`Al-A`raf`, Makkiyyah surah mempunyai sebanyak
206 ayat. Nama Surah `Al-A`raf` bermaksud `Tembok Tinggi` sesuai diambil
sebagai tema persoalan bagi tulisan ini. Terdapat ayat yang merujuk kepada
tembok tinggi di dalam surah ini, iaitu:
``Dan
antara keduanya ada tembok pendinding (7. 46)
Dimaksudkan `Tembok Pendinding`, atau pembatas
ialah pemisah antara syurga dan neraka.
( Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian
Al-Qur`an, diusahakan oleh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana
Menteri Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: 283).
Konsep `Tembok` atau `Batas` ini yang menjadi
judul bagi surah berkenaan adalah sesuai digunakan sebagai pendekatan bagi
memahami kandungan Surah Al-A`raf ini.
Bahawa dilihat dari perutusan Rasulullah
s.a.w. ialah bagi berdakwah menyampaikan agama Islam yang membawa kebenaran. Dengan kebenaran
bererti:
Berpegang kepada aqidah Tauhid memisahkannya
dari pegangan syirik
Berpegang kepada Kebenaran (Al-Haqq) dan
menolak kebatilan
Berpegang kepada yang baik dan menolak yang
buruk.
Tentang berpegang kepada aqidah tauhid, ayat
berikut mencerminkan kepada maksud berkenaan
`Sembahlah kamu akan Allah, tidak ada Tuhan
bagi kamu selain daripada Nya (7.59) atau ayat bermaksud: Berkata (Nabi Musa)
Adakah selain dari Allah kamu cari ? (7. 140). Dan ayat bermaksud:
``Allah Pemilik langit dan bumi, tidak ada Tuhan
melainkan Dia (7.158).
Bagi berpegang kepada kebenaran (Al-Haqq)
terdapat ayat di dalam Surah Al-A`raf bermaksud: Sebahagian mendapat Hidayah
(Kebenaran) dan sebahagian lagi dalam kesesatan (7.30)
Dan bagi kebaikan terdapat ayat merujuk kepada
kebaikan yang menghasilkan kebaikan dan yang buruk menghasilkan keburukan iaitu,
``Dan negeri yang baik, tanamannya tumbuh
subur dan negeri yang tidak baik tidak tumbuh melainkan terbantut (7.58).
Sebagaimana Surah Al-A`raf ini diturunkan di
Makkah, maka dilihat dari sudut sejarah, maka ia adalah dalam tempoh Rasulullah
menghadapi berbagai sekatan dan ujian seperti sekatan dari kaum Quraisy dari
segi dakwah, bergerak secara hati-hati, senyap dan terang dan antaranya terpaksa
berhijrah ke Habsyah sebelum ke Madinah.
(Muhammad al-Hasyimi al-Ahmadi, Sejarah Hidup
dan Peta Perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. Rabitta Global Village, Jakarta, 2007:
72-77).
Kandungan Surah Al-A`raf mencerminkan situasi
zaman Makkah tersebut yang antara cirinya mengukuh pegangan aqidah dan tertumpu
kepada perluasan pengajaran hukum-hukum Islam serta cerita-cerita tauladan dan
dakwah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. Al-Qur`an umpamanya menegaskan kepada
Nabi Muhammad agar tidak bimbang di dalam berdakwah lantaran Al-Qur`an
diturunkan kepada Baginda bagi dakwah dan peringatan kepada orang-orang
mukminin (7. 2). Allah menyuruh Baginda menurut apa yang diturunkan dari
Al-Qur`an dan jangan tunduk kepada pemimpin yang lain (7.3). Allah mengingatkan
berapa dari mereka dan penempatan mereka telah dibinasakan kerana keingkaran
(7.4).
Dakwah tidak lain dari menyampaikan kebenaran
yang dibawa oleh Islam yang bagi pengikut-pengikut akan menerima balasana
syurga, manakala yang menentang dan tidak menerima Islam digambarkan akan ada
pemisah antara yang masuk syurga dan neraka (7. 45-46).
Ujian-ujian di dalam menyampaikan risalah dan menerima
penentangan dari kaum dan masyarakat didakwah semasa, juga dialami oleh
nabi-nabi yang terdahulu. Allah menceritakan kepada Nabi Muhammad tentang
dakwah Nabi Musa yang menghadapi tentangan dari kaumnya sendiri – Bani Israil
dan mendapat tentangan dari Firaun. Cerita Nabi Musa agak panjang diberi ruang
di dalam Surah Al-A`raf, juga dikaitkan juga dengan Nabi Harun (7.103- 155).
Turut terakam dalam surah ini berhubung dengan Nabi Nuh (7. 59), Nabi Hud (7.
65), Nabi Shu`ayb di Madyan (7. 85 & 88). Bahkan cerita kejadian manusia
dari keturunan yang satu, iaitu dari Adam a.s. (7.19).
Penggaluran tentang nabi-nabi perutusan Allah
ini membuktikan kebenaran Al-Qur`an dan Mu`jizat Rasulullah yang melalui
Al-Qur`an menerangkan rentetan Rasul-Rasul
yang membawa risalah tauhid dan juga membangunkan keilmuan dan tamadun
manusia dari peringkat awal, khususnya kepada Nabi Adam a.s. Kebenaran maklumat
dibandingkan dengan sumber-sumber yang lain membuktikan kebenaran yang ianya
bersumberkan wahyu.
Maklumat tentang rasul-rasul terdahulu
membuktikan Rasulullah s.a.w. bukan bersendirian, tetapi Baginda adalah
rantaian kerasulan yang membawa hidayat kepada manusia.
Di samping menyebut tentang kerasulan yang
mebawa aqidah tauhid, turut disebut tentang penentangan terhadap seruan yang
baik seperti tentang Iblis (7.11) yang bertujuan menyesatkan manusia, konsep
syaitan (7.26) yang menggoda umat manusia sejak dari Adam a.s, watak Qabil yang
melakukan pembunuhan terawal dalam sejarah manusia, Fir`un yang zalim, Thamud
yang dibinasakan kerana keangkuhan. Semuanya agar dijadikan tauladan untuk
dihendarkan sifat-sifat keji berkenaan.
Di dalam Surah Al-A`raf digambarkan tentang
kampung halaman yang dibinasakan oleh kemungkaran penduduk yang menderhaka,
tidak terbuka rezeki dari langit dan tidak terbuka pintu syurga (7.40).
Sebaliknya negeri yang baik menghasilkan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, di
sebalik dari yang tidak baik kering kontang (7.58).
Demikianlah gambaran yang kontradik antara
baik dan buruk dan antara kebenaran dan kebatilan, antara yang berusaha bagi
melakukan kebaikan seperti memakmurkan masjid (7.31-32) dengan usaha seteru
bagi meruntuhkan yang pada puncaknya membatas dan memisahkan antara yang baik
dengan syurga dan yang jahat dengan neraka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment