September 7, 2015

Fi Zilal Al-Qur`an Dihasilkan Oleh Syed Qutb - Tokoh Haraki


BBB,  22 Zulkaedah 1436 = 06 September 2015 (Ahad):



Tafsir `Fi Zilal al-Qur`an` yang bererti `Di Bawah Lindungan Al-Qur`an`, ialah tafsir yang dihasilkan zaman moden oleh Syed Qutb dari Mesir yang terlibat dengan gerakan Haraki Ikhwan al-Muslimin. Nama penuh beliau ialah Syed Qutb bin Ibrahim al-Shazili dilahirkan pada 21 Rejab 1324 H. bersamaan  9 Oktober 1906 M. di Asyut, Mesir yang merupakan salah satu pusat pengajian dan di sini terdapat sebuah universiti terkenal. Di samping mendapat pendidikan asas beliau diberi perhatian oleh orang tuanya di dalam pengajian Al-Qur`an. Bahkan beliau berjaya menghafal Al-Qur`an semasa beliau berumur 10 tahun. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti Al-Qahirah. Antara gurunya ialah Abbas Mahmood Al-`Aqqad seorang pemikir, penulis dan sasterawan. Antara kawannya yang sepengajian ialah Hasan al-Banna. Syed Qutb menamatkan pengajian pada peringkat sarjana di Fakulti Darul `Ulum dalam bidang pendidikan (1933). Beliau pernah menjadi pensyarah di universiti berkenaan. Kemudian beliau ditugaskan di Kementerian Pendidikan dan memantau pembelajaran Kesusasteraan `Arab di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran di Mesir. Beliau bergiat di dalam penulisan antaranya menghasilkan buku `Kutub wa al-Shakhsiyyat` , buku `Al-Taswir al-Fann fi al-Qur`an dan Manhaj al-Muslim. Beliau juga pernah dihantar oleh Kemeneterian pendidikan ke Amerika mendalami di dalam bidang silibus bagi kurikulum pendidikan.
Walaupun Syed Qutb berkesempatan sama belajar dengan Hasan al-Banna dalam satu universiti – Universiti al-Qahirah, tetapi pada masa itu, mereka tidak terlibat di dalam bidang politik, tetapi selepas keluar universiti Syed Qutb terlibat dalam kerjaya pendidikan dan Hasan al-Banna terlibat di dalam kegiatan siasah Islam. Semasa Syed Qutb berpeluang menyambung pengajian di Amerika, semasa beliau di luar negara itulah Hasan al-Banna sebagai pengasas bagi Gerakan Ikhwan al-Muslimin ditembak mati (1948). Simpati terhadap perjuangan sahabatnya dan mendapati dakwah perjuangannya mampu memperbaiki masyarakat dan pemerintah Mesir, sekembalinya dari Amerika, Syed Qutb terlibat sama dalam gerakan Islam itu. Keterlibatannya dihidu oleh regim pemerintahan Jamal Abdul Nasir Presiden Mesir. Beliau mula mendapat tekanan dengan ditukar dari satu jabatan ke jabatan yang lain bagi mengurangkanm kegiatannya, demikian juga beliau dipindah dari satu tempat ke tempat yang lain bagi menyusahkannya. Hasil dari tekanan yang diterimanya membuat Syed Qutb mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pegawai pelajaran  pada 15 Oktober 1952. Beliau bergiat aktif dalam Ikhwan al-Muslimin sambil menulis tema-tema yang berhubung dengan perjuangan keislaman. Contoh bukunya yang popular berjudul, ``Keadilan Sosial Dalam Islam`` . Kegiatannyanya yang menggugat pemerintah, menyebabkan ada usaha untuk membunuhnya pada tahun 1954, tetapi adalah gagal. Berikutnya berlaku penangkapan besar-besaran terhadap anggota Ikhwan al-Muslimin dan salah seorang daripada mereka ialah Syed Qutb. Beliau telah dibicarakan dan dikenakan hukum penjara selama 15 tahun. Penahanan beliau menarik perhatian Presiden Iraq pada masa itu, iaitu General Abdul Salam Arif, yang memohon jasa baik Presiden Jamal Abdul Nasir supaya dibebaskan. Beliau dibebaskan pada tahun 1964. Namun selepas lapan bulan beliau dibebaskan beliau sekali lagi ditangkap dan bersama 7 orang anggota Ikhwan al-Muslimin dituduh menghasut dan cuba menggulingkan kerajaan dan pada 29 Ogos 1966 Syed Qutb bersama tujuh yang lain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan kuburnya tidak diketahui termasuk oleh adiknya  - Muhammad Qutb yang juga seorang penulis yang banyak menulis tentang sastera Islam – Beliau turut dikenakan hukuman buang daerah. Beliau menetap di Saudi.
(Zainudin Hashim & Riduan Mohamad Nor, Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden, Jundi Resources, Kuala Lumpur, 2009: 185-192).
Demikianlah perjuangan Syed Qutb yang merupakan salah seorang pejuang Ikhwan al-Muslimin yang menerima hukum dan syahid ditaling gantung termasuklah Hasan al-Banna (terbunuh) dan terakhir Muhammad al-Mursi Presiden Mesir yang naik secara demokrasi, tetapi dirampas kuasa darinya oleh tentera.
Syed Qutb telah menghasilkan penulisan terbesarnya iaitu Fi Zilal al-Qur`an semasa di dalam penjara.  Turath peninggalan ini dan beberapa buku yang lain diurus oleh adiknya Muhammad Qutb.
Daripada tiga karangan Syed Qutb dapat dilihat tentang perjuangan Syed Qutb sendiri.
Buku beliau yang berjudul Manhaj al-Muslim adalah memperlihatkan rangka dasar yang harus diikuti oleh seorang muslim yang tidak lain dari berasaskan Islam. Beliau membicarakan tentang pentingnya ilmu pengetahuan keislaman bagi seseorang muslim yang membezakannya sebagai seorang muslim dengan yang bukan muslim. Beliau menerangkan konsep Kalimah Tayyibah – termasuklah syahadah. Beliau juga membicarakan tentang iman dan Islam, konsep kehambaan kepada Allah. Beliau juga membicarakan tentang `Din` dan `Syari`ah`. Sebagai kesimpulan Manhaj seorang muslim tidak lain  dari berpegang dengan syahadah dan beliau mempunyai keyakinan bahawa masa depan tidak lain daripada Islam.
(Al-Syahid Sayyidd Qutb & Sayyid Abul A`la Maududi, Manhaj Hidup Muslim, Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 2001: 190hlm.).
Bukunya yang berjudul `Keadilan Sosial Di Dalam Islam` tidak lain dari melihat peraturan hidup di dalam Islam dari yang bersifat individu dan jamaah dan masyarakat yang diatur oleh Islam adalah untuk kesempurnaan hidup masyarakat. Islam mengatur aturan dan undang-undang adalah untuk keadilan bagi semua pihak sama ada muslim atau bukan muslim.  Inilah merupakan visi dan misi serta keyakinan Syed Qutb, iaitu keyakinannya terhadap Islam yang menjadi perjuangan dan jihad berdasarkan Islam.
Dan karya besarnya, iaitu Fi Zilal Al-Qur`an, adalah perlembagaan Islam yang dihuraikan secara detail bagi kefahaman terhadap Islam itu secara menyeluruh, bukan semata-mata untuk dirinya, tetapi bagi masyarakat dan manusia seluruhnya.
Memetik secebis dari kata pengantar Syed Qutb bagi tafsirnya beliau merakamkan dalam pendahuluannya;
``Islam adalah berpandukan Al-Qur`an. Islam membawa tasawwur baru dan segar dengan akidah dan peraturan syariatnya. Pada hakikatnya ianya merupakan kelahiran baru yang memandu manusia kepada masa depan yang selamat.``
(Syed Qutb, Fi Zilal al-Qur`an, Jil 1,  Dar al-Shuruq, Misr, 1400/1980: 16).
Syed Qutb dengan penulisan-penulisannya, bukan sekadar menulis dan bukan setakat melakarkan ilmu untuk dimanfaat umum, tetapi itulah garis panduan dan jihad perjuangannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment