berhala-berhala yang disembah oleh kaum Namrod
yang menyebabkan Ibrahim dihukum bakar, tapi tidak dihangus oleh api.
(Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Damshiq, Syria, 1431H.:
44).
Elemen sejarah purba yang dibawa oleh
Al-Qur`an menunjukkan perjuangan bagi menegakkan tauhid dan kontranya - amalan
syirik juga berlaku pada zaman Baginda. Ini adalah menjadi contoh tauladan bagi
Rasulullah dan umat Islam yang menghadapi pola dan peristiwa sejarah yang mirip
dan ada kesamaan dengan apa yang berlaku pada zaman Nabi Allah Ibrahim yang
menegakkan Agama Hanif (Islam).
Hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w. pemantapan
akidah adalah merupakan agenda yang berterusan bersama dengan pemantapan dari
segi pemerintahan dan amalan dari segi syariat dan perundangan. Ayat (2.
255-257) ialah penerangan mengenai hakikat ketuhanan yang sebelumnya terjadi perbahasan
tentangnya antara Namrod dan Ibrahim dan monolog Ibrahim dalam diri dan
permohonannya dari Allah bagi menambahkukuh keimanannya.
Di dalam konteks bernegara dan hidup
kemasyarakatan umat, satu aspek yang penting ialah menjaga kebajikan masyarakat.
Antaranya mendapat hasil dari pengeluaran atau pendapatan masyarakat seperti
melalui zakat dan penggalakan bagi mereka melakukan kebajikan untuk diagihkan
kepada masyarakat yang memerlukan (2. 254, 261-274) termasuk keperluan bagi
negara seperti peruntukan bagi pertahanan dan peperangan sebagaimana yang dilakukan oleh Abdul Rahman bin Auf dan
`Uthman bin `Affan yang telah mengeluarkan perbelanjaan bagi menghadapi
peperangan Tabuk. (Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz: 45).
Di sebalik Islam menggalakkan umatnya
mengeluarkan pendapatan melalui zakat, nafkah dan derma bagi menyuburkan
kerja-kerja kebajikan yang insya Allah mendapat pahala berganda di sisi Allah
(2. 261-262 & 278), Islam amat menegah dari amalan riba yang bersifat zalim
dan mencekek mangsanya dengan `bunga` yang menyiksakan (2.275-279). Mereka yang
mengamalkan riba disifatkan sebagai seteru Allah dan seteru masyarakat umat.
Islam juga mengatur kaedah hutang piutang di
dalam kehidupan masyarakat umat agar tidak timbul pertikaian dan perbalahan di
dalam masyarakat, jika ianya tidak diatur menurut kaedah-kaedah yang ditentukan
(2. 282-283).
Tanggapan Abdullah Yusuf Ali tentang kandungan
ayat dari (2. 254-283):
K. 52 (2. 254-283):
Siapakah yang boleh menyifatkan Hakikat
Ketuhanan ?
Tuhan yang Maha Hidup. Nan Kekal Abadi:
`Arash-Nya
Meliputui alam-alam lain, dan alam-alam
Nan tidak termampu khayalan meliputinya.
Kebenaran-Nya adalah terang laksana hari
siang: bagaimanakah
Paksaan boleh mengkedepankan agama ?
Anak-anak Kunci hayat dan maut, dan
rahsia-rahsia
Segala sesuatu sekitar diri kita, berada dalam
Tangan-Nya.
Tugas kita ialah untuk mencari jalan
Kebaikan., kasihan belas, dan sikap benar
Dalam Perangai dan Kemarahan Hati. – untuk
tidak
Mengambil peluang daripada kesempitan saudara.
Untuk berdiri melaksanakan apa yang dikata.
Untuk menjadi saksi yang benar, dan
membuangkan semua
penyebab
Semua silap faham dalam hubungan kita
Sebagai antara insan dengan insan.
Kesimpulannya akidah adalah perkara utama bagi
individu dan masyarakat umat dalam membina `Baladan Aminan` dan `Baldah
Tayyibah`. Musuh nyata perlu dihapuskan termasuk petualang-petualang yang
mengganggu keamanan. Syari`at dan perundangan perlu ditegakkan dan kebajikan
umat dan masyarakat perlu diberi perhatian, manakala riba dan rasuah boleh
meruntuhkan negara dan masyarakat umat. Lantaran itu perlu dibasmi, agar umat
dan masyarakat sejahtera dan aman.
Sekian.
No comments:
Post a Comment