BBB, 11
Zulhijjah 1436 = 25 September 2015 (Jumaat):
Yusuf sebagai anak angkat bagi keluarga Al-Aziz bersama isterinya Zulaikha adalah dalam keadaan mewah. Bapa angkatnya adalah Penguasa Perbendaharaan Negara. Ketika Yusuf berumur antara 30an, beliau berkembang sebagai pemuda yang sempurna dari segi fizikal dan mental. Pendidikan yang diterima meningkatkan dirinya dari segi keilmuan dan hikmah, termasuk keilmuan yang berhubung dengan ta`wil mimpi dan peristiwa. Beliau juga dilatih dari segi pentadbiran, iaitu bidang kepakaran bapa angkatnya. Selari dengan perkembangan fizikal dan mental begitulah juga dengan ketinggian budi pekerti dan akhlaknya. Yusuf berada di rumah keluarganya secara amanah dan bergaul dengan jiran keliling dan masyarakat secara menyenangkan.
(Muhammad Ahmad Jad al-Maula wa Ashabuhu,
Qisas al-Qur`an, Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr. 1389/1969: 90).
Ayat Al-Qur`an menggambarkan secara padat,
bermaksud:
``Dan tatkala Yusuf sampai ke peringkat
umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu
pengetahuan; dan demikianlah Kami membalas orang-orang berusaha membaiki
amalannya.`` (12: 22).
Sebagai seorang anak, Yusuf bergaul dengan
keluarganya secara biasa, tanpa kekok dan kejanggalan. Dengan amanah dan
kecerdikannya makin menambah kepercayaan terhadapnya oleh Al-Aziz dan beliau
berharap Yusuf akan diangkat kepada kedudukan yang lebih tinggi sebagai anak
dari kalangan pembesar. Namun secara sebelah pihak Yusuf diminati ibu angkatnya
Zulaikha, dia melihatnya ketika pergaulan pagi dan petang, ketika minum dan
makan, gerak dan diam dengan mata yang mempunyai niat yang tidak ikhlas, tetapi selama ini dia disekat
oleh kesedaran bahawa dia adalah isteri seorang pembesar negera yang maruah
perlu dipelihara.
Namun ketika sempit dadanya, tertarik pada
ketampanan Yusuf, dia terpanggil oleh panggilan nafsunya yang menurunkan diri
dari arasy kemuliaan, sedang Yusuf amat insaf bahawa dirinya amat terhutang
budi diberi kepercayaan oleh Al-Aziz, bahkan memberi kedudukan terhormat yang
tidak mungkin dan amat silap jika ianya merobek kepercayaan diberi oleh
Al-Aziz. Maka diluar dari kawalan dan batas normal, terjadilah apa yang
digambarkan oleh Al-Qur`an, bermaksud:
``Dan perempuan yang Yusuf tinggal di
rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya dan perempuan
itupun menutup pintu-pintu seraya berkata, ``Marilah ke mari, aku bersedia
untukmu ! Yusuf menjawab, ``Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang
keji itu), sesungguhnya tuanku telah memeliharaku sebaik-baiknya. Sesungguhnya
orang-orang zalim tidak akan berjaya.`` (12. 23).
Godaan Zulaikha boleh menjerumus Yusuf ke
lembah kehinaan, tetapi cahaya nubuwwah yang ada pada dirinya dan melihat
burhan kekuasaan Allah pada dirinya, dia sebagai menerima gerak hati dan jiwa
untuk melepas diri dari kepungan ruang yang pintu-pintunya ditutup. Dia berlari
menuju ke pintu besar sedang ia dikejar Zulaikha dengan menarik belakang
bajunya dari belakang dan ketika sampai ke pintu dan terbuka daun pintu mereka
berdepan dengan Tuan Al-`Aziz.
Di tengah ketegangan suasana, serentak timbul
bermunculan kehilangan kepercayaan, tuduhan terhadap Zulaikha yang tidak setia
dan terhadap Yusuf yang amanah kepercayaan diberi dikhianati ? dan serta keluar
dari mulut Zulaikha bagi membela diri, biarpun suasana memperlihatkan
kedustaannya dengan menuduh Yusuf pembuat angkara. Dan terloncat kata-kata
spontan bagi membela dirinya sambil berkata sebagaimana dirakam oleh Al-Qur`an
bermaksud:
``Berkata (Zulakha kepada Al-Aziz), tidaklah
ada balasan bagi orang yang membuat jahat terhadap isterimu, melainkan
dipenjara akan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya.`` (12.25).
Sedang Yusuf dengan penuh keyakinan
mempertahankan dirinya dan menjelaskan yang Zulaikhalah yang membuat angkara.
Tanpa tenggelam punca Yusuf dengan bijaksana menjawab dan mengemuka dan
menegaskan bukti nyata dengan berkata, sebagaimana maksud ayat Al-Qur`an:
``Yusuf pun berkata, ``Dialah yang memujukku
berkehendakkan diriku, sedang (suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang
dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama), tampil memberi pendapatnya
dengan berkata, ``Jika baju Yusuf koyak dari depan, maka benarlah tuduhan
perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta (12.26), dan
jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah
dari orang-orang yang benar.``(12.27). Seterusnya ayat Al-Qur`an menegaskan,
bermaksud:
``Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak
dari belakang, berkata ia (suaminya), ``Susungguhnya ini adalah dari tipu daya
kamu orang-orang perempuan. Sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar
pengaruhnya.`` (12. 28).
(Tafsir Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an,
diusahakan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana Menteri,
Bahagian Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur,1985: 442).
Dilihat hujah yang dikemukakan Yusuf (diperkukuh
pembantu) adalah tepat dan membuktikan dia orang yang tidak bersalah. Gambaran
yang diberi oleh Al-Qur`an berhubung dengan isu yang boleh membawa kepada
elemen sensasi dari segi nafsu, tetapi elemen ini berada di dalam bahasa yang
terkawal, bersahaja dan tidak disensasi dan dilebih-lebihkan. Dilihat dari segi
cerita, maka episod antara Zulaikha dan Yusuf merupakan antara klimek puncak
bagi sebuah cerita.
Secara kawalan juga kita melihat Al-Qur`an
memperlihatkan kesabaran mengawal emosi oleh Al-Aziz dalam suasana yang
sebenarnya boleh membawa pergaduhan besar, jika emosi tidak terkawal. Demikian
pengawalan diri Al-Aziz yang mempercayai terhadap Yusuf yang memanglah telah
dinilai selama ini. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Wahai Yusuf ! Lupakanlah hal ini dan emgkau
(wahai Zulaikha), mintalah ampun dari dosamu. Sesungguhnya engkau dari
orang-orang bersalah.`` (12.29).
Tindakan ini adalah merupakan peleraian
sementara bagi mengawal suasana. Episod (Zulaikha Yusuf) ini benar-benar
menguji keimanan Yusuf. Bagi Yusuf ini adalah konflik besar kedua yang dihadapi
dirinya di dalam melalui kehidupan dan ujian yang dihadapinya. Yusuf bersifat
sabar dan mempunyai benteng keimanan yang teguh. Dia dapat melangkah dari ujian
kedua yang terpaksa dihadapi dan sudah pasti ujian tidak berakhir di sini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment