September 13, 2015

Memecahkan Benteng Tradisi Dan Budaya Yang Mengekang Perubahan: Menegakkan `Pandangan Wujud` Yang Benar - Keperluan Bernegara


BBB,  28 Zulkaedah 1436 = 12 September 2015 (Sabtu):



Perutusan Rasulullah s.a.w. ialah membawa kebenaran yang melihat sesuatu menurut `Pandangan Wujud` yang sebenar. Ia menjadi `Peta Pandangan`  bila membicarakan sesuatu dan dapat melihat di mana kedudukannya dan konteks hubungannya dengan  yang lain. Tentang `Pandangan Wujud` ini Al-Qur`an menyebut seperti Rabb al-`Alamin` (1. 2). Pandangan wujud ini bahawa wujudnya `Tuhan` dan `Alam` . Ia bererti pandangan Wujud Islam antaranya konsep `Pandangan Wujud` bahawa wujudnya alam yang kita saksikan dengan mata kepala dan kita membenarkan dengan minda kita. Alam ini adalah dicipta dan dimiliki oleh Tuhan yang kita yakini , iaitu Allah Subhanahu wata`ala yang di dalam maklumat Nya bahawa alam adalah ada yang bersifat ghaib dan shahadah (al-Hashr: 22). Tuhan yang bersifat dengan segala sifat sempurna ini (al-Hashr: 21-24) Dialah yang selayak disembah.
Rasulullah s.a.w. dalam rangka sejarah dakwahnya, dapatlah dilihat misi Baginda ialah memperbetulkan `Pandangan Wujud` masyarakat Arab Jahiliyaah yang mempercayai kepada berhala dan menyembahnya. Kepercayaan ini telah berakar umbi di dalam masyarakat yang menjadi nilai dan budaya yang dipegang dan tidak mampu lagi dipersoal oleh akal yang rasional. Watak-watak yang mewakili mereka ialah seperti  Abu Lahab, Abu Jahal, bahkan Abu Sufyan (sebelum Islam). Ketebalan kepercayaan dan budaya ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan mereka di dalam masyarakat di Makkah sebagai pemimpin yang membentuk keegoan dan kemegahan yang sanggup mempertahankan kedudukan dengan sekeras-kerasnya. Selama tiga belas tahun Rasulullah s.a.w.  berdakwah, tidak berlaku sebarang perubahan di kalangan mereka, sehingga Rasulullah s.a.w. merubah strategi dengan berhijrah, kekukuhan nilai dan budaya Jahiliyyah mereka tetap dipertahankan sehingga mereka gugur di dalam peperangan. Adapun Abu Sufyan berterusan dengan pegangan budaya Jahiliyyah dan keegoannya sehingga ianya dapat diruntuhkan bersama dengan pembukaan Makkah oleh Rasulullah s.a.w. dan tentera Islam dan ego beliau runtuh dan tunduk dan menerima Islam. Abu Sufyan tunduk dengan strategi secara psikologi Rasulullah menghormati keegoannya dengan memberi kekecualian `Sesiapa yang berlindung di rumah Abu Sufyan adalah aman` di dalam peristiwa pembukaan Makkah.
`Pandangan Wujud` secara rasional ini sebenarnya adalah keyakinan dalam peta wujud ini. Apabila elemen Jahiliyyah ditumbangkan dengan kekuasaan, maka pertahanan Jahiliyyah runtuh dengan sendiri. Dengan runtuhnya  kebatilan pandangan membuka ruang Rasulullah s.a.w. melebarluaskan dakwah bukan saja di Madinah dan Makkah, tetapi juga ke wilayah-wilayah sempadan.
Wibawa Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin, apalagi Baginda dilantik sebagai Rasulullah s.a.w.  tidak dipertikai, oleh kerana kelayakan Baginda sebagai Rasulullah sebagai Rasul dan Pemimpin. Dengan kejayaan mengubah dan mengukuh `Pandangan Wujud` individu di kalangan sahabat dan pengikut-pengikut, mengukuhkan unit keluarga dalam masyarakat, dan membetulkan `Pandangan Wujud` masyarakat yang dikenali dengan `Ummah`, maka Rasulullah memperkukuhkan pentadbiran yang merupakan pengwujudan `Negara Madinah` sebagai Negara Islam. Negara ini diperkukuh dengan wujudnya seperti institusi masjid, komuniti kaum Ansar (Aus dan Khazraj), Muhajirin, ketenteraan dan sebagainya yang semuanya mengukuhkan solidariti umat Islam.
Dakwah bagi menyampaikan kebenaran dapat dilakukan dengan adanya pendakwah dan mereka yang di dakwahkan dalam sesuatu masyarakat, sebagai dakwah dilakukan di Makkah dan situasi seperti ini berlaku hingga kini, bahawa dakwah dapat dilakukan di kawasan, tempat, bahkan di negeri-negeri yang bukan Islam, tetapi berdasarkan ayat-ayat Al-Qur`an seperti (Al-Tin: 3) dan Sunnah Rasulullah s.a.w. membangunkan negara Madinah, bahawa membangunkan ummah yang lebih lengkap dan sempurna serta dapat melaksanakan amal ibadat, peraturan, pemerintahan dan Perhubungan adalah memerlukan negara seperti negara Madinah sebagai tempat segala kegiatan yang negara sedemikian disifatkan oleh Al-Qur`an adalah `Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Saba`: 15) yang berpaksikan Al-Quran dan Al-Hadith. Jadi Madinah adalah Negara Model bagi Negara Islam yang Takmilah dari segi kenegaraan  yang wujud di dalamnya:
1)      Kepimpinan tertinggi, iaitu Rasulullah s.a.w.
2)      Pembantu pemerintah terdiri dari kalangan sahabat-sahabat
3)      Wujudya institusi pentadbiran seperti masjid yang kini dipecah dan dikenali sebagai jabatan-jabatan
4)      Wujudnya institusi kewangan dengan zakat, cukai dan bayaran-bayaran yang dikenakan
5)      Wujudnya pertahanan negera yang ahli-ahlinya sedia berjihad bila digerakkan
6)      Wujudnya Perhubungan Luar yang membuat hubungan dengan negara-negara luar
7)      Wujudnya Keamanan dalam negeri yang menjaga keselamatan dalam negeri
8)      Konsep kewarganegaraan yang memastikan kesetiaan setiap individu ummah
9)      Wujudnya Budaya Ilmu yang menggalakkan ummah mendalami keilmuan
10)   Berbagai institusi dan keperluan yang diperlukan bagi sesebuah negara.
Elemen-elemen di atas menjadi asas bagi pembinaan tamaduan dan peradaban ummah yang terus berkembang. Sesungguhnya penyebaran dan perluasan Islam di dalam sejarah tidak terpisah dari kewujudan dan peranan negara yang kuat dan berwibawa di dalam menyebarkan Islam bermula dari negara Madinah di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. membawa kepada zaman Khulafa` al-Rashidin. Kerajaan Umawiyyah, Abbasiyyah, Andalusiyyah, Uthmaniyyah dan berbagai kerajaan Islam sehingga zaman moden ini.
Konsep Baldah Tayyibah Wa Rabbun Ghafur dapat dilihat bahawa pemerintahan sedemikian adalah bersifat terbuka dari segi konsep bagi negara yang berkeyakinan  kepada Tuhan berprinsipkan Al-Qur`an dan Al- Hadith selagi dapat menjalankan pentadbiran dengan aman, meyediakan peluang kehidupan yang baik, memerintah dengan adil, menggalakkan semua pihak mendalami ilmu pengetahuan, mempunyai pertahanan yang dapat menjaminkan keselamatan dan mempunyai institusi yang mengawal keselamatan dan ketenteraman dalam negara dan berbagai infra-struktur yang dapat memberi keselesaan bagi warganegara sama ada yang Islam dan bukan Islam. Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur tidak menyebut apakah nama bagi satu-satu bentuk pemerintahan. Pemerintahan mungkin bersifat kesultanan, berpresiden, Canselor, khalifah dan sebagainya asalkan ianya berjalan dengan baik dan diredai Allah.

Sekian

No comments:

Post a Comment