BBB, 19 Zulkaedah 1436 = 05 September 2015
(Sabtu):
Setelah selesai memahami pendekatan tafsir yang dibuat oleh Abdullah Yusuf Ali, klhususnya terhadap Surah al-Fatihah dan Surah Al-Baqarah, secara kebetulan kini Penulis juga sedang membaca tafsir berselang pagi di surau Penulis, Surau Al-Umm juga hampir ke hujung Surah Al-Baqarah setelah berakhirnya Juz` `Amma sejak setahun yang lalu.
Pendekatan dan aplikasi Takmilah boleh
digunakan bagi menilai tafsiran, bukannya Al-Qur`an, lantaran Al-Qur`an adalah
kebenaran mutlaq yang diterima dan ianya merupakan piawayan tertinggi yang
tidak mungkin dicapai baik dari segi bahasa dan estetika, begitu juga dari segi
kandungannya, misalnya dari segi hukum hakam, keilmuan dan berbagai maklumat
baik tentang yang ghaib dan yang syahadah.
Takmilah dilihat dari segi mutu (nilai) tafsiran
bagi memahami kandungan Al-Qur`an. Ada yang menghadkan kepada – jika ke bahasa
lain, ialah terjemahan semata-mata. Namun ada yang memberi huraian secara
ringkas dan padat yang jika pada zaman tradisi ialah Tafsir al-Jalalayn yang
tafsirnya secara suturut ayat dan diberi huraian ringkas bagi penambahan
maklumat. Tafsir tradisi ini popular dipelajari kerana keringkasan dan
kepadatan huraian. Tafsir berbahasa Arab ini begitu popular di Alam Melayu yang
menganut mazhab Shafie dan kedua-dua pentafsir iaitu Jalaluddin Muhammad
al-Mahalli dan Jalaluddin Abdul Rahman al-Suyuti adalah pendukung mazhab
Shafie. Jika dari zaman tradisi yang popular digunmakan ialah Tafsir Jalalayn,
maka Penulis berpendapat tafsir ringkas di dalam bahasa Arab terkini ialah
Tafsir Al-Wajiz oleh Wahbah al-Zuhaily. Beliau memberi huraian secara padat
antaranya dengan menggunakan ayat-ayat Al-Qur`an dan kurang menggunakan Hadith
kecuali yang benar-benar mengukuhkan pendapat. Beliau menggunakan pendapat
sahabat seperti Ibn Abbas dan mereka
yang berkenaan, khususnya di dalam meriwayattkan sebab-sebab Nuzul. Membaca
tafsir ringkas oleh Wahbah al- Zuhaily, kita merasa jelas dan terang dan tidak
diganggu dengan pendapat-pendapat yang kurang releven. Kita menganggap Tafsir
al-Wajiz adalah model tafsir ringkas yang memada yang dapat dijadikan panduan pengajaran
dan rujukan. Tafsir ini dapat dianggap tinggi dari degree Takmilah, pun begitu
tentulah banyak ruang bagi peningkatan.
Dari segi terjemahan dan tafsiran ringkas,
kita dapati usaha yang dilakukan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih
dengan disemak oleh pakar dan diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri,
Bahagian Hal Ehwal Islam dapat dikatakan tafsir yang padat yang menggunakan rujukan
kepada tafsir-tafsir yang banyak, tetapi tidak dibawa pendapat mereka ke dalam
huraian secara menyebut rujukan, hingga tidak mengganggu kelancaran terjemahan
dan huraian. Ianya cukup sebagai kitab tafsir ringkas yang dapat dijadikan
rujukan segera, khususnya bagi mendapat panduan yang sahih. Berbanding dengan
Tafsir Nur al-Ihsan oleh Haji Muhammad Said bin `Umar Kadhi Jitra al-Qadahi
yang lebih bersifat terjemahan seturut ayat-ayat dengan bahasa Melayu yang agak
lama dan amat terpengaruh dengan susunan gaya bahasa Arab dan agak terganggu
dari segi kelicinan dan kurang dari maklumat tambahan.
Ada tafsir yang memberi tumpuan kepada aspek
khusus, misalnya Tafsir Baydawi yang judul lengkapnya ialah Anwar al-Tanzil wa
Asrar al-Ta`wil yang dalam bahasa Arabnya diusahakan oleh Abdullah bin Umar bin
Muhammad al-Shirazi al-Baydawi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Shaykh
Abdul Rauf al-Fansuri al-Singkeli, tafsir ini banyak menumpukan perhatian kepada
berbagai-bagai pendapat dan khilaf dari segi bacaan ayat-ayat Al-Qur`an
terutama dari segi `Qira`at Tujuh`, yang
kadang-kadang mengganggu dari kelicinan
maklumat apa lagi dalam tafsir berkenaan diselitkan dengan kisah-kisah dan
faedah-faedah yang setengahnya kurang releven. Rujukan banyak dibuat terhadap
Tafsir Khazin. Jelas ada kelebihan bagi
satu-satu pendekatan tafsir yang dibicarakan, tetapi tidak kurang juga
kelemahan-kelemahan, walau bagaimana kesemuanya di dalam keistimewaan ada yang
tidak sempurna, apa lagi yang kurang sempurna dilihat banyak lagi ruang untuk
disempurnakan. Pendek kata kesemuanya masih mempunyai ruang bagi peningkatan
secara takmilah.
Selain dari tafsir-tafsir ringkas yang telah
dibicarakan, terdapat tafsir panjang yang di dalam bahasa Arab yang baru
diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia-Melayu ialah Tafsir Ibn Kathir. Tafsir
klasik ini dapatlah dikatakan tafsir paling sempurna dan lengkap. Antara konsep
tafsirnya ialah tafsir ayat Al-Qur`an dengan ayat-ayat Al-Qur`an dan juga
Hadith Nabi dan pendapat para sahabat, tabi dan tabi` al-tabi`in banyak
digunakan. Tokoh-tokoh yang hampir sama dibuat rujukan, tetapi kritik terhadap
tafsir Ibn Kathir yang banyak ialah kerana mengambil Hadith-Hadith daif yang
terpaksa disaring. Juga Hadith-Hadith yang tidak disertai rawi. Di dalam
penerbitan lebih baharu dalam bahasa Arab dan juga ke bahasa Indonesia-Melayu
kerja-kerja menyaring dan mengeluarkan Hadith-Hadith daif dilakukan dan
melengkap rujukan perawi dan kedudukannya di dalam buku-buku Hadith dilakukan
untuk lebih jelas dan lebih kukuh. Dengan penyaringan sedemikian kandungan
lebih menarik ditambah mutu penerbitan juga makin menarik.
Tafsir yang lebih mencerminkan sifat tafsir
ialah tafsir yang panjang. Sebagai contoh ialah tafsir `Fi Zilal al-Qur`an`
bermaksud `Di Bawah Bayangan Al-Qur`an` oleh Syed Qutb. Tafsir ini boleh
disifatkan sebagai Tafsir al `Aqli wa al-Dhauqi` - Tafsir Akli Dan Sentuhan
Hati` yang pentafsir amat menguasai bidang bahasa dan sastera, lantaran fikiran
dan bahasanya begitu lancar dan menarik. Pentafsirnya menyabut antaranya:
``Hidup di bawah Fi Zilal Al-Qur`an adalah
hidup nikmat, nikmat yang tidak diketahui melainkan yang merasainya, nikmat
dalam peningkatan umur, keberkatan dan tazkiah.``
(Syed Qutb, Fi Zilal al-Qur`an, Jil. 1, Dar
al-Shuruq, Misr, 1400/1980: 11).
Di dalam keistimewaan Tafsir Fi Zilal al-Qur`an
yang lancar dengan fikiran dan keindahan bahasa, tafsir ini kurang membuat
rujukan kepada sumber-sumber seperti Hadith dan rujukan-rujukan yang lain
seperti dilakukan oleh tafsior-tafsir yang lain. Tetapi dengan memahami
kebijaksanaan pentafsir, bahawa tafsir ini dihasilkan dalam tahanan yang
kemudian syahid dan semasa di dalam tahanan tentulah kekurangan bahan-bahan
rujukan. Walau apa pun Tafsir Fi Zilal al-Qur`an ialah sebuah tafsir yang amat
berharga yang diwariskan kepada masyarakat umat dengan pendekatan yang kukuh
dan istimewa.
Berlainan dengan Syed Qutb, kita juga di
Nusantara Alam Melayu mewarisi sebuah
tafsir berjudul Tafsir Al-Azhar yang dihasilkan oleh Hamka, iaitu sebuah tafsir
yang cukup panjang. Namun pendekatannya berlainan dari Tafsir Syed Qutb. Hamka,
walaupun menghasilkan tafsirnya juga di dalam penjara, tetapi berkesempatan membuat
rujukan yang banyak dari kitab-kitab tafsir dan rujukan berbagai pendapat dan
juga diwarnai dengan berbagai peristiwa, maklumat dan cerita yang dialami.
Selain dari kitab tafsir dalam bahasa Indonesia-Melayu terbesar, ia adalah
tafsir terbesar di dalam bahasa tersebut setanding dengan tafsir-tafsir
terbesar dalam bahasa yang lain.
Walau begitu banyak tafsir yang telah terhasil
– ribuan jumlahnya dengan berbagai-bagai pendekatan, kita masih merasa
kekurangan dan mesih memerlukan tafsir-tafsir yang komprehensif, lengkap dan
merangkumi semua aspek dan bidang. Kita memerlukan umpamanya tafsir dari
perspektif Sains, Tafsir yang menjurus dari segi bahasa dan satera, tafsir yang
menekankan aspek kerohanian dan Tafsir Ulu al-Albab, ini membayangkan begitu
luas tafsir dapat ditafsirkan dan piawayan takmilah dari segi tafsiran bagai
tiada hujung dan sempadan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment