September 11, 2015

Persoalan `Aqidah Hampir Separuh Surah Aali `Imran: Implikasi Ke Kristianan


BBB, 26 Zulkaedah 1436 = 10 September 2015 (Khamis):



Pembicaraan aqidah dimaksudkan di atas, bukan saja aqidah Islam tetapi juga aqidah yang dipandang dari Islam terhadap pegangan Ahlu al-Kitab, yang dimaksudkan di dalam Surah Aali Imran ialah Nasara (Kristian). Ayat-ayat yang dikelompok kepada persoalan aqidah ialah ayat satu hingga 83 Surah Aali Imran (3. 1-83). Syed Qutb di dalam tafsir Fi Zilal al-Qur`an mengklompokkan ayat-ayat yang melibatkan aqidah ini kepada 3 pecahan:
1)      Kelompok  (3.1-32)
2)      Kelompok  (3.33-64)
3)      Kelompok (3.65.92) – melebihi dari ayat (3.83).
Sememangnya terdapat di dalam ayat-ayat Aali Imran (3.1-32) mengenai aqidah Islam bermula dari ayat (3.2) ``Allah - Tidak ada Tuhan Dialah yang Hidup lagi perkasa. Dikuti dengan ayat ( (3.6), (3.18),(3. 26, 27, 28. 29, 30, 31).
Pada  Pecahan kedua pula ayat-ayat aqidah ialah (3.34), (3.37-38), (3.51), (3.62), (3.64).
Manakala dalam kelompok ketiga ialah ayat-ayat (3.66-67), (3.73-74), (3.83-86), (3.89-91).
Aspek-aspek aqidah ini memang dibicarakan oleh Syed Qutb, bahkan beliau menegaskan bahawa Surah Aali Imran ini antara surah diturunkan di awal Hijrah, sebab itu adalah penting pada peringkat awal ini dibicarakan tentang aqidah, jika pada peringkat awal di Makkah bagi menegakkan aqidah tauhid berdepan dengan aqidah syirik, maka di awal Hijrah bagi berdepan dengan aqidah dan gugatan kaum Yahudi dan juga Nasara (Kristian).
Di dalam hal ini Syed Qutb kurang setuju dengan pendapat antaranya terdapat dalam tafsir Ibn Kathir yang mengaitkan peristiwa kehadiran rahib-rahib Kristian dari Najran berjumpa Rasulullah pada tahun ke 9H., ( Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jil. 2, 2006: 107) lantaran kurang sesuai dan begitu lewat berbanding turunnya ayat-ayat berkenaan (Tak setuju dari segi tarikh kehadiran sahaja) Nasara dalam Surah Aali Imran ini pada peringkat awal Hijrah. (Syed Qutb, Fi Zilal Al-Qur`an, Jil 2, 1400/1980:  362).
Penulis tidak akan membicarakan aspek-aspek aqidah Islamiyyah, lantaran sudah lumrah diperkatakan, termasuklah di dalam tulisan-tulisan Penulis sebelum ini.
Apa yang mau diutarakan dari ayat-ayat pecahan yang dibuat oleh Syed Qutb tentang keluarga Imran yang berkait dengan agama Nasrani. Bermula dari Imran yang bernazar kepada Allah agar beliau bersama isterinya (Hannah bt. Faqadz) dikurnikan anak. Mereka dikurniakan anak perempuan yang bernama Maryam, sebagai menunaikan nazarnya, Maryam ditempatkan berkhidmat di Baitul Maqdis (3.35-36) dan Maryam tanpa disentuh manusia lelaki mengandung dan melahirkan Isa (3.45-47). Isa dilantik menjadi Rasul yang mempunyai mukjizat-mukjizat sebagaimana disebutkan di dalam Al-Qur`an seperti meniup burung dari rangka tanah menjadi hidup dan terbang, menyembuh dan memulihkan penglihatan orang buta sejak kecil, menyembuhkan orang  berpenyakit sopak, menghidupkan orang mati dengan izin Allah dan memaklumkan tentang makanan dan minuman di rumah (3. 48-51).  
Isa yang dilantik menjadi Rasul, sebagaimana Nabi Musa, Isa juga tidak mendapat sambutan mesra dari kaum Bani Israil, bahkan mereka memusuhinya, kecuali mendapat pertolongan golongan Hawariyyun. Pihak memusuhinya dari kaum Bani Israil berkomplot mengambil tindakan untuk membunuhnya (3. 52-54).
Peristiwa usaha pembunuhan ini menimbulkan implikasi dan komplikasi dari segi aqidah.
Bagi pendukung Kristian dan Yahudi mengatakan Isa disalib dan disiksa. Kedudukan Isa dari segi pandangan Kristian ditransend yang membawa implikasi aqidah yang dilihat Isa suci sebagai anak Tuhan, bahkan membawa kepada pandangan (falsafah) Triniti bahawa Allah (bapa), Maryam (ibu) dan Isa (anak) Tuhan. Terjadi perbalahan mengenai aspek-aspek ketuhanan tiga uknum ini di dalam Kristian sendiri yang mebawa kepada perpecahan dan mazhab-mazhab. (Syed Qutb, Fi Zilal Al-Qur`an, Jil 1: 366).
Tentang peristiwa yang dikatakan `pembunuhan` terhadap Nabi Isa ini, Al-Qur`an menyebutkan bahawa Isa al-Masih tidak dibunuh, tetapi ditasybihkan watak seumpamanya, sedang Nabi Isa sendiri diangkat ke sisi Tuhan (Al-Nisa` - 4.156-159).
Implikasi aqidah dan hukum menjadi lebih keliru apabila pada zaman Greek-Romawi Raja Constantine yang berpegang kepada agama Kristian membuat banyak perubahan terhadap prinsip Kristian seperti mendirikan patung Isa dan mengubah arah penyembahan kepada patung berkenaan (ke timur), menghalal daging babi, menambah jumlah hari puasa kepada 10 hari bagi menghapuskan dosa, bahkan mengubah agama Kristian sebagai agama Constantine. Bagi mengukuhkan kedudukan agama berkenaan didirikan Kota Konstantinople, mendirikan gereja hingga 12,000 buah dan menekan orang-orang Yahudi. (Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Jil.2, 179-180).
Adapun pertemuan pemuka agama Nasara dari Najran seramai 60 orang datang menemui Rasulullah s.a.w. di Masjid Madinah dan terjadi perbincangan yang dikenali dengan `Mubahalah` antara mereka dengan Nabi s.a.w. tentang pegangan Triniti mereka. Ini dikaitkan peristiwa dengan  ayat (3.59-64)), Mereka dijelaskan dengan aqidah tauhid. Islam menolak dengan dakwaan mereka yang mengaitkan Nabi Ibrahim sebagai Yahudi dan Nasara sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat Al-Qur`an (3. 67) yang bermaksud bahawa:
``Tidaklah Ibrahim Yahudi dan tidak Nasrani, tetapi dia adalah Hanif dan tidak dari kalangan musyrikin.``
Gambaran di atas, betapa umat Islam pada peringkat awal Hijrah, khususnya selepas berlakunya peperangan Badar mengukuhkan kedudukan umat Islam setelah 2 tahun mengatur pentadbiran Madinah. Persoalan akidah masih diberi keutamaan, di samping aturan dan hukum hakam mulai disusun. Masyarakat umat pada peringkat awal ini bertembung, tetapi bersifat terbuka kepada golongan Yahudi yang mendiami Madinah selagi mereka tidak mengkhianati umat Islam sebagaimana digambarkan di dalam Surah Al-Baqarah, manakala di dalam Surah Aali Imran menggambarkan juga toleransi Rasulullah dan umat Islam terhadap penganut Agama Kristian yang datang menemui Rasulullah. Mereka dan siapa saja yang belum menerima Islam didakwah untuk menerima Islam. Islam teguh dengan aqidah dan falsafah tauhidnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment