September 20, 2015

Medium Sastera - Bagi Menyampaikan Pendidikan Dan Dakwah: Cerita Nabi Yunus


BBB,  05 Zulhijjah 1436 = 19 September 2015 (Sabtu):



Salah satu pendekatan di dalam menyampaikan pendidikan dan dakwah ialah melalui medium sastera - cerita.  Dengan cerita yang mempunyai daya estetika dapat menarik pendengar/pembaca sebagai khalayak menghayati cerita dan dapat disampaikan pengajaran secara langsung atau tidak langsung kepada mereka. Al-Qur`an sebagai sebuah Kitab Suci juga antaranya menggunakan cerita di dalam menyampaikan perutusan. Bahkan secara kasar dua pertiga kandungan Al-Qur`an adalah bersifat cerita.
Selepas membicarakan 9 surah Al-Qur`an mengenai berbagai tema dan persoalan, maka tiba  kepada surah yang menggunakan `Tokoh` bagi judul surah, iaitu Surah Yunus,. Sebenarnya jika dikirakan Surah Aali Imran sebagai tokoh (Keluarga Aali Imrn), maka Surah Yunus sebagai tokoh kedua. Terdapat 10 surah di dalam Al-Qur`an yang menggunakan nama tokoh, iaitu surah:
1 )  Aali Imran      2)   Yunus       3)  Hud
4)   Yusuf              5)   Ibrahim     6) Maryam
7)   Luqman      8)  Muhammad  9) Nuh
Walau bagaimana tidak semua surah yang mengambil nama tokoh yang kebanyakannya ialah nama-nama Rasul dan nabi  menceritakan  tokoh Rasul atau Nabi secara sepenuhnya. Sebenarnya sebuah surah sahaja yang menceritakan tokoh secara lengkap, iaitu Surah Yusuf. Manakala bagi surah-surah yang cerita-cerita bagi judul nama Rasul hanya sebahagian kecil ayat sahaja dan sempena bahagian ini diberi nama judul bagi surah dengan nama Rasul/Nabi berkenaan. Ada cerita agak panjang, tetapi tidak diberi nama nabi bagi surah seperti Cerita Nabi Musa, Nabi Adam dan Nabi Ibrahim. Terdapat banyak lagi tokoh-tokoh dalam Al-Qur`an tapi tidak diberi nama surah, seperti Nabi Ismail dan Fir`aun. Nama Fir`aun tidak diberi sebagai judul kerana sifat negatifnya, demikian juga dengan beberapa watak negatif yang lain.)
Berhubung dengan Surah Yunus yang dibicarakan tidak banyak maklumat mengenai Nabi Yunus, ianya disebut pada ayat (10. 98), iaitu ayat yang bermaksud:
``(Dengan kisah Fir`aun itu), maka ada baiknya kalau (penduduk)  sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya iman itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – tatkala mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka. Dan Kami berikan mereka menikmati ketenangan sehingga ke suatu masa  (yang Kami tentukan).``
Di samping maklumat di atas terdapat maklumat berhubung dengan Nabi Yunus dalam ayat-ayat yang lain dalam Al-Qur`an seperti dalam surah (Al-Anbiya`87- 88) yang menceritakan Nabi Yunus yang maksudnya seperti dalam ayat di atas.
Terdapat juga ayat dalam surah (Al-Saffat: 139-146) bermaksud:
``Yunus itu utusan Allah. Ketika ia keluar dari kampungnya, iapun menumpang sebuah perahu (kapal) yang penuh sesak muatannya. Kemudian diadakan undian untuk melemparkan salah seorang di antara penumpang-penumpang itu kerana terlampau berat muatannya. Maka adalah Yunus mendapat kekalahan dalam undian itu, lalu dilemparkan ke dalam laut. Kemudian ditelan oleh ikan yu sedang ia kena cerca.. Kalau sekiranya ia tidak bertasbih  (mensucikan Tuhan), nescaya tinggallah ia dalam perut ikan itu sampai hari Berbangkit. Kemudian Kami lemparkan ia ke tepi laut, sedang ia menderita sakit. Kami tumbuhkan baginya tumbuh-tumbuhan yang menjalar.``
(Ny.H.Hadiyah Salim, Qishashul Anbiya` - Sejarah 25 Rasul, PT Alma`arif Bandung, 1988: 180-181).
Menurut Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, bahawa Nabi Yunus a.s. telah diutus oleh Allah Ta`ala kepada kaumnya - penduduk wilayah Nunui (dalam daerah Musul, Negeri Iraq). Mereka ingkar pada mulanya, tetapi setelah mereka melihat tanda-tanda kedatangan azab yang dijanjikan itu, maka mereka insaf lalu beriman.
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an diusahakan oleh Shaykh Abdullah Muhammad Basmih, 1985: 400).
Dari segi ceritanya Yunus yang berada di tengah-tengah kaum yang menyembah berhala di wilayah yang dikenali dengan Ninawai. Dia diutuskan kepada kaumnya yang menyembah berhala. Dia tidak mendapat pengikut, sebaliknya ia dihalau dan mengingatkan mereka akan mengalami bahaya dan kerosakan. Beliau bergerak hingga ke laut dan ditelan oleh ikan, kemudian dia selamat dan kembali ke tempat asal yang dimasa ketiadaannya telah insaf apabila hampir mengalami bencarna. Dia kembali berdakwah dan mendapat peluang memulihkan kaumnya kepada menyembah Allah.
(Muhammad Jad al-Maula wa gharuhu, Qisas al-Qur`an, Al-Maktabat al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1349/1969: 234-238).
Selain dari pada cerita Nabi Yunus terdapat dalam surah tersebut mengenai aspek-aspek akidah, tentang ciptaan langit, bumi, matahari dan bulan yang dari pergerakan dapat dikira tarikh dan hisab. Semuanya memberi tanda bagi kaum yang bertaqwa,
Dalam surah ini juga  dinyatakan bahawa manusia dijadikan dari turunan yang satu dan mereka berperanan sebagai khalifah dibumi Allah. Allah memberi rezeki dari langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Sesungguhnya Allah Pengatur Yang Sempurna dan tidak zalim.
Di samping itu di dalam surah Yunus ini diceritakan kebangkitan beberapa Rasul seperti Nabi Nuh, Musa dan Isa. Al-Qur`an menegaskan apa yang terkandung di dalamnya tidak dusta. Sebaliknya mereka yang kufur dan menentang Islam yang mendustakan Al-Qur`an.
Demikianlah Surah Yunus yang diturunkan di Makkah ini menceritakan tentang peristiwa yang dijalani oleh Rasul-Rasul di dalam menyampaikan dakwah. Mereka tidak sunyi dari menghadapi ujian, termasuk dari tentangan kaum, kesukaran dan uji-ujian, termasuk Nabi Yunus yang menghadapi keingkaran kaumnya dan mereka dingatkan dengan azab Allah dengan penentangan mereka itu. Nabi Yunus terpaksa keluar dari kampung halaman dan mendoakan supaya mereka di dalam hidayah dan selamat. Pertanda bala, bahaya dan siksa disaksikan oleh kaumnya dan mereka beriman sebelum bala itu turun. Nabi Yunus bersyukur kepada Allah di atas keselamatan kaumnya,

Sekian.

No comments:

Post a Comment